Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMachang – Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan YBhg. Prof. Dr. Mohd Afandi Mat Rani menyuarakan hasrat untuk menubuhkan Kerusi A. Kadir Adabi di universiti tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap tokoh pemikir, pengarang dan nasionalis tersohor dari negeri Kelantan itu.
Pengumuman bersejarah itu dibuat ketika beliau merasmikan Syarahan Perdana A. Kadir Adabi yang disampaikan oleh Canselor Kolej Universiti Inovatif Selangor, YBhg. Dato’ Kapten (B) TLDM Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob, bertempat di Bilik HRD (A) UiTM Kampus Machang, semalam.
Syarahan tersebut merupakan penganjuran kali ketujuh oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur dengan kerjasama Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), yang saban tahun menampilkan tokoh ilmuwan dalam usaha memperkasa wacana sastera dan pemikiran Melayu.
Terdahulu, ketokohan Sasterawan Negara S. Othman Kelantan dan Sasterawan Kelantan Dr. Fatimah Busu sudah diperkatakan oleh pewacana undangan yang berwibawa.
Prof. Dr. Mohd Afandi dalam ucapannya menegaskan bahawa penubuhan Kerusi A. Kadir Adabi merupakan penghormatan terhadap seorang tokoh sekali gus usaha strategik untuk memperkukuh legasi ilmu, budaya dan nasionalisme yang berakar daripada warisan pemikiran tokoh besar negeri itu.
“UiTM Cawangan Kelantan harus menjadi pusat rujukan terhadap karya dan pemikiran A. Kadir Adabi, tokoh yang menjadikan pena sebagai senjata perjuangan bangsa. Kerusi ini akan membuka ruang penyelidikan, penerbitan dan wacana akademik berterusan agar gagasan beliau terus hidup dalam generasi baharu,” katanya.
Rentetan itu, Sasterawan Kelantan YBhg. Sdr. Rosli K. Matari yang juga Timbalan Presiden PERADABAN meluahkan rasa terkejut, terharu dan teruja terhadap pengumuman yang disifatkannya sebagai langkah tepat dan amat signifikan.
“Idea menubuhkan Kerusi A. Kadir Adabi ini amat wajar. Usaha ini bakal mengangkat nama tokoh dan memperkenalkan perjuangan dan pemikirannya kepada generasi muda, apatah lagi tentang keberanian, kejujuran intelektual, serta adab tokoh berkenaan sebagai teras perjuangan bangsa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rosli K. Matari menegaskan bahawa selaku sasterawan, A. Kadir Adabi yang dilahirkan pada 17 Ogos 1901 di Kampung Raja Dewa, Kota Bharu itu juga ialah intelektual yang berani melawan arus, mengkritik penjajahan Inggeris, menegur aristokrat yang lalai, serta menyuarakan reformasi pemikiran umat Islam pada awal abad ke-20.
“Nama beliau yang sebenar ialah Abdul Kadir bin Ahmad, atau menurut sesetengah sumber, Abdul Kadir Adabi bin Ahmad. Beliau meninggal dunia pada tahun 1944 di Kuala Terengganu dalam usia 44 tahun, namun lokasi pusaranya masih belum dapat dikesan hingga kini,” jelasnya.

Sehubungan itu, Rosli K. Matari mencadangkan agar pihak Persatuan Penulis Terengganu (PELITA) bersama-sama DBP Wilayah Timur, Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu, serta institusi kebudayaan dan sejarah, dapat berganding bahu mengesan pusara beliau demi menghargai jasanya kepada bangsa dan negara.
Kata Sasterawan Kelantan itu lagi, sepanjang hayat, A. Kadir Adabi aktif sebagai pengarang, wartawan dan editor majalah seperti Pengasuh. Tokoh itu juga menulis lebih daripada 110 artikel di antara tahun 1921 hingga 1941 yang meliputi tema kemanusiaan, pendidikan, ekonomi, politik, dan agama.
“Karya beliau yang terkenal termasuk Melati Kota Bharu dan Sebelas Rejab, dua novel yang bukan sahaja merakam denyut zaman kolonial, tetapi turut memperlihatkan ketajaman analisis sosial dan pandangan jauh seorang pengarang yang menyedari peranan sastera sebagai cermin masyarakat,” ujarnya.
Lebih daripada seorang pengarang, A. Kadir Adabi ialah pemikir pembaharuan Melayu-Islam. Dalam tulisannya, beliau pernah menyeru agar bangsa Melayu menubuhkan universiti, bank dan kesatuan ekonomi Bumiputera, jauh mendahului zaman kemerdekaan.
“Beliau juga pengasas Putera Club di Kota Bharu, sebuah gerakan sosial intelektual yang akhirnya diharamkan oleh British kerana dilihat menyemai semangat kebangsaan.
“Ketika zaman Jepun, beliau berunding bersama Ibrahim Haji Yaakob di Bangkok bagi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu,” kata Rosli lagi.
Rosli K. Matari berpandangan bahawa nama Adabi bukan hanya nama pena. Nama itu mencerminkan peribadi tokoh yang beradab, berhemah, dan berilmu.
“Beliau dikenali sebagai seorang yang sentiasa kemas berpakaian, lemah lembut dalam tutur dan gemar membaca. Abdul Kadir Adabi menulis dengan kejujuran serta keyakinan bahawa pena mampu mengubah masyarakat.
“Beliau mengajar kita bahawa sastera ialah wadah kesedaran, iaitu refleksi terhadap zaman dan tanggungjawab terhadap bangsa,” ujar Rosli K. Matari.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Karyawan dan Presiden PERADABAN, YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman.