Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Gabungan puisi dan drama atau PUISIDRA telah memecah hening malam di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.
PUISIDRA yang dipentaskan menonjolkan himpunan karya agung nukilan Sasterawan Negara (SN) Datuk Dr. Siti Zainon Ismail.
Dr. Shafa’ Atussara Silahuddin, aktivis kebudayaan memulakan acara dengan mendeklamasikan puisi “Alif Lam Ra” dan seterusnya segmen pertama, iaitu berkenaan dengan diri dan keluarga SN Datuk Dr. Siti Zainon pun bermula.
Segmen pertama dimulakan dengan puisi “Tiang Seri” yang disampaikan oleh pensyarah dan pelakon, Dr. Norzizi Dato’ Zulkifli.
Beliau juga mendeklamasikan “Tembang Seruni Nenek Galuh” yang menceritakan kisah kelahiran SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail atau lebih mesra disapa dengan nama Siti Kecil.
Dalam puisi itu, kelahiran Siti Kecil sememangnya menceriakan keluarga dan dewasa kelak beliau diharapkan agar bijak bertutur dan putih hatinya.
Seterusnya, persembahan diteruskan dengan segmen kedua, iaitu berkenaan dengan kehidupan kampung.
YM Tengku Anizan Tengku Ibrahim memilih puisi-puisi seperti “Sungai Gombak, Kasih Bonda” dan “Mendulang Bijih” untuk melihatkan kehidupan Siti Kecil.
Segmen ini diselitkan dengan alunan muzik dan gerakan yang menarik dengan watak kelihatan membasuh kain dan mengambil air di sungai.
Suasana terus gamat apabila aktres terkenal tanah air, Vanida Imran dan Farah Ahmad mengambil alih pentas dan kehadiran mereka menambahkan lagi kerancakan persembahan.
Vanida Imran mendeklamasikan karya magnum opus SN Datuk Dr. Siti Zainon, iaitu “Kolam Teduh Biru” dan “Perempuan dan Bunga Air”.
Manakala Farah Ahmad atau nama sebenar beliau Nur Farahaizah Ahmad Zaharuddin pula membawakan “Peta Negeri Hati Ini” dan diserikan dengan bunyi gendang, serunai serta beberapa orang penari membuka gerak silat.
Karyawan DBP, Dr. Rosmani Omar juga terlibat menjayakan pentas ini. Beliau memilih dua karya SN Siti Zainon, iaitu “Janji Yang Hilang” dan “Surat Tinta Darah”.
Pengarah PUISIDRA, iaitu Prof. Madya Dr. Aminah Rhapor yang pernah menghasilkan karya drama pentas “Tanah Bernanah” juga mengambil peluang menunjukkan kehebatan beliau dalam puisi bagi menghidupkan jalan cerita.
Pemuisi tanah air seperti Prof. Madya Dr. Mohd Kipli Abdul Rahman, Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman, Encik Maarof Seman, Encik Marzelan Md Jusoh dan Naque Ariffin turut menampilkan kehebatan mereka masing-masing dalam mempersembahkan puisi dengan penuh penghayatan.
Sebelum menutup tirai persembahan, lagu Di Balik Bias Kaca didendangkan dan membuai penonton yang hadir.
Turut hadir menyaksikan persembahan yang menarik ini ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus dan Datuk Fauziah Nawi, pelakon serta pengarah tersohor tanah air.
Terdahulu, Pementasan PUISIDRA dengan tema Di Balik Bias Kaca yang memilih himpunan karya-karya SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail telah berlangsung selama dua hari.
Program ini merupakan kerjasama antara DBP dengan Kolej Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi MARA (UITM).
Pementasan ini mengangkat karya puisi dan lukisan yang dihasilkan oleh SN Siti Zainon Ismail sepanjang perjalanan seni dan sastera beliau.
PUISIDRA merupakan himpunan karya puisi SN Siti Zainon Ismail yang menggabungkan kehalusan bahasa puisi dan menyaksikan keindahan seni yang penuh dengan mesej tersirat, visual yang memukau serta penghayatan yang menyentuh jiwa.