29 Disember 2024, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan disaran agar memperkasa program penyelidikan manuskrip Melayu lama sekali gus menjadikannya sebagai agenda negara.

Saranan tersebut dibuat oleh Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan melalui kenyataan Facebooknya yang bertujuan bagi mengangkat ilmu dan sastera yang mewakili kearifan setempat ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, program tersebut harus bermula dengan program latihan penyuntingan serta penukaran tulisan daripada jawi klasik kepada rumi atau jawi baharu.

“Sebelum diolah menjadi karya agung, karya adaptasi, karya edisi ringkas termasuk animasi, komik, skrip teater, filem, untuk memenuhi khalayak khusus, termasuk remaja dan kanak-kanak, kandungan manuskrip perlu dianalisis bagi menentukan ketulenan bentuk dan maknanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan isu manuskrip Melauyu lama dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 pada persidangan Dewan Negara baru-baru ini.

Menurut Awang, program tersebut akan lebih berkesan untuk manfaat umum sekiranya dilakukan dengan kerjasama badan yang berkaitan seperti Pusat Manuskrip Kebangsaan (PMK) dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM).

Katanuya, PMK dan PNM sesuai sekiranya dilantik sebagai penyelaras program untuk bekerjasama dengan badan kepentingan lain seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Yayasan Karyawan Malaysia, termasuk Institusi Pengajian Tinggi.

“Hal ini bagi membentuk atau menggabungkan kepakaran dengan pelibatan ahli bidang bahasa, sastera, budaya, sejarah, agama, sains, perubatan, teknologi, seni bina, dan lain-lain,” katanya, yang juga bekas Ketua Pengarah DBP.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyarankan agar PNM meningkatkan fungsinya sebagai pusat penyelidikan analisis kandungan manuskrip lama yang kaya dengan pelbagai bidang ilmu.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengkaji untuk meluluskan peruntukkan tambahan bagi tujuan berkenaan kerana hal ini akan membabitkan kos yang tinggi.

“Kos untuk memenuhi fungsi baharu atau tambahan itu pasti besar. Maka kerajaan perlu memberikan peruntukan besar bagi menjayakan program mengangkat manuskrip Melayu lama itu,” katanya.

Pada masa sama, Awang mencadangkan sebahagian peruntukkan yang diluluskan kepada DBP menerusi Belanjawan 2025 sebanyak RM50 juta disalurkan untuk merealisasikan program tersebut.

Tambahnya, hal ini sebagai peruntukan awal untuk latihan tenaga penterjemah, latihan kerja penyuntingan termasuk pelantikan sarjana bagi menganalisis manuskrip Melayu lama dalam pelbagai bidang terutamanya agama, falsafah, ketatanegaraan, perubatan, teknologi, undang-undang, historiografi, dan susastera.

Kredit Foto: Parlimen Malaysia
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.