Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSungai Petani – “Penerbitan buku ini menandai usaha berterusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mendokumentasikan khazanah intelektual hasil daripada perbincangan, analisis dan wacana para sarjana serta penulis yang meneliti tradisi dan perkembangan kepengarangan di Negeri Kedah,” ucap Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari sebelum melancarkan buku Dimensi Orang Menulis di Negeri Kedah pada Majlis Penutupan Seminar Kesusasteraan Kedah II 2025 di Hotel The Jerai, Sungai Petani, Kedah.
Buku tersebut merupakan hasil himpunan kertas kajian Seminar Kesusasteraan Kedah I yang telah berlangsung pada 10 hingga 11 Februari 2023.

“Usaha ini bukan sekadar himpunan kertas kerja tetapi menjadi dokumen berharga yang merakamkan sejarah, pemikiran serta dinamika penulis Kedah. Dengan adanya dokumentasi sebegini, kita bukan sahaja mengangkat martabat penulis tempatan, malah menyumbang pada arkib kesusasteraan negara untuk generasi akan datang,” ujar beliau.
Selain itu, majlis turut menyaksikan pelancaran koleksi karya kanak-kanak dan remaja penulis Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2025.
Menurut Dr. Hazami, keterlibatan ASASI dalam bidang penulisan sastera kanak-kanak memperlihatkan kesinambungan tradisi kreatif dalam kalangan penulis utara untuk memperkaya wacana sastera nasional.
Beliau menekankan bahawa penerbitan ini merupakan satu pencapaian yang mengangkat martabat penulis utara tanah air, khususnya karyawan ASASI.
“Usaha penulis-penulis ASASI menghasilkan sebanyak 14 buah buku untuk segmen kanak-kanak dan remaja adalah langkah berani yang harus dihargai.
“DBP komited menerbitkan karya yang bukan sahaja menepati nilai pendidikan, malah membina jati diri bangsa dan memperkukuh bahasa kebangsaan,” kata beliau.
Tambah Dr. Hazami, keterlibatan ASASI serta Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dengan DBP menandakan sinergi yang subur antara badan penulis dengan institusi penerbitan negara. Hal ini memperlihatkan bahawa dunia kesusasteraan tempatan terus berkembang dengan bakat-bakat baharu dari rantau utara.
Seminar yang berlangsung selama dua hari pada 26 dan 27 September 2025 itu turut menghimpunkan tokoh akademik dan penulis prolifik dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan Perak untuk membicarakan tentang tokoh serta karya masing-masing dengan tema “Pemikiran Sasterawan Utara”.