Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Tradisi kesusasteraan Kedah yang berakar sejak zaman Kedah Tua terus diperteguhkan sebagai warisan intelektual bangsa apabila Seminar Kesusasteraan Kedah II 2025: Pemikiran Sasterawan Utara menyingkap khazanah besar negeri ini daripada epik sejarah sehingga karya moden yang menggugah pemikiran.
Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan dalam ucaptamanya menegaskan bahawa Kedah bukan sahaja gah dengan sejarah kerajaan silam yang disebut dalam naskhah agung dunia, bahkan turut melahirkan penulis dan karya yang mengangkat martabat negeri, bangsa dan budaya Melayu.
Menurut beliau, kemunculan tiga Sasterawan Negara dari Negeri Kedah iaitu, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain dan Zurinah Hassan membuktikan kekuatan tradisi sastera di Negeri Kedah.
Karya Shahnon seperti Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong misalnya, masih dikenang dan dijulang kerana keberanian pengarang mengangkat isu petani dan kehidupan desa dengan bahasa yang indah serta pemikiran yang mendahului zaman.
Sementara itu, novel Aku Tidak Minta dan Imam karya Abdullah Hussain terus relevan sepanjang zaman apabila membicarakan polemik bangsa dan isu agama manakala Interlok mencetuskan wacana besar tentang masyarakat majmuk di Malaysia.
Nama lain yang disebut termasuklah pengarang hebat, Azizi Haji Abdullah dengan novel Seorang Tua di Kaki Gunung dan Ayahanda yang dianggap berjiwa besar dan terlalu istimewa untuk rujukan semua.
Datuk Zainal turut menekankan keperluan menyorot kembali naskhah lama yang menjadi khazanah agung Negeri Kedah, termasuk Hikayat Merong Mahawangsa, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah karya Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad, serta Undang-Undang Adat Negeri Kedah yang dikaitkan dengan Ku Din Ku Meh.
Beliau menyarankan agar karya-karya tersebut dipermudahkan semula dan disebarluaskan bagi mendekatkan generasi muda kepada warisan besar bangsa.
“Jangan sesekali hentikan tradisi hebat sebegini. Khazanah agung Negeri Kedah wajib digali dan dicungkil semula inti patinya agar pemikiran generasi kini terus digugah. Juga kesinambungan tradisi kesusasteraan tidak terputus sehingga dilupakan,” tegasnya.
Seminar yang berlangsung pada 26 dan 27 September 2025 itu menghimpunkan seramai 80 peserta dari seluruh negara dan dianjurkan bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), GAPENA serta Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) di Hotel The Jerai, Sungai Petani, Kedah.