Diterbitkan pada 21 April 2026, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Machang – Program Sasterawan Kita bertemakan “Didik Hibur Sajak dan Puisi Tradisional” mendekatkan pelajar dengan dunia puisi secara lebih segar dan interaktif, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antara badan sastera, institusi pendidikan dan agensi bahasa dalam usaha melahirkan generasi pelapis yang mencintai karya serta memahami sastera sebagai wahana pembinaan jiwa, pemikiran dan jati diri bangsa.

Program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Unit Penerbitan dan Pemasaran DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Nur Anis Salwani Awang Mohammad di Sekolah Menengah Sains Machang (SMSM), Kelantan pada 19 April lalu.

Beliau berkata, program tersebut dianjurkan untuk memperkenalkan sasterawan kepada masyarakat dan pelajar khususnya.

Menurutnya lagi, program berkenaan juga bertujuan membuang persepsi negatif masyarakat terhadap sastera dan sasterawan serta menyerlahkan kepentingan, kehebatan dan kemampuan karya sastera dalam membentuk dan mengembang pemikiran masyarakat.

“Program ini juga diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan pelajar tentang sastera tempatan, khususnya puisi moden dan puisi tradisional, memupuk minat membaca karya-karya sastera, serta merangsang kreativiti dalam bidang sastera kepada pelajar. Pada hari ini, kami bawakan Ujana Buku DBPWT. Pelajar bolehlah melawat dan mendapatkan buku dan majalah terbitan DBP dengan potongan harga yang menarik,” katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pembimbing yang sudi berkongsi ilmu dan kepakaran dalam bidang penulisan dan apresiasi sastera.

“Saya berharap apa yang akan dikongsikan pada hari ini memberi manfaat kepada pelajar semua, bukan sahaja dapat mengenali sasterawan di Kelantan dengan lebih dekat bahkan dapat menghayati ilmu dan pemikiran berdasarkan karya mereka,” jelasnya.

Program yang menghimpunkan tokoh-tokoh sastera bagi membudayakan penghayatan puisi melalui pendekatan didik hibur, bimbingan penulisan dan apresiasi karya yang lebih dekat dengan jiwa remaja itu melibatkan penyertaan 240 pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 serta sepuluh guru.

Sesi pertama menampilkan Pembimbing Bengkel Puisi, YBrs. Encik Abdul Hadi Yusoff yang menyampaikan bicara bertajuk “Membelai Bahasa Puisi, Membentuk Nurani Remaja Kini”.

Sementara itu, sesi kedua pula disampaikan oleh penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), YBrs. Encik Abd. Razak Rezeki Othman, menerusi perkongsian bertajuk “Sastera dan Puisi Melayu Tradisional: Lambang Jati Diri Bangsa”.

Beliau menyifatkan penganjuran Program Sasterawan Kita selari dengan usaha berterusan DBP untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa, puisi dan sastera Melayu dalam kalangan pelajar, di samping membuka ruang kepada mereka mendekati tokoh-tokoh sastera secara lebih dekat dan bermakna.

Dalam perkembangan berkaitan, Encik Abdul Hadi yang juga Tokoh Penggiat Sastera Kelantan turut memaklumkan bahawa tahun ini Persatuan Penulis Kelantan (PPK) diberi tanggungjawab menguruskan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Sekolah-sekolah Malaysia (SDPKSM) Ke-2.

“Kita berterima kasih atas kepercayaan pihak DBP dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional untuk PPK kendalikan SDPKSM Tahun 2026 yang akan diadakan bermula pada 1 Jun hingga 30 Jun 2026.

“Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 24 hingga 26 Julai 2026. Tuan rumah SDPKSM Ke-2, 2026 Peringkat Kebangsaan ialah Kerajaan Negeri Sembilan,” ujarnya.

Kredit Foto: DBP Wilayah Timur
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi