Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Planetarium Negara dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), berganding bersama Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi MARA bagi menjayakan Malam Cakerawala Merindu, sebuah program yang merupakan manifestasi bagi meraikan bahasa dan kesusasteraan bertemakan alam semesta dalam satu pentas yang memukau.

Para hadirin dipersembahkan dengan teater muzikal bertajuk “Rayyan dan Dunia Panglima Awang”, karya Roziah Adama dan arahan Mohd Shahrul Mizad Asari dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Pementasan ini membawa penonton mengembara melalui kisah kepahlawanan dan warisan bangsa dengan sentuhan dramatik yang penuh emosi.
Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan puisi teromba oleh Muhammad Hafiz Fardillah Mohd Rosli, manakala dendangan gurindam oleh YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin dari Universiti Malaya menambahkan lagi kehalusan seni kata.

Aura cakerawala terus diperkukuh melalui penampilan tiga pemuisi—Ahmad Ali A. Karim, Rebecca Ilham dan Zaen Kasturi yang mempersembahkan puisi “Malam Cakerawala Merindu”. Bait-bait puisi bergema dengan kelunakan yang mengikat perhatian khalayak.

Segmen puisi pada malam itu disempurnakan oleh YBrs. Dr. Hazami bin Jahari, Ketua Pengarah DBP, yang mendeklamasikan karya daripada buku beliau Ufuk Janji, iaitu puisi “Kasih Bintang Terang” dan “Kerlipan Kejora”, mengundang tepukan penghargaan daripada para hadirin.
Merancakkan suasana, penyanyi Syazwan Shuhaimi tampil dengan lagu Sang Purnama, sebelum pentas ditutup dengan Persembahan Muzik Kosmos oleh Universiti Teknologi MARA di bawah pimpinan YBrs. Dr. Ainolnaim Azizol, Pensyarah Pengajian Konservatori Muzik, UiTM. Irama kosmik yang dipersembahkan memberikan nafas akhir yang indah kepada malam yang penuh pesona itu.

Turut hadir memeriahkan program ialah Encik Mohd. Zamri Mastor, Pengarah Planetarium Negara; Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP; serta Encik Jeffri Haron, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ASWARA.