Diterbitkan pada 10 Mei 2026, 13:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar Walaupun bertahan hingga kini dan boleh dianggap sebagai penulis tanah air yang mampan kerana sentiasa memenangi hadiah sastera besar dan kecil,
Puan Hajah Ratna Laila Shahidin merasakan dirinya hanya penulis kerdil.

“Saya bukan penulis besar kerana tidak menulis sepenuh masa sebagaimana beberapa orang rakan penulis veteran.

Ratna Laila Shahidin

“Saya juga tiada formula tertentu, ataupun berusaha menangani sebarang tekanan untuk kekal bertahan,” katanya, sambil menekankan beliau menulis kerana mahu menulis.

Ratna yang tinggal di Seremban selama 22 tahun kerana komitmen sebagai pendidik, telah kembali menetap di Kuala Kangsar, Perak.

Beliau menyatakan sedemikian semasa menjadi ahli panel “Namanya Ratna Laila Shahidin Ibu Bunga Matahari” (NRLSIBM) di Bilik Seri Kangsar, Perpustakaan Awam Cawangan Utama Kuala Kangsar, semalam.

Program anjuran bersama Naskhah Karya Publications (Naskhah Karya) dan Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk) Cawangan Kuala Kangsar itu dikendalikan oleh Encik Rosman Md. Shah, Ahli Jawatankuasa Kerja Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) sebagai moderator.

Program tersebut diadakan bersempena dengan Kuala Kangsar Library Fest 2026 anjuran PPANPk pada hari yang sama dari pukul 8.00 pagi hingga pukul 5.00 petang.

Encik Rosman Md. Shah yang juga dikenali sebagai usahawan buku, turut membangkitkan beberapa perkara menarik kepada Ratna. Antaranya termasuklah memperkenalkan teknik siNamo, iaitu teknik mengatasi masalah kesukaran untuk menulis sajak.

“Hal ini berpunca daripada masalah semasa di Maktab Raja Melewar apabila pelajar tidak mampu menghasilkan sajak dengan dengan baik. Saya mendapat idea dan mengajak rakan-rakan dari pelbagai jabatan untuk mengamalkannya.

“Maklum balas yang baik juga diberikan oleh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang,” jelas Ratna.

Tambah beliau, “Semasa peperiksaan di Sekolah Menengah Clifford, calon yang panik berasa lega kerana siNamo sangat membantu mereka menulis sajak dengan lebih pantas.”

Hasrat Puan Hajah Ratna Laila untuk membukukan teknik siNamo turut disokong oleh Encik Rosman Md. Shah yang berharap agar teknik tersebut dapat membantu lebih banyak orang yang ingin menulis sajak.

Beliau turut sempat mendeklamasikan sebuah sajak bertajuk “Ibuku Perempuan Biasa”. Sajak itu menyatakan kesyukurannya terhadap rezeki pemberian Tuhan dan memiliki ibu bapa yang kuat semangat.

“Semasa bersekolah dahulu, saya selalu dihina kerana miskin. Walau bagaimanapun, terdapat seorang guru yang memberikan kata-kata semangat. Alhamdulillah, saya berjaya meneruskan persekolahan dan pengajian, serta memperoleh beberapa kejayaan dalam bidang penulisan sastera,” tegas beliau.

Puan Ratna Laila Shahidin (kanan) dan Encik Rosman Md. Shah.

Selain pelancaran buku berjudul Ratna Laila Shahidin Ibu Bunga Matahari oleh YBrs. Encik Armin Azhari Saleh, Mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, program ini turut diserikan dengan deklamasi sajak “Sehelai Kata Memimpin Rasa” (Dedikasi buat Ratna Laila Shahidin) oleh penyair Ijamala Mn dan sajak “Buku Itu” oleh Siso Kopratasa yang merupakan karyanya sendiri.

Turut hadir termasuklajh pengasas Naskhah Karya, Encik Mohd. Isnin Tawaf; Bendahari Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Encik Usman Gumanti Ibrahim; Timbalan Presiden Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak (PENTAS), Encik Razali Mohd. Yussof; serta penyair Djazlam Zainal dan Rosmiaty Shaari.

Kredit Foto: Raja Yusoff Raja Ariffin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi