Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – Selepas lebih tiga dekad menjadi medan percambahan idea dan pematangan bakat penulis, Dialog Puncak Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) 2025/2026 terus mengukuhkan peranannya sebagai platform penting pembangunan sastera Melayu dengan memberikan tumpuan khusus kepada penulisan Skrip Drama Pentas Kanak-kanak baru-baru ini di Hotel Seri Malaysia, Sungai Petani, Kedah.
Sepanjang penganjuran dua hari, para peserta mengikuti pengisian yang bersifat praktikal dan berfokus dalam Bengkel dan Bimbingan Penulisan Skrip Drama Pentas Kanak-kanak yang dikendalikan oleh penulis dan aktivis teater, Puan Syahidatul Munirah.
Bengkel tersebut menekankan aspek asas dan lanjutan penulisan skrip, meliputi pembinaan watak kanak-kanak, struktur dramatik, dialog berkesan serta penyampaian mesej yang jelas dan sesuai dengan tahap pemikiran kanak-kanak.
Sesi perkongsian khas oleh penerima S.E.A. Write Award 2022, YBrs. Dr. Osman Ayob, turut memberi nilai tambah apabila beliau berkongsi pengalaman panjang dalam dunia penulisan serta peranan sastera dalam membentuk jiwa dan pemikiran masyarakat.
Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim dalam ucapan perasmian majlis dan pelancaran buku menegaskan bahawa drama pentas kanak-kanak bukan sekadar medium hiburan, tetapi wahana pendidikan yang mampu menyampaikan nilai murni, membina daya imaginasi serta memperkaya penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak.
Beliau turut menyatakan bahawa DBP sentiasa komited menyokong program pembangunan penulis seperti Dialog Puncak ASASI yang terbukti konsisten melahirkan karya dan memperkukuh ekosistem sastera negara.
Lima buah buku ahli ASASI yang dilancarkan termasuklah novel kanak-kanak Keluarga Besar Nasuha oleh Siti Aksara (DBP); buku bergambar Oh, Moyang Kita Sama! oleh Liza Shahida Ismail; Bunga Anggun Jelita oleh Zalina Ahmad (DBP); novel remaja Kerana 10 Sen oleh Putraery Ussin (DBP); dan novel Buah Hati Cik Sado oleh Hasreeyati Ramlee (Leader Biz).

Terdahulu, Dialog Puncak ASASI telah melahirkan ratusan karya kreatif merangkumi pelbagai genre seperti cerpen, puisi, esei, dan skrip drama pentas sejak tahun 1990. Program ini bukan sahaja menjadi ruang dialog intelektual, malah berfungsi sebagai tapak pembinaan disiplin penulisan dalam kalangan pengarang pelbagai generasi, khususnya di negeri Kedah.