Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Sastera masih menjadi wahana penyatuan jiwa apabila Bengkel Bimbingan Penulisan dan Deklamasi Puisi Rawat Jiwa 2025 anjuran Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis berjaya menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar umur di Bilik Seminar JKKN Perlis baru-baru ini.
Selain bertujuan untuk mengasah bakat penulisan dan deklamasi puisi, program yang turut dihadiri oleh Pengarah DBPWU, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim ini berperanan sebagai wahana terapi yang menyemai kecintaan terhadap bahasa serta memperkukuh hubungan manusia dengan nilai kemanusiaan.
Peserta berpeluang menimba ilmu secara langsung daripada YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, yang berkongsi teknik penulisan puisi bermutu serta seni deklamasi yang menyentuh perasaan.

Setiap karya yang dihasilkan oleh peserta dalam program ini dibentangkan di hadapan Dato’ Rahman Shaari untuk diperhalusi.
Menurut Dato’ Rahman Shaari, penulisan puisi tidak seharusnya dilihat sebagai aktiviti eksklusif golongan tertentu, sebaliknya perlu dijadikan medan terapi jiwa yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja.
“Puisi ialah cerminan batin manusia. Melaluinya, kita melatih fikiran untuk menjadi jernih dan jiwa untuk menjadi tenang.
“Penulisan yang baik bukan hanya soal keindahan bahasa, tetapi tentang bagaimana puisi itu mendidik hati kita,” jelas beliau semasa sesi bimbingan.