Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 menyaksikan dominasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) apabila hampir keseluruhan karya pemenang ialah hasil daripada terbitan badan berkenaan.
Keputusan tersebut secara tidak langsung mencerminkan keunggulan DBP yang berperanan dalam memartabatkan sastera tanah air meliputi pelbagai genre.
Menerusi empat kategori yang dipertandingkan, karya terbitan DBP mencatatkan 42 kemenangan berbanding 50 penyertaan yang terpilih pada senarai akhir.
Empat kategori tersebut merangkumi Kategori A (Buku/Kumpulan Karya), Kategori B (Karya Eceran), Kategori C (Buku Sastera Kanak-kanak), dan Kategori D (Buku Sastera Remaja).
Bagi Kategori A, DBP hampir menyapu bersih dengan kemenangan bagi novel Phensi karya Prasert Eh Chai, kumpulan cerpen Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya karya Mawar Safei, kumpulan esei/kritikan sastera Kepengarangan Sastera Melayu Pascamoden karya Mana Sikana, buku kajian sastera Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail karya Azhar Wahid, dan buku Biografi Sasterawan Negara: Keris Mas Melepasi Gerhana karya A. Rahim Abdullah.
Jumlah keseluruhan penyertaan HSPM 2021/2022 ialah sebanyak 3,555, sekali gus menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding edisi sebelumnya, selain menandakan perkembangan positif dalam dunia kesusasteraan kebangsaan.
Setiap pemenang menerima hadiah sebanyak RM10,000 bagi Kategori A, manakala kategori B (RM2,000), C dan D masing-masing RM5,000.


Majlis penyampaian HSPM 2021/2022 telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, bertempat di Hotel Zenith, petang semalam.
HSPM ialah anugerah sastera tertinggi di negara ini yang diberikan oleh kerajaan melalui DBP yang bertujuan untuk mengiktiraf dan menggalakkan penghasilan karya sastera bermutu dalam bahasa Melayu.
Seramai 21 orang panel penilai profesional yang terdiri daripada tokoh sastera dan ahli akademik yang diberi tanggungjawab untuk menilai setiap karya peserta dalam HSPM 2021/2022.