Oleh Putraery Ussin
18 September 2024, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gelugor – Dua wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diundang dalam seminar berkenaan penerbitan karya.

Seminar yang bertemakan “Potensi Penerbitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)” telah diadakan di Bilik Persidangan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM).

Majlis dimulakan dengan perkongsian oleh Ketua Editor Bahagian Buku Sastera DBP, Mohd Azam Johari yang menekankan tentang proses penerbitan sesebuah buku.

Dalam perkongsiannya, beliau menyatakan DBP bukan sahaja memberi peluang kepada penulis untuk berkarya, malah turut membantu dalam pelbagai aspek.

“Kami di DBP sentiasa terbuka menerima manuskrip yang berkualiti dan memberi fokus kepada buku-buku yang mampu membawa impak besar kepada perkembangan ilmu di Malaysia.”

 

Sebahagian peserta program yang mengikuti seminar penerbitan yang disampaikan oleh wakil DBP.

Selain itu, beliau turut membincangkan tentang karya-karya kreatif dan bukan kreatif yang sesuai untuk diterbitkan serta beberapa strategi dan bentuk penulisan untuk menembusi media arus perdana dititipkan.

“Karya yang menarik, isu yang terkini, tiada unsur sensitif dan memenuhi aspirasi negara akan pihak DBP terbitkan.” Ujar beliau mengakhiri sesi pertama dalam berkongsi hal penerbitan.

Seterusnya, majlis diteruskan oleh Fadli al-Akiti, editor majalah Dewan Sastera dan beliau memperlihatkan kepentingan penerbitan artikel dalam majalah dan jurnal DBP.

Dalam perkongsian tersebut, beliau menyatakan perkara tersebut sebagai langkah pertama bagi para akademik dan penulis kreatif yang ingin menembusi dunia penerbitan secara formal.

“Jurnal dan majalah DBP menyediakan platform yang kukuh untuk memperkenalkan karya anda kepada khalayak yang lebih luas”

“Penulis harus memanfaatkan medium ini untuk memperkukuh nama dalam bidang masing-masing.” Ujar beliau lagi.

Sebelum berakhir, beliau berharap bakat-bakat yang ada, terutama di Bahagian Kesusasteraan PPPJJ akan lebih menonjol dan berharap lebih ramai dalam kalangan pensyarah akan menerbitkan karya selepas ini.

Terdahulu,  seminar yang dihadiri oleh para pensyarah PPPJJ bertujuan untuk memberikan pendedahan dan maklumat terkini mengenai peluang penerbitan bersama DBP.

Timbalan Dekan Teknologi dan Sokongan PPPJJ USM, iaitu Dr. Chua Hang Kuen telah merasmikan seminar tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.