Diterbitkan pada 9 Mei 2026, 07:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan disarankan untuk menjadikan inisiatif mempertingkat dan meluaskan kajian manuskrip Melayu lama sebagai agenda negara dengan menyediakan peruntukan yang sewajarnya kepada pihak berkaitan.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM Shah Alam, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan berkata, kerja-kerja penyelidikan terhadap manuskrip Melayu lama memerlukan tenaga pakar yang berkemahiran tinggi dalam bidang berkaitan.

“Kita jangan seronok jadi pusat himpunan saja. Yang penting (manuskrip) dikaji dan diterbitkan dalam bentuk yang lebih mudah dihayati serta difahami oleh masyarakat umum, bukan hanya terbatas kepada karya akademik atau ilmiah semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Siri Telaah Resensi Buku Taj al-Salatin: Adab Ketatanegaraan dan Prinsip Pemerintahan Raja-Raja Melayu yang disiarkan menerusi YouTube Perpustakaan UiTM, semalam.
Menurut Awang, pendigitalan manuskrip merupakan kaedah terbaik bagi memudahkan akses masyarakat umum, selain membolehkan kandungan manuskrip dimanfaatkan secara lebih meluas.

Sementara itu, mengulas buku Taj al-Salatin, beliau menyifatkan, karya tersebut berupaya menjadi sumbangan besar dalam memenuhi gagasan tatakelola kerajaan yang berintegriti.

Katanya, karya tersebut bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya menggambarkan kemantapan sistem pemerintahan beraja pada zaman silam yang benar-benar berpaksikan perlembagaan dan peraturan.

“Karya ini menggambarkan kemantapan kerajaan Melayu pada zaman silam, justeru semua pihak perlu menghormati dan menghayati karya-karya agung seperti ini untuk dijadikan iktibar serta panduan dalam memacu pentadbiran negara ke arah yang lebih baik,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemerintahan kesultanan Melayu tradisional mampu bertahan dan berkembang melebihi satu alaf kerana mempunyai asas serta garis panduan dengan rujukan yang jelas.

Awang Sariyan mencontohkan kesultanan tersebut antaranya termasuklah Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Aceh, Kesultanan Patani, Kesultanan Demak, Kesultanan Banjar, Kesultanan Kalimantan, Kesultanan Brunei, dan Kesultanan Sulu.

“Jika tidak ada asas yang kuat, garis panduan atau rujukan yang jelas tidak mungkin kesultanan-kesultanan ini mampu berkembang dalam tempoh melebihi satu alaf,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar karya klasik tersebut diringkaskan dalam bentuk yang lebih mudah difahami agar boleh dibaca oleh semua lapisan masyarakat termasuk golongan remaja dan pelajar sekolah.

Pendekatan tersebut katanya, bagi membolehkan golongan berkenaan memahami kehebatan tamadun Melayu bermula dari usia awal selain mengelakkan kekeliruan terhadap sistem pemerintahan negara.

“Kalau pelajar sudah belajar tentang peraturan pemerintahan dan fasal perlembagaan sejak bangku sekolah lagi, insya-Allah tidak timbul kekeliruan atau tanggapan sistem pemerintahan negara tidak mempunyai rujukan atau garis panduan yang kukuh,” katanya.

Kredit Foto: Perpustakaan UiTM
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi