Diterbitkan pada 18 Januari 2026, 19:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ampang – Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai satu daripada badan bukan kerajaan (NGO) sastera paling prolifik di tanah air melalui penganjuran Kursus Induksi Kepimpinan PEMUISI 3.0 2026.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Penasihat Utama PEMUISI, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan. Dalam ucapannya, beliau memberikan pengiktirafan tinggi terhadap dedikasi persatuan tersebut.

“Dalam pengamatan saya, PEMUISI merupakan satu daripada persatuan sastera yang paling aktif di Malaysia. Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja berkesan, malah berjaya mengangkat martabat puisi dan pemuisi tanah air secara keseluruhannya, pada peringkat nasional mahupun antarabangsa,” ujarnya.

Beliau turut memuji kejayaan penganjuran majlis berskala besar seperti Hari Puisi Malaysia, Konvensyen Pemuisi Sedunia serta kejayaan terbaharu, iaitu Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku yang dirasmikan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor baru-baru ini.

Program yang berlangsung pada hari Sabtu di Studio PEMUISI, Ampang ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memantapkan struktur organisasi dan menyatukan visi perjuangan seni pada peringkat nasional.

Kursus yang dihadiri oleh 20 pemimpin utama, termasuk Ahli Exco, Pengerusi Biro Negeri dan Ketua Sayap ini, bertujuan untuk menjadi wadah penyegaran semangat persatuan tersebut.

Presiden PEMUISI Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim, dalam amanat pembukaannya bertajuk “Aspirasi dan Harapan PEMUISI”, menekankan bahawa kepimpinan dalam sastera merupakan amanah yang berat.

“Kepimpinan bukan sekadar jawatan. PEMUISI melangkah dengan visi dan berjuang demi martabat bahasa serta jiwa bangsa,” tegasnya.

Sepanjang kursus, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul pengurusan NGO yang komprehensif. Antara pembentangan utama termasuklah “PEMUISI sebagai NGO Kebangsaan: Mandat, Amanah dan Hala Tuju” oleh Setiausaha Agung PEMUISI, Drs. Sundarappandian Valusamy yang mengupas peranan PEMUISI sebagai NGO kebangsaan yang memegang mandat masyarakat.

Penolong Setiausaha Agung PEMUISI, Juzaila Abd. Satar pula meneruskan sesi dengan pembentangan “Struktur Peranan Kepimpinan Pusat, Biro Negeri dan Ketua Sayap PEMUISI”, dengan memperjelas fungsi, peranan serta sinergi organisasi agar gerak kerja lebih tersusun dan berkesan.

Exco PEMUISI, Vasanthan Gopalan membawakan tajuk “Impian Rumah PEMUISI dan Gerakan Aktif bagi Merealisasikan Setiap Aktiviti dan Program PEMUISI” sebagai simbol aspirasi jangka panjang persatuan.

Dalam pada itu, Bendahari PEMUISI, YBhg. Datuk Wan Aziz Wan Hamzah pula berkongsi pengalaman melalui tajuk “Pendanaan dan Sumber Dana PEMUISI”, sebagai panduan memperkukuh kelangsungan program dan inisiatif persatuan.

Sementara itu, Exco PEMUISI, Siti Nabilah Kasdi membincangkan tajuk “Peranan Digital dan Media Sosial dalam PEMUISI” selari dengan tuntutan zaman dan keperluan mendekati generasi baharu.

Exco PEMUISI, Umar Mokhtar Abdullah pula membentangkan tajuk “Audio Siar dan TV PEMUISI”, sebagai platform strategik memperluas suara pemuisi dan memperkasa jenama persatuan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sebagai rekod, penganjuran kursus edisi ketiga ini dijangka menjadi nadi penting dalam menyemarakkan semangat, memperkukuh iltizam serta memperteguh tanggungjawab kepimpinan PEMUISI agar terus relevan, berwibawa dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.

Kredit Foto: PEMUISI Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi