Diterbitkan pada 16 April 2026, 19:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) sentiasa sedar akan tanggungjawab dan kepentingan untuk mengangkat manuskrip Melayu lama sebagai bahan bacaan yang menarik kepada semua rakyat Malaysia. Apatah lagi pada masa sekarang ini DBP berdepan dengan kesukaran mencari pentransliterasi Jawi kepada Rumi yang berkemahiran.

Sehubungan dengan itu, BPS telah mengambil langkah positif untuk melatih karyawannya sendiri dengan mengangkat Hikayat Shamsul Anuar (MSS90) simpanan Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) sebagai naskhah pelatihan.

Projek ini selari dengan Pelan Strategik DBP 2021 – 2025 di bawah Teras Strategik: Bahasa Melayu Bahasa Ilmu melalui Strategi Utama Pemeliharaan dan Pemuliharaan Khazanah Persuratan Melayu: Mentransliterasikan Karya Agung/Naskhah Tradisional.

Antara karyawan BPS yang terlibat sebagai pentransliterasi termasuklah W Zalina Rajali, Seri Banon Md. Kasim, Fathenwan Wan Mohd Nor, Sylee Riza Arif, Nurul Hidayah Yusof, dan Nor Adilah Abu Bakar.

Hikayat Shamsul Anuar (MSS 90) atau nama lainnya, Hikayat Badrul Muin setebal 1,044 halaman (enam jilid) dikarang oleh seorang pengarang wanita yang bernama Raja Aishah Raja Sulaiman.

Beliau yang dilahirkan pada tahun 1870 di Istana Kampung Baru, Pulau Penyengat, Riau, merupakan cucu Raja Ali Haji, seorang pengarang, cendekiawan dan ulama terkenal di Nusantara.

Hikayat Shamsul Anuar MSS90 yang siap ditransliterasikan dan dibukukan dalam tiga jilid.

Selain naskhah ini, Raja Aishah juga mengarang beberapa naskhah lain, iaitu Syair Khadammudin, Hikayat Sariful Akhtar dan Syair Seligi Tajam.

Manuskrip tersebut disalin dalam buku latihan atau rampaian berukuran 22 sentimeter x 18 sentimeter dan dibeli daripada Tengku Zam Zam pada tahun 1963 serta kini masih dalam keadaan baik.

Selain versi ini, hikayat ini mempunyai lima versi lain, iaitu naskhah kedua yang ditandai dengan MSS 90A (PDM DBP), senaskhah di Muzium Negeri Terengganu dan dua naskhah MS1 dan MS5 simpanan Perpustakaan Universiti Malaya dan satu naskhah, masing-masing berada di Leiden dan British Library di London.

Hikayat ini mengangkat tema kebebasan wanita dalam menentukan hala tuju kehidupannya dalam pendidikan, kepimpinan dan pilihan jodoh pada zaman semua perkara kehidupan dikuasai oleh golongan patriarki.

YBrs. Encik Saifullizan Yahaya selaku Ketua Bahagian BPS berbesar hati mengundang para pengkaji sastera atau peminat karya sastera tradisional yang ingin mengkajinya dengan lebih lanjut atau membaca manuskrip ini sebagai bahan bacaan yang baik.

Hikayat ini sangat menarik dan terperinci dalam pemerian tentang sudut pandangan wanita tentang kepimpinan, kecantikan paras dan pakaian watak wira dan wirawati serta suasana peperangan.

Satu lagi perkara yang menarik ialah pengaruh istilah Arab begitu dominan dalam hikayat ini disebabkan pengarangnya mempunyai latar belakang Arab dalam pendidikan keluarganya.

Kredit Foto: W Zalina Rajali
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi