Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Sayembara Deklamasi Puisi Perpaduan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan 2026, yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada pukul 2:30 petang semalam telah berjaya memperlihatkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum melalui penghayatan bahasa dan sastera kebangsaan sebagai medium penyatuan.
Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar seperti Melayu, Cina, India, dan Iban dalam satu pentas yang sama.
Ketua hakim, Encik Nik Mohamad Iznan Tuan Yaakub, menyifatkan penganjuran sayembara ini sebagai satu wadah penting dalam mengangkat bahasa dan sastera sebagai medium penyatuan masyarakat majmuk di negara ini.
Menurut beliau, penyertaan pelbagai kaum bukan sahaja mencerminkan realiti masyarakat Malaysia, malah membuktikan bahawa bahasa kebangsaan mampu menjadi milik bersama tanpa mengira latar etnik.
Beliau turut menegaskan bahawa deklamasi karya tokoh sastera oleh para peserta daripada pelbagai kaum memberikan dimensi yang lebih mendalam terhadap konsep perpaduan.
“Perkara ini menunjukkan bahawa penyatuan bangsa wujud dalam sayembara ini,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa para peserta menunjukkan kesungguhan dalam menguasai pentas dengan gaya masing-masing yang dipengaruhi oleh latar budaya, sekali gus menjadikan setiap deklamasi unik dan beridentiti.
Usaha peserta bukan berbangsa Melayu dalam menguasai sebutan dan intonasi bahasa Melayu turut menunjukkan kesungguhan serta komitmen mereka dalam menghayati bahasa kebangsaan sebagai medium perpaduan.
“Kejelasan artikulasi dan keberanian mereka menggunakan bahasa kebangsaan merupakan manifestasi perpaduan yang nyata,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Perpaduan disandang oleh Sdr. Muhamad Nur Ikhwan Abdul Kassim yang membawa sajak bertajuk “Kami Tidak Akan Pergi” nukilan Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan.
Naib Johan pula disandang oleh Sdr. Yamin Hussaini Yusup dengan sajaknya yang bertajuk “Bahasalah dalam Bahasamu” nukilan SN Baha Zain dan Tempat Ketiga disandang oleh Sdri. Myceasarion Santa Franklin yang membawa sajak bertajuk “Harga Sejarah” nukilan SN Rahman Shaari.
Sementara itu, lima orang peserta telah mendapat Hadiah Sagu Hati, iaitu Sdr. Ammar Wazif Mahmud, Sdri. Esther A/P Paramanthan, Sdri. Rabiatul Adawiyah Meor Ahmad Effendy, Sdr. Muhammad Nafi Haikal Mohd Nizal, dan Sdr. Aqil Haikal Norisam.
Secara keseluruhannya, program ini memperlihatkan bahawa sayembara tersebut bukan sekadar sebuah pertandingan, sebaliknya menjadi platform semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia melalui penghayatan bahasa dan sastera kebangsaan.