Diterbitkan pada 24 Jun 2026, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gelugor Artikel yang berpotensi untuk diterbitkan perlu mempunyai nilai kebaharuan (novelty), hujah yang tersusun serta metodologi yang jelas. Dalam konteks kajian kesusasteraan dan sejarah, penyelidik perlu menawarkan perspektif terkini terhadap teks, tokoh, peristiwa atau fenomena yang dikaji untuk menyumbang kepada perkembangan wacana ilmu.

Editor Jurnal Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Encik Mohd Syukri Anwar menekankan perkara tersebut dalam Bengkel Penanda Aras Pembinaan Artikel Ilmiah anjuran Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM).

Bengkel yang berlangsung di Bilik Mesyuarat 1, PPPJJ itu baru-baru ini, bertujuan untuk memperkukuh kefahaman pensyarah dan penyelidik tentang standard penulisan artikel ilmiah yang berkualiti, khususnya bagi penerbitan dalam jurnal-jurnal akademik terbitan DBP.

Mohd Syukri selaku pembimbing berkongsi pelbagai aspek penting berkaitan proses penerbitan jurnal ilmiah, iaitu bermula daripada pemilihan tajuk, pembinaan kerangka artikel, penggunaan sumber rujukan yang berwibawa sehinggalah kepada proses penilaian oleh penilai luar yang menjadi teras penerbitan akademik berkualiti.

Menurut beliau, antara kelemahan yang sering ditemui dalam manuskrip yang dihantar kepada jurnal termasuklah ketidakjelasan persoalan kajian, perbincangan yang terlalu deskriptif tanpa analisis yang mendalam, serta kegagalan menunjukkan sumbangan baharu terhadap bidang ilmu.

Dalam perbincangan mengenai penulisan artikel kesusasteraan pula, beliau menegaskan bahawa kajian tidak seharusnya sekadar meringkaskan kandungan karya, sebaliknya perlu menampilkan analisis kritis yang berasaskan teori dan pendekatan yang sesuai.

Pendekatan sedemikian mampu meningkatkan kualiti penulisan dan menjadikan artikel lebih signifikan kepada pembaca akademik.

Tambahnya lagi, penerbitan berkaitan sejarah dan kesusasteraan memerlukan penguasaan sumber primer dan sekunder yang kukuh, selain keupayaan menghubungkan dapatan kajian dengan isu semasa serta perkembangan disiplin ilmu yang lebih luas.

Beliau juga memperincikan fokus beberapa jurnal akademik terbitan DBP yang membuka ruang kepada penyelidik dalam bidang kemanusiaan seperti Junal Bahasa, Malay Literature dan Jurnal Antarabangsa Dunia Melayu.

Para peserta Bengkel Penanda Aras Pembinaan Artikel Ilmiah bergambar bersama-sama Editor Jurnal Bahasa (tengah) sebagai tanda kenangan.

Selain itu, peserta turut didedahkan kepada aspek teknikal penerbitan seperti format penulisan, gaya pemetikan, etika penerbitan, isu plagiarisme, kecerdasan buatan, serta strategi meningkatkan kebolehterimaan manuskrip.

“Penerbitan jurnal bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, tetapi juga menjadi wadah penting untuk memperkaya khazanah ilmu, merakam pemikiran zaman dan memperkukuh tradisi intelektual bangsa,” ujar Syukri mengakhiri sesi perkongsiannya.

Kredit Foto: Putraery Ussin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi