Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Bengkel Penulisan Biografi anjuran Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) turut mendapat sambutan penulis dan aktivis sastera dari Selatan Thailand.
Bengkel di bawah bimbingan Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, YBrs. Dr. Roosfa Hashim yang juga seorang penulis biografi terkenal tanah air itu diadakan di Dewan Seminar DBPWT pada 8 Ogos 2025.
Presiden PERADABAN, YBrs. Dato’ A. Aziz Deraman berkata, bengkel tersebut diadakan bagi meningkatkan kemahiran para penulis, terutamanya dari segi teknik serta kaedah berkesan dalam penulisan biografi agar lebih tepat dan bermanfaat.
Beliau berkata, cabaran dalam penulisan tersebut sangat tinggi kerana menuntut pada penyelidikan rapi bagi memastikan segala maklumat serta fakta mengenai biografi seseorang atau tokoh yang ditulis itu adalah tepat.
“Untuk menulis biografi seseorang, tidak cukup dengan membaca sejarah atau biodatanya sahaja. Sebaliknya kita kena keluar melakukan penyelidikan secara langsung dengan sumber-sumber terdekat.
“Sumber melalui pembacaan itu sangat terhad dan tidak membantu untuk menghasilkan sebuah biografi yang berkualiti. Ini yang dikatakan cabaran yang sangat tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan bengkel tersebut.
Menurut A. Aziz Deraman, biografi bukan sekadar satu riwayat hidup seseorang, sebaliknya berperanan sebagai wahana atau motivasi dalam membentuk inspirasi pembaca dan masyarakat.
“Hal ini kerana, dalam biografi itu, terkandung kisah hidup seperti perjuangan, cabaran, pencapaian seseorang atau tokoh-tokoh berkenaan yang boleh diteladani untuk mendorong kita membina kehidupan secara lebih berhemah,” katanya.
Sementara itu, Roosfa ketika mengendalikan bengkel berkenaan menerangkan bahawa penulisan biografi harus bersifat objektif berasaskan fakta kukuh yang tidak boleh dipertikaikan kesahihannya, selain tidak memasuki sebarang komentar peribadi penulis.
“Tulis gagasan tokoh secara objektif. Kisahkan semuanya dengan kata-kata yang ekonomi tanpa membuat penilaian sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan perbezaan antara biografi, autobiografi, memoir, dengan travelog yang masih mengelirukan sesetengah orang dari sudut pengertian sebenarnya.
“Biografi ialah kisah hidup seseorang atau tokoh yang ditulis oleh orang lain. Autobiografi pula kisah hidup yang ditulis sendiri oleh tokoh berkenaan. Manakala memoir pula hanya menyorot potongan tertentu dalam kehidupan penulisnya.
“Dan travelog ialah catatan pengalaman perjalanan penulis ke pelbagai destinasi yang disulam dengan pemerhatian dan renungan peribadi,” katanya.