Diterbitkan pada 21 Oktober 2025, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Laboratori Belia dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), YBrs. Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Rahman memberikan beberapa saranan dalam aspek genre dan kualiti novel untuk menarik minat belia terhadap novel berbahasa Melayu dalam pembentangan kertas kerjanya, “Persepsi Belia Terhadap Novel Berbahasa Melayu: Saranan kepada Penerbit dan Penulis”.

Dalam aspek genre, Dr. Haliza mencadangkan penghasilan genre novel yang popular, iaitu percintaan, seram/misteri dan sains fiksyen/fantasi dalam kalangan belia di Malaysia perlu diberi keutamaan dalam strategi pemasaran.

“Kempen kesedaran dan pendidikan untuk mempromosikan genre novel seperti alam sekitar, sosial dan falsafah juga perlu terus dilaksanakan,” ujarnya sebagai salah seorang ahli panel program Kajian Persepsi Belia Terhadap Novel Terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP pada 17 Oktober 2025 lalu.

Menurutnya lagi. pelbagai genre novel berbahasa Melayu sebagai bahan bacaan di sekolah dan institusi pengajian tinggi boleh dipertingkat untuk memperkaya minda generasi belia.

“Penerokaan bakat baharu menerusi penganjuran bengkel penulis muda secara berterusan, terutama dalam genre novel yang kurang mendapat perhatian dalam kalangan belia juga perlu dilakukan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan lebih banyak adaptasi genre novel yang kurang popular ke dalam bentuk media baharu seperti filem dan siri televisyen ke arah meningkatkan minat dan kesedaran dalam kalangan belia.

Mengenai aspek kualiti novel, Dr. Haliza menegaskan bahawa penulis novel harus mengetahui jenis dan saiz tulisan yang bersesuaian demi mengekalkan minat pembaca untuk terus membaca.

“Penerbit pula perlu membuat tinjauan pasaran berkenaan perkara ini dengan merujuk kepada novel yang laris di pasaran,” tambahnya.

Penulis novel, kata Dr. Haliza lagi, perlu peka dengan trend semasa, iaitu dengan memaparkan watak dan jalan cerita yang realistik serta boleh diadaptasi ke skrin.

“Faktor ini secara tidak langsung mampu menarik minat belia untuk membaca novel berbahasa Melayu yang ditawarkan di pasaran. Penerbit harus mengambil kira elemen pengkomersialan dalam menerbitkan sesebuah karya,” ujar beliau lagi.

Dr. Haliza turut menyatakan kemampuan membawa emosi pembaca bersama-sama dengan penulis dalam meneroka fasa demi fasa dalam novel, merupakan daya penarik utama yang diberikan perhatian oleh pembaca.

Lebih serius, beliau menyatakan penerbit popular seperti DBP dan Karangkraf perlu terus mengekalkan kualiti dalam penerbitan mereka. Penerbit juga perlu menjalin hubungan yang harmoni dengan pengkarya untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti.

“Penerbit perlu memperhebat strategi pemasaran yang lebih agresif, terutama penerbitan genre novel berbahasa Melayu yang kurang popular dalam kalangan belia,” ujarnya lagi.

Beliau turut menyarankan penerbit agar terus menganjurkan bengkel penulisan dan sokongan kewangan ke arah melahirkan bakat pengkarya baharu novel berbahasa Melayu.

“Saya juga menggalakkan penerbit meneroka format penerbitan baharu, selaras dengan perkembangan teknologi semasa seperti e-buku bagi menarik minat pembaca kalangan generasi muda,” ujar beliau.

Tambah beliau, penerbit perlu menjalinkan hubungan yang harmoni dengan pengkarya untuk menghasilkan lebih banyak karya berkualiti. Terma dan syarat yang adil berkaitan hak cipta dan royalti antara penerbit dan pengkarya perlu menjadi keutamaan bagi meningkatkan motivasi pengkarya terus bekerjasama dengan penerbit.

“Penerbit juga perlu menjalankan kajian kepuasan pelanggan secara berkala untuk melihat trend dan cita rasa pembaca, serta membuat penambahbaikan berterusan,” ujar Dr. Haliza lagi.

Program anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dengan kerjasama IPSAS, UPM itu turut menampilkan ahli panel lain, iaitu Timbalan Pengarah IPSAS, YBrs. Dr. Jeffrey Lawrence D’Silva dengan kertas kerja bertajuk “Penilaian Terhadap Kualiti dan Penerimaan Novel Berbahasa Melayu dalam Kalangan Belia” dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya dengan kertas kerja bertajuk “Cabaran dalam Memupuk Minat Membaca Novel Berbahasa Melayu dalam Kalangan Belia”.

Untuk rekod, kajian tentang persepsi belia terhadap novel terbitan DBP telah dilaksanakan oleh DBP menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera bermula April 2024 hingga November 2024.

Antara objektif wacana ini diadakan adalah untuk melaporkan dan membincangkan hasil kajian dalam bentuk wacana kepada khalayak tentang penerimaan novel berbahasa Melayu terbitan DBP dalam kalangan belia, memanfaatkan hasil kajian bagi tujuan merangka strategi penerbitan karya sastera DBP yang bermutu dan menjadi pilihan pembaca khususnya belia, dan mengeratkan hubungan kerjasama dengan penyelidik dalam menyebarkan ilmu, terutamanya yang berkaitan dengan kesusasteraan kebangsaan.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi