Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGeorgetown – Puisi perlu terus dimartabatkan sebagai wahana pembinaan tamadun dan pembentukan jati diri bangsa, khususnya dalam kalangan generasi muda, sejajar dengan pembangunan negara yang seimbang dari segi ilmu, teknologi dan kebudayaan.
Demikian ditegaskan oleh Ahli Dewan Negara, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan yang juga Penasihat Utama PEMUISI ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Layar Puisi Anak Muda anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), yang berlangsung di Dewan Seri Negeri, malam semalam.
Menurut beliau, puisi merupakan genre istimewa dalam sejarah kesusasteraan dunia yang telah berperanan sebagai medium komunikasi, pendidikan dan suara batin bangsa sejak zaman tamadun awal, termasuk Yunani, Arab dan pelbagai peradaban lain.
“Tamadun Melayu tidak terkecuali. Pantun sebagai puisi tradisional Melayu telah wujud lebih seribu tahun lalu melalui tradisi lisan dan menjadi wahana penjelmaan nilai, falsafah, adab, dan cara hidup bangsa,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kemasukan pengaruh Islam telah memperkaya puisi Melayu melalui genre seperti syair, nazam, ruba‘i dan gurindam, manakala pengaruh Barat pula memperkenalkan sajak sebagai bentuk puisi moden.

Dalam ucapannya, YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan merakamkan penghargaan terhadap usaha PEMUISI yang konsisten memasyarakatkan puisi sejak tujuh tahun lalu, termasuk memperluas pelibatan generasi muda melalui penubuhan Kerabat Remaja PEMUISI pada tahun 2023.
Beliau menyifatkan penganjuran Program Layar Puisi Anak Muda oleh Biro PEMUISI Negeri Pulau Pinang sebagai satu inisiatif berimpak tinggi dalam menyemai minat, penghayatan dan penghargaan terhadap puisi dalam kalangan anak muda.
“Saya yakin melalui program seperti ini, golongan muda akan terdorong untuk menghasilkan puisi dan terlibat dalam seni persembahan seperti deklamasi, puisi artistik, dekon (deklamasi lakon) dan lagu puisi, sekali gus memastikan kesinambungan puisi sebagai warisan tamadun,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyarankan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperluas inisiatif pemasyarakatan puisi dan sastera pada semua peringkat pendidikan, termasuk menjadikan sastera merentas bidang pengajian sebagai santapan rohani untuk menghaluskan budi dan pekerti.
“Negara memerlukan birokrat dan teknokrat yang bukan sahaja cekap dalam kerjaya, tetapi juga matang, beretika dan halus budinya. Puisi dan sastera merupakan wasilah yang berkesan dalam pembinaan karakter,” ujarnya.
Beliau turut menggesa agar lebih banyak program puisi melibatkan generasi muda dianjurkan secara terancang melalui kerjasama strategik antara PEMUISI, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) serta badan-badan sastera lain di seluruh negara, termasuk pelaksanaan inisiatif Kembara PEMUISI yang dirancang bermula pada tahun 2026.
Sementara itu, Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim yang turut berucap dalam program yang sama menyatakan bahawa program Layar Puisi Anak Muda 2025 itu merupakan kesinambungan pelancaran Keahlian Kerabat Remaja PEMUISI di Kuala Lumpur pada tahun 2023. Sejak itu, PEMUISI telah mewujudkan sayap remaja tanpa dikenakan sebarang yuran bagi menggalakkan anak muda yang terdiri daripada pelajar sekolah, kolej atau universiti menyertai PEMUISI.
Program Layar Puisi Anak Muda pada kali ini melibatkan 52 orang peserta yang terdiri daripada pelajar dari seluruh negara, dengan 10 persembahan puisi dipentaskan sepanjang program.

Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Ahli Dewan Negara, YB Senator Amir Haji Md Ghazali; Pengerusi GPMS, YBrs. Encik Muhammad Danial Alimin; Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), YBhg. Profesor Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya; Pengurus Tenaga Nasional Berhad (Hal Ehwal Pihak Berkepentingan TNB Pulau Pinang), YBrs. Encik Mohd Alwi Mohd Nadzir; dan Sasterawan Negeri Pulau Pinang, Encik Zurhan Bakar.