Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Sambutan setengah abad Hari Puisi Nasional dan pelancaran Hari Puisi Malaysia pada tahun 2021 lalu wajar dijadikan medan muhasabah oleh para pemuisi untuk menilai kekuatan, kerelevanan dan keberkesanan puisi dalam pembinaan insan dan negara. Puisi, sama ada melalui penghasilan penulis mahupun penghayatan khalayak, perlu diangkat sebagai usaha memanusiakan manusia yang kian terhakis nilai kemanusiaannya.
Penegasan tersebut disampaikan oleh YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan merangkap Penasihat Utama PEMUISI, ketika merasmikan Malam Sanjungan Puisi Kembara Bahasa anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Kolej Islam Antarabangsa Malaysia (IICM) baru-baru ini di Dewan Besar, IICM.
Dalam ucapannya, YB Senator Awang Sariyan menekankan bahawa puisi harus dihasilkan dan dihayati secara berfungsi, bukan sekadar indah secara hiasan, agar mampu menyampaikan nilai kebenaran, keadilan, akhlak, dan kemanusiaan.
Menurut beliau, sastera wajar menjadi wasilah pembentukan makna diri dan sahsiah melalui keseimbangan antara isi dan estetika, sebagaimana konsep keindahan yang fungsional yang mendukung perutusan luhur secara berkesan.
Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr Radzuan Ibrahim pula merakamkan penghargaan atas kesudian YB Senator Awang Sariyan merasmikan program berkenaan yang diadakan bagi menyanjungi jasa tokoh bahasa, sastera dan budaya Melayu itu.
Beliau turut membacakan latar belakang YB Senator Awang Sariyan sebagai ilmuwan dan pemuisi prolifik yang aktif memartabatkan bahasa dan persuratan Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa serta penerima Anugerah PEMUISI Malaysia “Pemuisi Sepanjang Hayat” pada tahun 2024 itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IICM, YBrs. Tuan Shaik Faridhudheen Anverdeen C.A.(M) menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada PEMUISI kerana memilih IICM sebagai rakan strategik penganjuran program tersebut, sekali gus membuka ruang kerjasama berterusan dalam aktiviti puisi, sastera dan seni budaya.
Program yang dihadiri lebih daripada 200 peserta itu diserikan dengan bacaan puisi dan lagu puisi karya YB Senator Awang Sariyan oleh pemuisi undangan, persembahan artistik dan monolog.
Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuk Penasihat Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL), YBhg. Datuk Seri Izuddin Ishak; Pengerusi Parklane Bhd., YBhg. Datuk Seri Dr. Wan Fadzil Wan Farid; dan Naib Canselor Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), YBrs. Profesor Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Sheikh.