Diterbitkan pada 10 April 2026, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS), Jabatan Dasar dan Penyelidikan dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah telah menganjurkan Sesi Libat Urus (SLU) Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia bagi Zon Tengah di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP pada 8 April lalu.

Ketua BPS, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa program ini dijalankan selari dengan objektif keempat penubuhan DBP, iaitu memajukan bakat sastera dengan memperkembangkan dan menggalakkan bakat sastera, serta kesenian bahasa kebangsaan.

Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, YBrs. Encik Saifullizan Yahaya menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Sesi Libat Urus (SLU) Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia bagi Zon Tengah.

Dalam Taklimat Portal Biografi Penulis: e-Wajah Penulis Malaysia, Perancang Bahasa BPS, Encik Rusdi Abd. Rahman, memaklumkan bahawa objektif pelaksanaan program tersebut adalah untuk mempergiat perolehan maklumat para penulis yang terkini, memperkenalkan pelantar e-Wajah kepada penulis dan persatuan penulis, serta mendokumentasikan maklumat penulis sebagai korpus rujukan peringkat negara dan antarabangsa.

Cadangan untuk mewujudkan pelantar carian berkaitan dengan pengarang dan Sasterawan Negara (SN) untuk dijadikan rujukan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah dikemukakan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bahasa dan Sastera Bil. 1/2024.

“Bahagian Penyelidikan Sastera telah berbincang dengan Bahagian Sistem Maklumat untuk mewujudkan Portal Biografi Penulis: e-Wajah bagi memudahkan rujukan dan penyebaran maklumat penulis dengan lebih luas,” katanya.

E-Wajah telah diwujudkan bermula pada 28 Julai 2025 dan boleh diakses menerusi laman web rasmi DBP.

“Sehingga Mac 2026, e-Wajah mengandungi 136 biografi penulis Malaysia. Bagi meneruskan penambahan entri e-Wajah pada tahun ini, BPS akan melaksanakakan SLU bersama-sama penulis dan persatuan penulis di Malaysia, dengan kerjasama Pejabat DBP Cawangan dan Wilayah,” jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa projek SLU ini penting dilaksanakan bagi memperlihatkan peranan DBP sebagai badan kerajaan yang mengiktiraf dan menghargai peranan penulis di Malaysia.

SLU juga merupakan medium untuk menyantuni dan merapatkan DBP dengan para penulis dan persatuan penulis, selain diharapkan dapat meningkatkan keyakinan mereka terhadap peranan DBP dalam memartabatkan kesusasteraan kebangsaan.

Sementara itu, Saifullizan turut menjelaskan bahawa segala pindaan maklumat penulis dilakukan sepenuhnya oleh pihak DBP secara berkala.

Beliau menyatakan bahawa pengguna boleh menggunakan aplikasi terjemahan sedia ada untuk menukar maklumat tersebut ke dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain bagi capaian antarabangsa.

Aspek kelayakan penulis yang melibatkan golongan veteran dan muda, perbezaan definisi antara penulisan dengan karya, serta kaedah susunan nama mengikut abjad turut dibincangkan secara mendalam.

Dalam masa yang sama, karyawan BPS bersama-sama Pengarah DBP Wilayah Tengah, YBrs. Puan Julia Alani Henry, mengemudi sesi perkongsian Biografi Penulis Malaysia: Dokumentasi Kesusasteraan Kebangsaan yang telah diterbitkan secara fizikal, iaitu buku Wajah: Biografi Seratus Penulis (1981) yang menampilkan biografi ringkas 100 orang penulis, A Biography of Malaysian Writers (1985), Wajah: Biografi Penulis (Edisi Kedua) (1988), Wajah: Biografi Penulis (Edisi Ketiga) (2005), dan Wajah II: Biografi Penulis (2021) yang memuatkan biografi 92 orang penulis.

Program SLU ini yang disertai oleh para penulis dari Zon Tengah dan pemimpin persatuan penulis tanah air dijangka akan diperluaskan pula ke Zon Utara, Selatan, Timur serta Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh dokumentasi penulis di seluruh negara.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi