Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Karya sastera Melayu klasik bukan sekadar memaparkan dunia magis dan pengembaraan wira, sebaliknya mengandungi imaginasi masa hadapan yang seiring dengan konsep futuristik moden. Hal tersebut diketengahkan dalam Siri Diskusi Manuskrip Melayu DBP Bil. 1/2026 yang membicarakan buku Siri Warisan Sastera Klasik: Hikayat Syah Mardan pada 27 Februari lalu menerusi Studio Media Sosial DBP.
Melalui diskusi bertajuk “Imaginasi Masa Hadapan dalam Hikayat Syah Mardan: Satu Analisis Prafuturistik”, pensyarah Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (PJJ USM), YBrs. Dr. Wan Roshazli Wan Razali menyatakan bahawa unsur magis ialah sumber utama dalam penulisan karya-karya silam yang boleh ditafsirkan sebagai imaginasi terhadap teknologi yang belum direalisasikan.
Selain itu, unsur ini juga melibatkan perubahan fizikal manusia melalui kuasa dan menyentuh imaginasi masa hadapan tetapi bukan secara radikal atau canggih seperti dunia moden.
“Karya-karya fantasi moden seperti The Spiderwick Chronicles, Narnia dan The Lord of the Rings dan berbagai-bagai cerita fiksyen memperlihatkan sesuatu yang hampir sama dengan kisah-kisah klasik yang kita ada ini,” katanya apabila menimbulkan persoalan tentang keupayaan masyarakat Barat mengangkat karya klasik mereka melalui filem.
Beliau juga menyatakan bahawa jika dibandingkan dengan siri fantasi moden Barat, masyarakat Melayu sudah lama mengembangkan alam fantasi yang kompleks dengan naratif yang menekankan keberanian, pengembaraan dan interaksi antara manusia dengan dunia ghaib.
Wan Roshazli juga menerangkan peranan watak kepahlawanan dalam hikayat tidak dapat dipisahkan daripada struktur kepercayaan masyarakat yang melihat hubungan antara manusia, kuasa dengan alam ghaib sebagai saling berkait.
Watak Syah Mardan berbicara dengan orang mati, pertemuan dengan malaikat dan Syah Mardan dibawa terbang oleh Burung Garuda merupakan antara sebab naskhah ini dianggap prafuturistik kerana berlaku melalui sistem magis dan kosmologi. Dalam dunia futuristik moden, watak wira akan dibantu oleh “teknologi”, namun dalam hikayat pula, sering dikaitkan dengan makhluk ghaib.
Selain pembinaan watak yang magis dalam Hikayat Syah Mardan, beliau menjelaskan bahawa unsur persenjataan juga menyumbang kepada kekuatan cerita.
Syah Mardan dikurniakan senjata yang hebat dan kenderaan yang kuat bagi membantunya. Senjata panah bertukar naga dan kenderaan Wilma antara contoh dalam hikayat tersebut.
Wan Roshazli menyimpulkan bahawa walaupun semua elemen dibingkaikan dalam sistem magis dan kepercayaan tradisional, fungsi itu menyerupai unsur futuristik moden.
Hikayat Syah Mardan membuktikan bahawa literasi Melayu klasik telah melahirkan imaginasi yang sejajar bahkan mendahului trend fantasi Barat moden.
Penyampaian cerita hikayat bukan sahaja sekadar hiburan tetapi sarat dengan pengajaran budaya, nilai kepahlawanan dan refleksi etika.
Teks sastera Melayu klasik mengandungi potensi pemikiran yang kaya jangkauan pemikiran pengarang silam dan wajar dilihat sebagai sebahagian daripada sejarah imaginasi masa hadapan dalam tradisi tempatan.
Naskhah yang dibincangkan merupakan manuskrip yang telah dimikrofilemkan dan disimpan di Perpustakaan Negara Malaysia, dengan catatan pemilikan oleh T.J. Chamberline di Labuan bertarikh 30 Ogos 1871.
Program diskusi yang dikendalikan oleh pensyarah PJJ USM, YBrs. Dr. Darwalis Sazan sebagai moderator ini merupakan anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBP. Rakaman penuh diskusi boleh ditonton melalui saluran YouTubeDBP.
