Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Sentuhan kemanusiaan dalam karya sastera tetap tidak mampu ditiru sepenuhnya oleh mesin, dan itulah kekuatan sastera sebagai warisan budaya dan nilai.
Meskipun kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang, ketulenan sesebuah karya masih mampu dikenal pasti oleh masyarakat yang celik sastera.
Demikian kata-kata oleh YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari dalam Forum Bicara Bahasa, Semarak Sastera anjuran bersama Jabatan Pengajian Melayu, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara bersempena dengan Sambutan Jubli Perak IPG Kampus Perlis, Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Perlis dan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) baru-baru ini.
Forum yang mengangkat tema “Bahasa dan Sastera: Legasi Keilmuan, Aspirasi Pendidikan” di IPG Kampus Perlis ini turut melibatkan dua lagi figura dalam dunia sastera dan bahasa, iaitu Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Encik Saifullizan Yahaya.
Mereka memberikan penjelasan terhadap kepentingan bahasa dan sastera sebagai warisan bangsa yang bukan sahaja mendidik jiwa dan minda, malah membentuk nilai kemanusiaan dan peradaban.
Pengarah IPG Kampus Perlis, YBrs. Encik Amran Mahadi dalam ucapan alu-aluannya berkata, forum ini bukan sekadar medan wacana, tetapi merupakan manifestasi kecintaan terhadap bahasa dan sastera yang perlu sentiasa dipupuk dalam jiwa pendidik dan generasi muda.
“Forum ini melambangkan bahasa dan sastera. Tanpa sentuhan sastera, seorang pendidik hilang rasa kemanusiaan,” tegasnya.