Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal menganjurkan kolokium Sastera: Kajian Cerpen pada 13 Mei 2026, mengulas dengan lebih mendalam mengenai aspek kepengarangan dan proses kreatif di sebalik penghasilan sesebuah karya.
Dengan membawakakan tema “Ada Apa dengan Cerpen?”, program ini meneliti bagaimana sesebuah cerpen diolah oleh 15 pengarang prolifik, sekali gus memberikan makna yang lebih mendalam terhadap kajian mereka.
Dalam sesi kolokium ini, Perancang Bahasa Bahagian Penyelidikan Sastera, Puan Fathenwan Wan Mohd Nor menjelaskan bahawa objek utama kolokium adalah untuk memberikan ruang kepada 15 pengarang prolifik menjelmakan atau mendefinisikan maksud cerpen mengikut lensa peribadi mereka.
“Setiap pengarang mempunyai falsafah, idea dan pemikiran yang berbeza antara satu sama lain. Kami mahukan perspektif unik mereka sendiri supaya masyarakat dan pembaca dapat mengetahui nilai cerpen menurut pandangan pengkaji itu sendiri,” jelas beliau dalam rancangan Cakna Bahasa yang disiarkan menerusi BERNAMA Radio.
Menurut Puan Fathenwan, kolokium ini menghimpunkan 15 pengarang profilik yang benar-benar menekuni kepakaran bidang cerpen untuk berkongsi idea dan pengalaman masing-masing.
Jelasnya, walaupun kehadiran penonton secara fizikal mungkin terhad, DBP mengharapkan penonton yang mengikuti siaran langsung melalui Facebook Langsung DBP dapat memperoleh inspirasi serta idea baharu untuk mencipta karya.
Program ini turut menjawab persoalan penulis baharu yang ingin menjinakkan diri dalam bidang penulisan, selain mencetuskan idea dan menentukan gaya penulisan untuk menghasilkan cerpen yang berkualiti.
“Melalui pembentangan 15 pengkaji mapan ini, penonton dapat melihat kepelbagaian punca ilham termasuk ada pengarang yang perlu mengembara atau menaiki pesawat untuk mendapatkan inspirasi, sekali gus membolehkan pembaca bertanya terus kepada pakar,” jelas Puan Fathenwan.
Selain nilai sastera, perbincangan turut menekankan tentang bakat menulis merupakan satu kelebihan yang boleh menjana pendapatan bagi golongan penulis muda. Penulis digalakkan untuk menghantar karya ke platform DBP seperti majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya untuk dinilai.
“Idea dan tulisan anda akan dihargai dan disimpan oleh pihak DBP, malah boleh menjadi salah satu sumber pendapatan bagi penulis. Oleh itu, jangan simpan koleksi karya anda, teruskan berkarya demi memartabatkan kesusasteraan tanah air,” tambah Puan Fathenwan.
Menyentuh hala tuju cerpen Melayu dalam tempoh 10 tahun akan datang, Puan Fathenwan mengharapkan agar penulisan cerpen terus utuh mengekalkan nilai budaya yang boleh dijadikan panduan serta rujukan buat masyarakat, terutamanya golongan muda.
Meskipun berdepan arus digital, kualiti cerpen tempatan masih berada pada tahap yang cemerlang hasil sumbangan penulis mapan dan penerima SEA Write Award seperti Allahyarham Othman Puteh, yang tekun mengekalkan kearifan tempatan dalam karya.
“Setiap penulis mempunyai gaya dan idea yang berbeza. Kita mahukan cerpen yang dihasilkan itu mempunyai nilai yang baik untuk masyarakat terus membaca,” tambahnya lagi.
Bagi penulis muda pula, mereka cenderung menggunakan tema berkaitan budaya pada masa kini, dengan mengekalkan nilai tersendiri dalam penulisan.
Mengulas mengenai kelebihan cerpen berbanding dengan novel, beliau juga menyatakan bahawa cerpen mempunyai dapatan kajian atau mesej yang lebih pantas buat pembaca. Sifatnya yang ringkas namun sarat dengan unsur didaktik, nilai kekeluargaan, serta kasih sayang menjadikan cerpen sebagai bahan bacaan yang sangat ideal buat golongan remaja.
“Berbeza dengan novel yang memakan masa agak lama dan mencecah beratus-ratus halaman, cerpen membolehkan pembaca memperoleh nilai dan pengajaran dengan lebih cepat menerusi gaya penulisan yang menarik dan padat,” jelasnya lagi.
Mengakhiri sesi tersebut, beliau menjelaskan bahawa DBP menawarkan pelbagai kursus penulisan dan sayembara untuk membantu penulis baharu.
“Para penulis janganlah berasa takut dan segan untuk menghantar karya kepada DBP bagi menghasilkan penulisan yang bermutu tinggi”.