Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menghimpunkan serta menerbitkan kertas kerja yang dibentangkan dalam Kolokium Sastera Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia sebagai usaha memperluas penyebaran ilmu kepengarangan dan memperkaya sumber rujukan dalam bidang kesusasteraan kebangsaan.
Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa berkata, semua kertas kerja yang dibentangkan sepanjang kolokium itu akan disunting dan dimurnikan sebelum diterbitkan bagi memastikan dapatan kajian serta pengalaman yang dikongsikan oleh para tokoh sastera dapat dimanfaatkan oleh khalayak yang lebih luas.
Menurut beliau, penerbitan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen DBP untuk menyediakan bahan bacaan dan rujukan berkualiti kepada penyelidik, pengarang baharu, pelajar, serta peminat sastera tanah air.
“Kami yakin dan percaya apabila hasil kolokium ini diterbitkan nanti, naskhah tersebut akan menjadi jambatan ilmu yang menghubungkan aliran kebijaksanaan penulis dengan semangat kreativiti anak muda,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Kolokium Sastera Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBP.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada enam tokoh yang terlibat menjayakan kolokium berkenaan, iaitu Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, SN Dato’ Rahman Shaari, Tan Sri Johan Jaaffar, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Dr. Hatta Azad Khan, dan Azmah Nordin.
Menurut beliau, perkongsian para tokoh tersebut amat bermakna dalam menjayakan matlamat kolokium yang bertujuan meneliti dan mendokumentasikan pengalaman sebenar pengarang dalam proses menghasilkan karya kreatif.
Katanya, pendekatan yang diketengahkan melalui siri kolokium anjuran DBP memberi peluang kepada khalayak untuk mendengar sendiri pengalaman, pemikiran dan kaedah kerja para pengarang dalam menghasilkan karya yang bermutu.
“Maklumat seperti ini perlu dikongsikan kepada penyelidik dan peminat sastera supaya dapat dimanfaatkan oleh generasi baharu,” katanya.
Sepanjang kolokium berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek kepengarangan termasuk peranan pengalaman hidup, pemikiran, latar belakang, kreativiti, dan gaya bahasa yang mempengaruhi penghasilan sesebuah karya sastera.
Beliau berharap agar perkongsian ilmu dan pengalaman yang terjalin melalui program tersebut tidak terhenti setakat penganjurannya sahaja, sebaliknya diteruskan melalui kerjasama penyelidikan yang lebih luas pada masa hadapan.
Tambah beliau, usaha berterusan dalam bidang kajian kepengarangan mampu memperkaya korpus ilmu sastera negara serta meningkatkan minat masyarakat, khususnya golongan muda, terhadap dunia kesusasteraan.
Dalam ucapannya, Fauzilahyatun turut memaklumkan bahawa program tersebut merupakan siri ketiga kolokium sastera yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan Sastera pada tahun ini selepas Kolokium Sastera Kajian Genre Puisi pada 11 Februari 2026 dan Kolokium Sastera Kajian Genre Cerpen pada 13 Mei 2026.