Diterbitkan pada 2 Januari 2026, 11:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin Abdul Rahman berkenan untuk merasmikan Majlis Puisi Dirgahayu Tuanku yang akan berlangsung pada 8 Januari 2026 di Ball Room, Hotel Wyndham Acmar Klang.

Majlis tersebut yang bertujuan memberikan penghormatan terhadap Institusi Raja-Raja Melayu merupakan anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) dengan kerjasama Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Jabatan Pemerkasaan Adiwangsa dan Universiti Teknologi MARA.

Presiden PEMUISI, YBhg. Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim dalam kenyataan akhbar menyatakan bahawa sebuah buku Antologi Puisi Dirgahayu Tuanku terbitan PEMUISI akan turut dilancarkan oleh DYMM Tengku Permaisuri Selangor dalam majlis yang sama.

“Buku ini merupakan sebuah himpunan suara hati rakyat yang bernaung di bawah payung Tuanku Raja-Raja Melayu dan setiap bait yang terhimpun dalam buku ini lahir daripada rasa hormat, setia dan kasih yang berakar dalam Institusi Raja-Raja Melayu yang merupakan tiang seri negara, pelindung adat dan penjaga maruah bangsa,” katanya.

Menurutnya, majlis tersebut akan diserikan dengan pelbagai acara persembahan menarik seperti bacaan puisi, syair, persembahan puisi artistik, monolog, lagu-lagu puisi, tarian, dan silat.

“Antara yang mengambil bahagian termasuklah YB Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan, Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan, penyanyi tersohor Datuk Nash, Dr. Shafa’atussara Silahudin, Man Kayan, Johan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia 2025, iaitu Nor Atiekah Hidayah Hussin, dan Deklamator Puisi Artistik Kebangsaan, Zafran A.

“Inilah julung kali PEMUISI mengadakan majlis menghormati Institusi Raja-Raja Melayu dalam bentuk puisi. Selain persembahan puisi, kami juga menzahirkan rasa hormat dan menjunjung kasih kami dalam puisi dengan menerbitkan sebuah buku antologi puisi yang ditulis oleh 46 orang pemuisi, termasuklah Sasterawan Negara,” katanya.

Lebih daripada 200 tetamu dijangka akan hadir ke majlis tersebut yang terdiri daripada pemuisi, sasterawan, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta, pelajar universiti, peminat puisi serta orang awam.

Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim mengundang semua peminat puisi tanah air untuk bersama-sama hadir memeriahkan majlis tersebut dan membuat pendaftaran kehadiran dengan menghubungi talian 012-2118303 atau 012-6489703.

“Masih ada kekosongan untuk masyarakat menyaksikan majlis ini. Kami mengalu-alukan kehadiran semua. Saya berharap agar peminat puisi segera mendaftar dengan menghubungi nombor talian telefon yang dinyatakan memandangkan tempat adalah terhad. Oleh itu, jangan lepaskan peluang keemasan ini,” jelasnya.

Kredit Foto: PEMUISI
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi