Diterbitkan pada 10 Mei 2026, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bandar Perda Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) meneruskan usaha memperkukuh dokumentasi dan pendigitalan khazanah sastera negara menerusi penganjuran ketiga Sesi Libat Urus Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia Zon Utara yang berlangsung meriah di Sudut Penulis, DBP Wilayah Utara. Sesi seterusnya akan berlangsung di Zon Selatan, serta di Sabah dan Sarawak.

Program yang menghimpunkan penulis dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, dan Perak itu menjadi platform penting dalam memperkenalkan inisiatif e-Wajah sebagai pangkalan data biografi penulis tanah air yang lebih sistematik, pantas dan bersifat semasa.

Sebelum ini, DBP mengeluarkan biodata penulis dalam bentuk buku fizikal yang agak terhad jumlah penulis dan isi kandungannya.

Penyampaian taklimat oleh Encik Nor Muhamad Zain yang menjelaskan tentang fungsi, kaedah pengumpulan data dan kepentingan penyertaan aktif penulis di seluruh negara.

Taklimat utama telah disampaikan oleh Encik Nor Muhamad Mat Zain yang menjelaskan tentang fungsi, kaedah pengumpulan data dan kepentingan penyertaan aktif para penulis di seluruh negara dalam usaha memperkaya maklumat biografi penulis Malaysia secara digital.

Menurut beliau, projek tersebut bukan sekadar mendokumentasikan biodata penulis, malah menjadi medium penting untuk memastikan karya dan sumbangan penulis tempatan terus dapat dijejaki oleh generasi akan datang. Antara kebimbangan utama DBP termasuklah kehilangan penulis dan karya mereka dalam radar pengkaji di Malaysia.

Tegas beliau, “Kita tidak mahu timbul masalah pada masa hadapan untuk mencari karya penulis hebat kerana kekangan maklumat yang mudah diakses oleh pengkaji.

“Oleh itu, dengan kewujudan platform ini, tidak akan timbul lagi masalah penulis yang tidak dapat dicari. Diharapkan agar semua penulis dapat menggembleng usaha untuk membantu DBP merealisasikan hasrat murni ini.”

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengarah DBP Wilayah Utara, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim yang menyampaikan ucapan alu-aluan dengan menekankan komitmen DBP dalam memperkasakan ekosistem kesusasteraan negara melalui pendekatan lebih inklusif dan mesra komuniti penulis.

Selain penulis pelbagai genre dari Zon Utara, sesi tersebut turut dihadiri oleh ketua persatuan penulis negeri yang menyambut baik usaha DBP memperluas jaringan kerjasama dengan penggiat sastera di seluruh negara.

Pada sesi perbincangan tersebut, turut dinyatakan bahawa pangkalan data Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia mempunyai manfaat besar, khususnya sebagai sumber rujukan pantas, cepat dan terkini kepada pelajar, sarjana, serta pengkaji dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

Program tersebut juga turut membuka ruang dialog dua hala antara peserta dengan pihak DBP berkaitan dengan dokumentasi penulis, pengemaskinian profil, serta cabaran pendigitalan bahan sastera dalam era teknologi maklumat masa kini.

 

 

 

 

Di samping itu, sesi libat urus seperti ini dilihat sebagai jambatan dan penghubung mesra antara DBP dengan para penulis di Malaysia, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik dalam usaha memartabatkan dunia penulisan dan persuratan Melayu.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi