Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPENDAHULUAN
Karya Kategori D: Buku Sastera Remaja yang dinilai untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022 terbahagi kepada empat genre, iaitu Novel Remaja, Kumpulan Cerpen Remaja, Kumpulan Puisi Remaja dan Kumpulan Drama Remaja. Karya yang dinilai merupakan karya perseorangan dalam bentuk buku atau kumpulan karya bagi bacaan golongan remaja yang terbit dalam tahun penilaian.
NOVEL REMAJA
Novel remaja perseorangan untuk bacaan remaja (peringkat umur 13 hingga 18 tahun) yang terbit kali pertama dalam tahun penilaian. Panel penilai telah menerima sebanyak 45 buah novel remaja yang dicalonkan bagi HSPM 2021/2022 dan daripada jumlah tersebut, lima buah novel telah disenarai pendek untuk penilaian pada peringkat akhir. Novel-novel ini mencerminkan pandangan dan pemikiran pengarang terhadap isu-isu semasa di dalam dan luar negara serta hubungan antara kedua-duanya daripada pelbagai perspektif. Penceritaan yang diketengahkan merupakan hasil gabungan daripada pengalaman, pembacaan, pemerhatian, analisis, dan interpretasi pengarang terhadap pelbagai subjek yang relevan dalam masyarakat yang berhubungan dengan dunia remaja.
Novel-novel yang dinilai memperlihatkan penerapan sarana sastera yang efektif dalam menyampaikan tema, makna dan emosi. Elemen-elemen gaya bahasa seperti metafora, simile, simbolisme, ironi, alusi, dan lain-lain digunakan untuk memperkaya naratif dan memberikan dimensi tambahan kepada cerita. Penggunaan gaya bahasa ini menjadikan cerita lebih menarik dan bermakna bagi pembaca. Keupayaan penulis untuk mengolah imaginasi dan mencipta dunia yang unik dan menarik adalah penting. Hal ini termasuk penciptaan watak-watak yang kompleks dan plot yang menarik. Imaginasi yang kaya dapat membawa pembaca ke dalam dunia cerita dan membuat mereka terlibat secara emosional.
Gabungan teknik penulisan tradisional dengan pendekatan moden menghasilkan struktur naratif yang inovatif, dialog yang realistik dan gaya penulisan yang segar. Kepelbagaian ini membuktikan keupayaan karya menguasai pelbagai sarana sastera dengan memanfaatkan strategi naratif yang mampu menyerlahkan nilai kreativiti dan estetika karya.
Panel penilai bertindak dengan berpandukan kriteria umum yang ditentukan oleh pihak penganjur, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Berikut merupakan kriteria penilaian yang khusus dengan memberikan penekanan kepada beberapa aspek:
Berdasarkan kriteria penilaian yang menjadi dasar kepada pemilihan novel, para panel bersepakat memperakukan novel Merom oleh Jong Chian Lai dipilih sebagai Novel Remaja HSPM 2021/2022.
ULASAN PEMENANG NOVEL REMAJA
Merom (Jong Chiang Lai)
Novel ini mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh remaja yang sarat dengan pengetahuan, di samping memperlihatkan aspek budaya dan kearifan tempatan melalui maklumat sejarah, mitos, perubatan, dan kebudayaan. Tema utama novel ini ialah cabaran yang dihadapi oleh remaja dalam usaha mencari identiti dan memahami dunia di sekeliling mereka. Isu-isu seperti tekanan sosial, konflik identiti dan pencarian makna hidup dibincangkan dengan mendalam. Selain itu, novel ini juga menonjolkan kepentingan budaya dan kearifan tempatan dalam membentuk identiti individu.
Cerita ini berkisarkan tentang ekspedisi sekumpulan anak muda daripada pelbagai latar belakang ke Gua Ulu Meligai di Sarawak. Ekspedisi ini digambarkan dengan penemuan artifak dan mitos yang bukan sahaja mencerminkan sejarah dan kepercayaan masyarakat Iban, tetapi juga mengemukakan kebijaksanaan dan kelangsungan hidup masyarakat tempatan. Pengarang berjaya menghidupkan suasana ekspedisi dengan menyelitkan pelbagai peristiwa menarik yang menambah dimensi kepada naratif yang menjadikan pembaca lebih terlibat dan memahami kepentingan budaya serta kearifan tempatan.
Kreativiti dalam karya ini terserlah melalui pelbagai idea dan strategi naratif yang digunakan oleh pengarang. Jong Chian Lai memanfaatkan bahasa yang mudah difahami namun kaya dengan simbol dan kata bandingan yang berkesan, menjadikan penceritaan lebih hidup dan meningkatkan rasa kehadiran dalam cerita. Penggunaan bahasa yang tepat dan sesuai dengan subjek dan genre yang dipilih memastikan proses penghayatan karya lebih lancar dan berkesan. Kreativiti yang dipaparkan dalam karya ini memberikan dimensi yang pelbagai, memperkaya pengalaman membaca dan menyampaikan naratif dengan cara yang menarik dan terperinci.
Pengarang menggunakan teknik naratif yang memberikan gambaran terperinci tentang setiap peristiwa yang berlaku. Teknik ini melibatkan deskripsi yang jelas, tersusun dan teliti yang membolehkan pembaca memahami situasi yang disampaikan dalam sesebuah peristiwa. Penceritaan perincian fizikal dan tindakan watak-watak juga memberikan gambaran suasana dan visual yang jelas dalam fikiran pembaca. Hal ini sekali gus dapat membantu pembaca untuk merasakan setiap pengalaman dan perasaan watak-watak dalam cerita.
Selain itu, gambaran latar tempat dan suasana juga diceritakan secara terperinci yang akhirnya menambah dimensi kepada naratif, iaitu menjadikan pembaca lebih terlibat dan memahami kepentingan budaya serta kearifan tempatan yang diketengahkan dalam cerita. Tindakan-tindakan kecil yang dilakukan oleh watak-watak juga diberikan perhatian, yang memberikan makna lebih mendalam dan menunjukkan perincian kehidupan harian dalam situasi yang mencabar. Selain itu, gaya penceritaan yang dikemukakan dalam penceritaan tidak hanya terhad kepada watak manusia, tetapi juga melibatkan haiwan, benda, sejarah, adat, budaya dan sebagainya. Teknik pelukisan secara terperinci ini akan memperkaya pengalaman membaca dengan elemen-elemen yang pelbagai dan menarik.
Penulis menggunakan gaya bahasa yang menarik dengan menggabungkan elemen deskriptif dan teknik imbas silam (flashback) untuk menyampaikan maklumat tentang mitos dan sejarah lampau. Contohnya, dengan menyebut bahawa pahlawan Rentap memakai taring tersebut sebagai azimat untuk melawan askar-askar Brooke, penulis membawa pembaca kembali ke masa lalu dan memberikan latar belakang sejarah yang relevan. Pendekatan ini tidak hanya memberikan maklumat tentang taring tersebut, tetapi juga menyoroti kekuatan dan kepahlawanan Rentap, menjadikannya sebagai ikon sejarah dalam naratif. Teknik ini memperkaya penceritaan dengan konteks sejarah yang mendalam dan menjadikan cerita lebih bermakna dan berhubung dengan pembaca.
Kekuatan penceritaan dalam novel ini jelas terlihat melalui pemaparan adat resam dan kearifan tempatan masyarakat Iban. Merom berjaya menggambarkan pandangan dunia mereka, termasuk amalan buruk yang perlu ditinggalkan serta amalan terpuji yang harus diwarisi dari generasi ke generasi. Contohnya, minyak yang dihasilkan dari buah engkabang yang tumbuh di tepi sungai dan dieksport hingga ke Jepun untuk penghasilan kosmetik serta bidang perubatan, menunjukkan bahawa pengetahuan dan amalan tradisional dapat memberikan impak global. Selain itu, novel ini juga memperincikan kepercayaan animisme masyarakat Iban seperti kepercayaan terhadap pokok ara sebagai tempat tinggal penunggu, menonjolkan keunikan dan kedalaman tradisi mereka.
Isu sosial dan alam sekitar juga merupakan antara persoalan penting yang dikemukakan sepanjang ekspedisi watak-watak dalam cerita ini. Karya ini menyentuh isu-isu seperti pencemaran alam dan pembalakan haram, serta memberikan pandangan tentang sikap sesetengah manusia dalam masyarakat. Kritikan terhadap golongan yang memusnahkan alam dapat dilihat melalui penceritaan tentang sebahagian rimba yang telah dikorbankan untuk pembalakan demi kepentingan ekonomi tauke-tauke balak dan kerajaan dengan cukai yang diselewengkan. Hal ini memberikan gambaran tentang ketidakadilan dan penyelewengan yang berlaku melibatkan aspek ekonomi, sosial dan ekologi secara serius. Selain itu, pemahaman mengenai tumbuh-tumbuhan di hutan seperti pokok ara dengan akar yang mencengkam tanah dan pokok buah engkabang, serta haiwan seperti binatang buas, tupai dan burung dapat memperkaya pengetahuan pembaca tentang ekosistem hutan yang kurang diketahui orang ramai.
Selain itu, aspek motivasi dan inspirasi dalam Merom turut menjadi aspek penting yang melengkapi penceritaan menarik karya ini. Selain cerita yang memikat, pengarang menggunakan pelbagai teknik untuk memotivasikan dan memberikan inspirasi kepada pembaca. Melalui pengalaman dan aspirasi watak-watak, pembaca diajak untuk belajar tentang nilai-nilai kehidupan, cara menghadapi cabaran dan usaha untuk mencapai matlamat dengan pemikiran, etika dan visi hidup yang positif. Dengan memaparkan watak-watak yang memiliki sikap optimis, nilai-nilai moral yang kuat dan visi hidup yang positif, pengarang tidak hanya bercerita tetapi juga membentuk pandangan dan sikap pembaca terhadap kehidupan.
Secara ringkasnya, dapat dikatakan bahawa pengarang mencipta naratif yang bukan sahaja menarik tetapi juga memberikan kesan mendalam, mendorong pembaca untuk memupuk sikap positif dalam kehidupan mereka sendiri. Sarana sastera yang diterapkan dalam naratif ini menjadikan novel Merom lebih daripada sekadar sebuah cerita, iaitu karya ini sebagai sumber inspirasi dan motivasi yang dapat memberikan impak positif kepada pembaca, terutamanya golongan remaja.
KUMPULAN CERPEN REMAJA
Kumpulan cerpen perseorangan untuk bacaan remaja (peringkat umur 13 hingga 18 tahun) yang terbit kali pertama dalam tahun penilaian. Panel penilai telah menerima sebanyak empat buah kumpulan cerpen untuk Kategori Cerpen Remaja bagi tahun penilaian 2021/2022.
Panel penilai bertindak dengan berpandukan kriteria umum yang ditentukan oleh pihak penganjur, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Berikut merupakan kriteria penilaian yang khusus dengan memberikan penekanan kepada beberapa aspek:
Aspek-aspek tersebut terkait dengan kategori sasaran iaitu, kumpulan cerpen remaja dilihat berdasarkan karya yang memaparkan citra remaja yang unggul dan mengandungi unsur pendidikan atau pengajaran yang diserlahkan melalui karya yang dinilai.
Kumpulan cerpen remaja yang dinilai menunjukkan kekuatan kesatuan organik karya yang baik. Persoalan yang ditampilkan dalam cerpen-cerpen ini memberikan kedalaman pada setiap cerita yang dipaparkan. Terdapat keseimbangan pengisian dan teknik penceritaan yang diketengahkan yang menjadikan setiap cerpen bukan sahaja menarik dari segi bahasa, tetapi juga memaparkan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pengajaran. Inovasi dan kreativiti yang ditunjukkan dalam kumpulan-kumpulan cerpen ini juga membawa perspektif baharu yang segar dan relevan dengan kehidupan remaja masa kini secara global. Secara keseluruhan, kumpulan cerpen ini memaparkan sarana sastera yang baik dan sesuai dengan persoalan remaja, menjadikannya satu sumbangan yang berharga kepada dunia sastera remaja.
Berdasarkan penilaian yang telah dilakukan, panel penilai bersepakat memilih kumpulan cerpen Telefon yang Menyembunyikan Kisah oleh Abang Median Abang Said sebagai kumpulan cerpen remaja yang terbaik atas beberapa justifikasi.
ULASAN PEMENANG CERPEN REMAJA
Telefon yang Menyembunyikan Kisah (Abang Median Abang Said)
Kumpulan cerpen ini memaparkan kepelbagaian subjek yang mencerminkan isu semasa, baik tempatan mahupun peringkat global. Pengarang berjaya menggabungkan pengalaman, pembacaan dan pemerhatian untuk mencipta naratif yang mendalam dan reflektif, serta memperlihatkan pemahaman yang luas mengenai realiti masyarakat. Dengan penguasaan terhadap aspek epistemologi tempatan dan luaran yang luas, kemahiran penerapan sarana sastera serta keupayaan memanipulasi daya imaginasi dan kolaborasi antara teknik lama dengan baharu melahirkan karya yang berupaya mengerakkan daya penaakulan, menggugah emosi serta membekas kesan estetik kepada pembaca.
Teknik penceritaan yang pelbagai dalam antologi cerpen ini menunjukkan keupayaan penulis memanfaatkan strategi naratif dengan berkesan. Setiap teknik yang digunakan berperanan dalam memperkaya cerita, memberikan kedalaman makna dan mencipta pengalaman membaca yang reflektif, terutama bagi golongan sasaran, iaitu kumpulan remaja. Kepelbagaian ini bukan sahaja mencerminkan kreativiti penulis tetapi juga meningkatkan nilai estetika karya serta menjadikannya sebuah koleksi cerpen yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga merangsang pemikiran dan perasaan pembaca.
Cerpen-cerpen yang dikemukakan, kebanyakannya berpusat pada watak atau latar guru yang sering kali melangkaui batasan naratif pendidikan, iaitu dengan mengaitkan isu-isu realiti yang lebih besar secara kreatif. Karya-karya ini tidak hanya menjelajah cabaran dan keunikan dalam dunia pengajaran sahaja, tetapi juga mencerminkan pelbagai dimensi sosial, politik dan budaya yang mempengaruhi kehidupan individu. Misalnya, cerita-cerita ini berupaya mengangkat ketidakadilan sosial, perubahan dalam struktur masyarakat atau konflik peribadi yang berkisar nilai-nilai kemanusiaan dan perjuangan untuk keadilan. Dengan demikian, cerpen-cerpen ini menawarkan pandangan yang lebih mendalam dan kritis tentang bagaimana profesion perguruan berinteraksi dengan isu-isu global dan kemanusiaan, serta peranan guru dalam konteks yang lebih luas dan kompleks.
Cerpen “Kunang-kunang di Langit Kenangan” mengangkat persoalan kekeluargaan yang terjejas akibat kehilangan seorang adik yang mengalami autisme. Perjalanan cerita menyelami pelbagai subjek seperti teknologi, emosi, kasih sayang, dan kerinduan terhadap orang yang telah pergi. Teknik imbas silam yang digunakan dalam cerpen ini dengan berkesan mengungkapkan sentuhan kasih sayang seorang ibu dalam keluarga yang kini telah tiada. Selain itu, pengarang menyelitkan pengetahuan tentang penjagaan anak-anak istimewa, memberikan pembaca pandangan serta pengetahuan mendalam mengenai cabaran dalam merawat anak-anak dengan keperluan khas. Naratif cerpen ini secara mendalam menyentuh emosi pembaca, dengan kemuncaknya apabila adik ditemui mati dalam keadaan ngeri, menambah kesan tragis pada cerita dan memperlihatkan betapa mendalamnya kesan emosi akibat kehilangan ahli keluarga.
Persoalan mengenai sindrom autisme diteruskan dalam cerpen “Menjadi Kanak-kanak”, iaitu penulis mengangkat gaya penceritaan yang lebih reflektif dan introspektif dalam menggambarkan hubungan antara watak dengan persekitarannya. Dalam naratif ini, watak utama yang mengalami sindrom Asperger berusaha memahami kehidupan dan hubungan dengan orang-orang di sekelilingnya. Kehadiran Cikgu Yanie yang mencurahkan kasih sayang seperti seorang ibu yang telah lama meninggal memberikan sinar dan harapan dalam kehidupannya. Cerpen ini dengan penuh sensitiviti dan emosi menyoroti cabaran yang dihadapi oleh individu dengan berhadapan dengan sindrom Asperger dan sokongan serta kasih sayang daripada orang di sekeliling dapat membawa perubahan positif dalam kehidupan mereka.
Persoalan mengenai percintaan yang bermula di alam maya, berserta kerja-kerja kesukarelawanan dalam membantu kemelut di Syria diungkapkan melalui cerpen “… dan semangat terus mengelus tulus dari tanah tandus”. Dalam cerpen ini, naratif berkembang dengan memperkenalkan seorang wanita gigih yang mempunyai prinsip yang tinggi dalam melaksanakan kerja-kerja amal. Teknik imbas muka yang digunakan oleh pengarang dengan berkesan menyentuh emosi pembaca, terutama apabila kisah sedih mengenai keluarga cikgu terungkap. Cerpen ini juga mengangkat isu pendidikan dan kesusahan pelajar-pelajar di pedalaman serta menekankan keperluan untuk memberikan perhatian dan tindakan yang lebih serius terhadap masalah-masalah yang timbul. Melalui penceritaan yang menyentuh hati, pengarang berjaya menyoroti perjuangan dan dedikasi yang diperlukan untuk membawa perubahan positif dalam masyarakat. Pengarang tidak hanya mengangkat persoalan kesukarelawanan, pendidikan dan percintaan, tetapi juga mengkritik secara mendalam cabaran-cabaran struktural dan sosial yang menghalang kemajuan masyarakat. Dengan pendekatan yang kreatif secara tidak langsung, pengarang mengajak pembaca untuk merenung dan bertindak terhadap isu-isu yang dihadapi.
Cerpen “Pendidikan Kasih Menguyur di Bumi Jordan” pula merupakan karya yang kuat dalam mengangkat isu penting mengenai pendidikan anak-anak pelarian Syria yang mengetengahkan pandangan yang mendalam dan empati kesan daripada peperangan terhadap pendidikan dan kehidupan kanak-kanak. Cerpen ini mengangkat isu pendidikan anak-anak pelarian Syria yang terjejas akibat konflik yang berpanjangan. Penulis menggunakan watak utama, seorang sukarelawan atau pekerja misi kemanusiaan yang mengembara ke Jordan untuk membantu kanak-kanak Syria yang terasing dan kehilangan akses kepada pendidikan. Di Jordan, watak utama bertemu dengan pelbagai watak yang menggambarkan kehidupan sukar anak-anak Syria dan keluarga mereka. Cerpen ini menyoroti bagaimana peperangan telah mengakibatkan kesulitan besar dalam pendidikan mereka. Kanak-kanak yang sepatutnya berada di bilik darjah, kini terpaksa berhadapan dengan kehidupan yang keras, iaitu tidak mempunyai kemudahan pendidikan atau sumber pembelajaran yang asas. Melalui interaksi watak utama dengan pelarian Syria, pembaca diperkenalkan kepada kisah-kisah individu yang berjuang untuk memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar. Cerpen ini juga menyoroti usaha-usaha sukarelawan dan organisasi kemanusiaan yang bekerja keras untuk menyediakan pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak ini. Penulis menggunakan subjek ini untuk menggambarkan bukan hanya kesukaran, kemusnahan dan kesedihan yang dihadapi oleh pelarian Syria, tetapi juga harapan dan ketabahan mereka dalam mencari jalan untuk masa depan yang lebih baik. Dengan cara ini, cerpen ini berfungsi sebagai peringatan kepada pembaca tentang kepentingan pendidikan dalam kehidupan kanak-kanak dan bagaimana konflik global dapat mempengaruhi mereka.
Cerpen “Selembar Doa di Hujung Sungai” menyampaikan isu kemiskinan dan pendidikan dengan penuh emosi melalui watak seorang guru yang menyebarkan ilmu sambil mengaitkan nilai-nilai keagamaan dengan perjuangan hidup. Penulis menggunakan gaya bahasa yang mudah untuk menggambarkan dedikasi guru ini dalam mengatasi cabaran pendidikan di tengah kemiskinan, sambil menekankan kekuatan iman sebagai sumber harapan dan ketahanan. Meskipun penekanan pada aspek keagamaan mungkin tidak relevan bagi semua pembaca yang berasal dari pelbagai latar belakang agama, namun cerpen ini tetap berjaya menyentuh emosi pembaca. Pengarang menghubungkan pendidikan dengan dimensi spiritual yang meninggalkan kesan mendalam dan inspirasi kepada pembaca mengenai pentingnya pendidikan dan keimanan dalam menghadapi kesulitan hidup.
Cerpen “Telefon yang Membunyikan Kisah” menyajikan kisah misteri melalui panggilan telefon yang dikatakan datang daripada seorang ibu yang telah meninggal dunia. Naratif cerita berkembang dengan mengetengahkan persoalan kerinduan mendalam seorang anak terhadap ibunya dalam konteks yang tidak nyata tetapi penuh emosional. Misalnya, melalui mimpi yang menghantui anak tersebut, penulis menyampaikan mesej tentang hubungan kekeluargaan dan kesedihan kehilangan dengan doa sebagai pengikat yang menyatukan kedua-dua jiwa. Meskipun cerpen ini berputar di sekitar situasi yang hanya berlaku dalam mimpi, namun berhasil menggugah perasaan pembaca dengan cara yang menyentuh hati yang menggambarkan betapa dalamnya rasa kerinduan dan kasih sayang ibu yang masih terasa walaupun selepas kematiannya.
Dalam cerpen “Kerana Aku Pesakit Progeria”, pengarang mengangkat subjek penyakit kelainan genetik dengan pendekatan yang kreatif dan penuh empati. Cerpen ini memaparkan perjuangan dan perasaan seorang pesakit progeria, iaitu seseorang yang mengalami penuaan pramatang akibat kelainan genetik. Karya ini dengan berkesan menggambarkan bagaimana watak utama berdepan dengan ejekan dan pandangan negatif daripada rakan-rakan yang memperlihatkan kesedihan dan cabaran yang dihadapinya akibat penyakit tersebut. Dalam menghadapi situasi ini, pengarang menampilkan watak seorang guru sebagai penyokong utama yang memberikan sokongan dan mempertahankan pelajar tersebut daripada rasa tersisih. Guru ini bukan sahaja menyediakan bantuan emosi tetapi juga bertindak sebagai pelindung yang membantu pelajar mengatasi stigma dan membina keyakinan diri. Pendekatan ini memberikan perspektif yang mendalam tentang bagaimana sokongan dan empati boleh memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang yang mengalami penyakit yang jarang berlaku.
Perjalanan inspiratif seorang anak Penan yang bertekad mengatasi cabaran hidup di kampung terpencil untuk mencapai kejayaan peribadi dan memajukan komuniti mereka ditampilkan melalui cerpen “Hasrat yang Tertunda”. Dengan tema keberanian dan harapan, cerpen ini memaparkan perjalanan hidup watak utama daripada kesukaran infrastruktur dan kesedihan peribadi hingga mencapai kejayaan dalam bidang akademik. Watak utama dan watak-watak sampingan digambarkan dengan peranan tersendiri menambahkan lagi kekuatan naratif cerpen ini. Secara keseluruhannya, cerita ini berfungsi sebagai karya yang penuh inspirasi yang mengetengahkan tentang persoalan ketabahan dalam memajukan diri yang akhirnya menyumbang impak positif dalam pembangunan komuniti.
Kumpulan cerpen remaja Telefon yang Menyembunyikan Kisah oleh Abang Median Abang Said yang mengetengahkan 18 buah cerpen secara keseluruhannya berjaya mengangkat pelbagai tema yang penting dan relevan dengan remaja. Setiap cerpen menawarkan subjek pandangan mendalam dan empati mengenai isu-isu semasa seperti kekeluargaan, cabaran penjagaan anak istimewa, kesihatan, pendidikan, kesukarelawanan, dan kesedaran peribadi. Setiap cerpen dalam kumpulan ini mempunyai kelainan dan keistimewaan tersendiri dalam menyampaikan pemikiran pengarang. Cerpen-cerpen ini sarat dengan pengetahuan dan nilai pengajaran yang boleh dimanfaatkan oleh golongan pembaca, khususnya golongan remaja. Pengarang berjaya menyampaikan mesej-mesej penting yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga menginspirasi pembaca untuk merenung dan bertindak terhadap isu-isu yang dihadapi dalam kehidupan seharian.
KUMPULAN PUISI REMAJA
Kumpulan puisi perseorangan untuk bacaan remaja (peringkat umur 13 hingga 18 tahun) yang terbit kali pertama dalam tahun penilaian. Panel penilai telah menerima sebanyak lapan puisi untuk kategori kumpulan puisi remaja bagi tahun penilaian 2021/2022.
Dalam kategori Puisi Remaja, panel penilai telah diberikan oleh pihak urus setia secara umum kriteria penilaian puisi-puisi tersebut untuk disaring dan disenarai pendek sebelum dibengkelkan bersama-sama dengan panel penilai, iaitu seperti yang berikut:
Kriteria umum ini, kemudian telah dibincangkan oleh para panel penilai bersama-sama dengan urus setia untuk memperincikan lagi secara khusus skop penilaian puisi-puisi yang berjaya ke saringan akhir atau disenarai pendek. Hasilnya, panel penilai telah membuat kriteria khusus untuk meneliti puisi-puisi yang telah disenarai akhir itu seperti yang berikut:
Tujuan kriteria khusus adalah untuk meneliti dengan lebih mendalam dan terperinci sesebuah puisi dari sudut yang telah digariskan seperti di atas. Kriteria khusus ini menjadi kayu ukur atau panduan kepada para panel dalam membahasakan nilai sesebuah puisi yang disenarai pendek tersebut yang akhirnya telah membantu panel penilai memilih yang terbaik untuk diangkat, dan seterusnya layak dipertimbangkan untuk menerima HSPM 2021/2022 bagi kategori Kumpulan Puisi Remaja.
Daripada lapan buah kumpulan puisi tersebut, lima buah kumpulan puisi terpilih untuk dibincangkan panel penilai dengan menggunakan kriteria khusus yang telah digariskan di atas sebagai panduan. Atas dasar kesepakatan hasil daripada perbincangan, para panel telah sebulat suara memutuskan bahawa kumpulan puisi remaja Bulan di Langit Malam oleh Nawawee Mohammad layak untuk menerima HSPM 2021/2022 bagi kategori Kumpulan Puisi Remaja.
ULASAN PEMENANG PUISI REMAJA
Bulan di Langit Malam (Nawawee Mohammad)
Kumpulan puisi remaja ini mempunyai 101 puisi yang dipecahkan kepada tiga bahagian, iaitu Bulan di Langit Malam, Jikalau Aku Seorang Pengarang dan Alam Menjadi Guru. Dalam bahagian Catatan Penulis, Nawawee Mohammad menyatakan bahawa laras bahasa dalam puisi-puisi yang dihasilkan ini bersifat sederhana tinggi agar sesuai dengan khalayak remaja, mudah difahami dan seronok dibaca. Secara asasnya, kumpulan puisi remaja ini berkisar tentang sikap, tanggapan, pandangan, pendirian, dan falsafah para remaja terhadap sesuatu perkara. Semua amanat ini diterapkan dalam setiap puisi bertujuan memberikan pengajaran, pendidikan dan renungan kepada pembaca.
Terdapat 33 buah puisi terdapat dalam bahagian Bulan di Langit Malam yang berkisar tentang kenangan lama penyair berlatarkan perlukisan alam dan suasana perdesaan yang menjadi latar kehidupan harian pada zaman remajanya. Puisi pertama bahagian ini yang digunakan sebagai tajuk segmen dan juga judul kumpulan puisi ini, iaitu “Bulan di Langit Malam” sendiri menggambarkan keindahan suasana desa pada waktu malam ketika bulan mengambang penuh. Pada waktu tersebut, langit juga cantik dihiasi taburan bintang dan nyanyian burung pungguk. Puisi ini telah memvisualkan suasana malam menggunakan rangkai kata “bulan menebarkan cahaya”, “bintang bertaburan”, “purnama malam makin gemilang menebarkan cahaya” dan “menambah indah lagi alam” menimbulkan suasana tenang, tenteram dan menyentuh hati. Gabungan elemen alam dan emosi memberikan inspirasi kepada pembaca merenung kehidupan mereka sendiri.
“Bulan” mempunyai makna tersirat tentang kehidupan dan masa, serta perjalanan kehidupan manusia yang berubah-ubah. “Malam” pula mengaitkan tentang kegelapan dan harapan yang tidak pasti. Namun, kemunculan “bulan” melambangkan terdapat cahaya yang menerangi kegelapan tersebut. Meskipun malam yang gelap membawa kesukaran dan cabaran, namun kehadiran secebis cahaya bulan memberikan satu bentuk harapan. Hal ini melambangkan tentang kekuatan untuk terus bertahan dalam situasi penuh sukar. Menariknya, penutup bagi puisi ini mengandungi nilai spiritual seperti dipaparkan dalam petikan berikut: “Jauh di desa pedalaman di halaman masjid lama/Seusai solat isyak kami anak-anak jemaah/Masih lagi leka dipesonakan cahaya purnama”.
“Masjid lama” menjadi simbol terhadap ketenangan, sejarah dan nilai keagamaan, menggambarkan tentang kehidupan yang dekat dengan Tuhan. Masjid lama ini menjadi lambang terhadap ruang refleksi diri bersifat kerohanian. Masjid lama juga merujuk terhadap kisah silam berkaitan dengan tradisi, doa, kebersamaan antara jasmani dengan rohani. Di “masjid lama” inilah harapan, nilai kerohanian dan pemantapan jiwa dipupuk menjadi akar diri. Dalam puisi ini, “malam” merupakan keindahan dan kehidupan yang sementara, sedangkan “masjid lama” ialah lambang terhadap makna spiritual dan penyerahan diri melalui ibadah yang dilaksanakan. Tuhan sentiasa hadir walaupun dalam hening malam ketika tidak ramai orang. Bulan dan bintang menjadi saksi terhadap pembentukan akar diri yang seimbang antara kesementaraan dunia dengan kekalnya kehidupan di akhirat nanti.
Melalui tiga segmen dalam kumpulan puisi ini, pengarang mengangkat beberapa mesej penting yang perlu direnungkan para remaja masa kini. Pengisahan tentang kenangan terhadap kehidupan remaja di kampung halaman menjadi antara puisi paling banyak ditemukan. Dalam puisi-puisi seperti “Menjejak Kenangan”, “Sebuah Rumah Ingatan”, “Sebuah Rumah Kenangan”, “Sebuah Rumah Pusaka”, “Sebuah Rumah Remaja”, “Indahnya Sawah Kampungku”, dan “Sesekali Bertemu Rakan Sekolah” mengandungi catatan kehidupan zaman remaja penyair berlatarbelakangkan sebuah kampung tradisi. Selain sarat dengan manis kenangan zaman remaja, dalam puisi-puisi ini juga sentiasa disisipkan keindahan suasana desa dan kehidupan tradisi yang tidak lagi ditemukan pada masa ini.
Sejajar dengan coretan tentang kerinduan terhadap kampung halaman dan zaman remaja yang semakin jauh ditinggalkan itu juga, kumpulan puisi ini turut mengangkat persekitaran hidup petani tradisional di kampung halamannya. Puisi seperti “Sawah Bendang Khazanah Petani”, “Sebuah Lukisan Perjalanan”, “Sepasang Lembu Pawah”, “Indahnya Sawah Kampungku”, dan “Di Situ Tanah Kelahiranku” melukis tentang kecintaan penyair terhadap tempat kelahirannya. Cinta inilah memekarkan ingatan-ingatan terhadap banyak kenangan yang pernah dilalui pada zaman remaja dahulu seperti dinukilkan dalam puisi “Sebuah Gambar Lama” yang mengaitkan “masa lalu diibaratkan seperti gambar lama” dan “gambar lama itu ibarat cermin” (halaman 25).
Kehidupan remaja tidak terlepas dengan persekitaran hidup, ibu bapa dan kekeluargaan. Penyair mengangkat puisi tentang ibu bapanya dalam beberapa puisi seperti “Sesudah Kehilangan Ibu Ayah”, “Sesudah Ayah Tiada”, “Ayah Ibu Idolaku”, “Ayah Ibu Payung Sentiasa Berkembang”, dan “Ayah Ibuku Pasangan Hidup Bahagia”. Dalam puisi “Ayahku Seorang Petani Miskin”, penyair menggambarkan ayahnya seperti petikan berikut: “Ayahku seorang petani miskin/Hidup ibarat kais pagi makan pagi/Pagi petang sepanjang hayatnya/Gigih bekerja jujur mencari rezeki.” (halaman 42).
Gambaran tentang ayah penyair dinyatakan begitu jelas sebagai “seorang petani miskin” yang hidup serba kekurangan. Walaupun miskin, ayah dan ibu tetap menjadi idola penyair seperti dinyatakan dalam puisi “Ayah Ibu Idolaku” dan “Ayah Ibu Payung Sentiasa Berkembang” yang tetap menimbulkan rasa kehilangan dan sedih apabila mereka meninggal seperti diungkapkan dalam puisi “Sesudah Kehilangan Ibu Ayah” dan “Sesudah Ayah Tiada”. Penyair secara tidak langsung cuba menghantar pesan kepada golongan remaja supaya tidak menganggap kemiskinan ibu bapa sebagai perkara yang memalukan. Ibu bapa yang miskin masih berupaya memberikan kasih sayang, pengajaran dan banyak nilai positif kepada anak-anak. Anak-anak tidak boleh menjadikan kemiskinan sebagai satu kayu ukur kebahagiaan dan tidak menghargai pengorbanan ibu bapa mereka. Anak-anak patut menghargai ibu bapa mereka dan berbangga dengan apa-apa yang dimiliki kerana kemiskinan sering mengajar tentang ketabahan, kerja keras dan penghargaan terhadap perkara kecil dalam hidup. Walaupun ibu bapa tidak dapat memberikan kemewahan, tetapi mereka sering memberikan nilai positif seperti kejujuran, kesyukuran dan sifat berdikari yang boleh membantu anak-anak mencapai kejayaan dalam hidup. Pesan ini diketengahkan dalam puisi “Terasa Hidupku Sangat Bertuah” yang mengaitkan rasa syukur dengan apa-apa sahaja yang dilalui dalam kehidupan walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Hal ini diteguhkan lagi dengan puisi “Orang Berakhlak Mulia” dengan pesan bahawa kemuliaan seseorang lebih dilihat melalui akhlaknya. Dalam puisi “Ilmu itu Penjaga Paling Setia”, penyair mengungkapkan tentang kelebihan mempunyai ilmu yang akan menjaga kehidupan manusia berbanding dengan mempunyai harta seperti rangkap berikut: “Harta itu ibarat seorang raja berkuasa/Selagi seseorang manusia itu kaya raya/Siang malam usianya hanya dihabiskan/Demi menjaga harta bimbang dicuri orang”.
Nukilan alam tidak dapat dipisahkan dalam puisi. Puisi “Alam Kelilingku Ibarat Guru” menceritakan tentang bagaimana kita boleh belajar sesuatu melalui alam dan persekitaran. Terdapat puisi seperti “Bunga-bunga di Taman”, “Dentum Guruh di Langit”, “Cantik Warna Pelangi”, “Memandang Mentafsir Bukit”, “Sesekali Menatap Laut”, “Saat Hujan Mencurah”, dan “Membaca Mendung Berarak”. Kelebihan utama puisi berunsurkan alam ini merupakan keupayaan penyair mengaitkan keindahan dan kekayaan alam dengan Allah SWT yang mencerminkan kebesaran, kebijaksanaan, dan kuasa-Nya. Alam bukan sahaja sebagai tempat untuk hidup, tetapi juga sebagai salah satu cara untuk mengenali tanda-tanda kekuasaan-Nya dalam kehidupan seperti diungkapkan dalam puisi “Ombak dan Laut” dan “Saat-saat Mempesonakan”. Merenung keindahan alam semesta menjadi satu pengalaman yang mendalam, menghubungkan dengan Pencipta dan memberikan rasa kedamaian serta kesedaran akan kebesaran-Nya.
Selain pemilihan ungkapan kata, bahasa dan pemikiran yang pelbagai diangkat seperti huraian di atas, kumpulan puisi ini juga menampilkan elemen perlambangan dan keindahan bahasa, menjadikan puisi lebih indah dan menyentuh emosi pembaca. Kaedah perbandingan atau simile boleh ditemui dalam puisi untuk menyatakan perbandingan dengan lebih mendalam. Kata “ibarat” ditemui dalam puisi “Seperti Menanti Sesuatu” dengan ungkapan “hidup ini ibarat sedang berada dalam penantian”, sementara puisi “Hidup Berakhlak”, penyair menggunakan ungkapan “ibarat pakaian badan apabila selalu dijaga cuci” dan “akhlak terpuji ibarat pagar sentiasa memagar diri”. Perbandingan ini bersifat sangat efektif kerana menggunakan objek yang mudah difahami (pakaian dan pagar) untuk menggambarkan konsep yang lebih abstrak seperti akhlak dan moral. Hal ini memberikan kesan visual yang kuat dan memudahkan orang untuk memahami betapa pentingnya menjaga akhlak yang baik dalam kehidupan.
Dalam puisi “Umpama Sekuntum Bunga” terdapat ungkapan “alam remaja umpama bunga di taman” untuk menggambarkan tentang keindahan alam remaja sebagai perumpamaan dengan bunga yang sedang mekar di taman. Puisi yang sama mengungkapkan perumpamaan puitis berikut untuk menggambarkan sebuah kehidupan sebagai satu bentuk pelayaran yang sedang bergerak menuju destinasi atau matlamat yang tertentu: “Jikalau ibarat sebuah pelayaran di lautan/Pelayaran itu sedang bergerak menuju pelabuhan”.
Ungkapan ini merupakan satu bentuk perbandingan menggambarkan perjalanan hidup yang penuh dengan usaha dan perjuangan, namun akhirnya perlu tiba ke pelabuhan. Ungkapan tersebut juga berkaitan dengan harapan dan semangat untuk terus berusaha meskipun menghadapi rintangan. Puisi “Hidup Ini Sangat Sementara” menggunakan kata “jikalau” untuk menyatakan syarat atau keadaan yang penuh dengan makna seperti petikan berikut: “Jikalau malam bulan penuh purnama/Jikalau siang matahari penuh berkaca”.
Kedua-dua baris ini mencipta suasana atau gambaran puitis melambangkan sesuatu yang sempurna, indah dan luar biasa, gambaran tentang kesempurnaan waktu siang dan malam sehingga menampilkan keindahan yang luar biasa; malam purnama yang cantik dan siang yang cerah.
Menggunakan kaedah perulangan dalam puisi berupaya menimbulkan unsur keindahan dan kekuatan makna. Perulangan ini memberikan kesan yang mendalam pada pembaca, mencipta irama yang harmoni, dan memberikan penekanan pada tema atau maksud yang ingin disampaikan. Dalam puisi “Ketika Perahu Sudah di Air” terdapat perulangan yang dipaparkan pada awal ayat sehingga menimbulkan ketegasan makna seperti petikan berikut: “Jangan lagi salahkan orang/Jangan lagi memfitnah sembarangan/Jangan lagi beralasan di luar alasan”.
Ungkapan perulangan dalam petikan di atas bernada tegas dan memberikan makna tentang tanggungjawab setiap individu untuk lebih bermoral. Perulangan kata “jangan lagi” memberikan penekanan yang mendalam dan menambah kesan dramatik kepada pesan yang ingin disampaikan.
Kesimpulannya, kumpulan puisi “Bulan di Langit Malam” mempunyai gabungan mesej yang jelas tentang pelbagai isu berada sekeliling remaja seperti alam sekitar, ketuhanan, dunia remaja, dan kasih sayang yang akhirnya menyerlahkan tentang jati diri. Inilah yang menjadi kekuatan utama kumpulan puisi ini. Semua mesej yang diangkat dalam kumpulan puisi ini akhirnya akan mengaitkan dengan ketuhanan dan menyerlahkan akar diri sebenar yang patut golongan remaja terapkan dalam diri masing-masing. Walaupun pemilihan diksi yang digunakan bersifat sederhana tinggi untuk disesuaikan pembaca remaja, namun ini tidak memudarkan nilai estetik yang ditampilkan melalui pemilihan kata yang tepat, perbandingan atau simile, dan kaedah pengulangan.
DRAMA PENTAS REMAJA
Drama Pentas Remaja yang diletakkan di bawah Kategori D, iaitu Buku Sastera Remaja ditakrifkan sebagai drama untuk bacaan remaja (peringkat umur 13 hingga 18 tahun) yang terbit kali pertama dalam tahun penilaian. Kriteria umum yang dinyatakan oleh urus setia ialah karya yang memaparkan citra remaja yang unggul, dan yang mengandungi unsur pendidikan atau pengajaran.
Selain itu, panel penilai juga mengambil perhatian pada kriteria penilaian umum yang digariskan oleh urus setia yang menekankan kesatuan organik karya dengan memastikan setiap elemen saling berkait serta menampilkan persoalan yang matang dan asli untuk mencetuskan pemikiran kritis.
Kriteria umum lain melibatkan keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan bagi memperkaya mesej, selari dengan keindahan moral yang membentuk nilai positif dalam masyarakat. Kriteria inovasi dan kreativiti juga digariskan bagi membawa pembaharuan dalam teknik serta penyampaian. Selain citra remaja yang unggul, di samping unsur pendidikan dan pengajaran yang memperkaya ilmu serta nilai moral pembaca.
Berdasarkan kriteria penilaian yang umum yang disediakan oleh urus setia, panel penilai memberi fokus kepada beberapa perkara penting dalam penghakiman ini. Panel penilai berpendapat bahawa skrip drama pentas remaja yang baik perlu menampilkan tema yang sesuai dengan kehidupan remaja dengan mesej positif yang mendidik. Dialog yang realistik dan dinamik mencerminkan ekspresi remaja penting untuk memastikan keserasian dengan audiens.
Selain itu, plot yang jelas dan menarik dengan struktur penceritaan tersusun – pengenalan, konflik, klimaks, dan resolusi yang memikat perhatian merupakan perkara asas. Seterusnya, watak yang berkesan dengan latar belakang dan perkembangan watak yang kuat untuk menimbulkan hubungan emosi. Akhir sekali, panel penilai berpendapat bahawa skrip perlu memberikan ruang untuk kreativiti pengarahan, simbolisme dan interpretasi seni tanpa menyulitkan pelaksanaan di pentas.
ULASAN DRAMA PENTAS REMAJA
Bagi kategori Drama Pentas Remaja tahun 2022, hanya satu sahaja karya yang diterima, iaitu Bantal Busuk oleh Ladin Nuawi, terbitan oleh Bingkas Kebayan. Karya ini mengandungi 10 buah naskhah skrip drama pentas yang sebahagian besarnya dipersembahkan dengan gaya berjenaka.
Panel penilai mendapati bahawa antologi ini secara keseluruhan menampilkan karya yang sederhana dengan plot dan konflik yang mudah diselesaikan, yang mungkin kurang mencabar bagi remaja yang mencari naratif lebih kompleks. Pengembangan watak seperti Teruna dalam “Bunga di Halaman” serta Kacak dan Rupawan dalam “Sampah Menyampah” didapati terhad, menjadikan motivasi dan perubahan sikap mereka kurang mendalam dan kurang meyakinkan. Selain itu, dialog yang berulang-ulang seperti dalam “Apa Punya Barang”, melambatkan tempo cerita dan mengurangkan impak emosionalnya.
Kekurangan ketegangan naratif dalam beberapa cerita turut menyebabkan resolusi konflik terasa tergesa-gesa. Penekanan moral yang kadangkala terlalu didaktik seperti watak Tokche dalam “Sampah Menyampah” juga berpotensi mengurangkan keterlibatan penonton. Tambahan pula, latar cerita yang statik seperti kebun dalam “Bunga di Halaman” dan taman dalam “Sampah Menyampah”, menjadikan dunia cerita kelihatan sempit dan kurang bervariasi.
Secara keseluruhannya, Bantal Busuk ialah karya yang cuba menonjolkan kekuatan tematik dengan gaya humor yang unik. Dengan penambahbaikan dalam pembangunan konflik dan dialog, skrip ini berpotensi menjadi lebih berkesan dalam menyampaikan mesej tentang dinamika hubungan manusia melalui skrip yang mampu menghibur dan memberikan refleksi mendalam kepada penonton muda.
Keputusan:
Kategori D: Drama Pentas Remaja
Panel Penilai sepakat membuat keputusan: tiada pemenang
PENUTUP
Berdasarkan penilaian yang telah dilakukan oleh panel, karya-karya untuk HSPM 2021/2022 bagi Kategori D: Buku Sastera Remaja pada umumnya menampilkan kepelbagaian gaya, tema dan teknik penceritaan yang sesuai dengan khalayak remaja. Novel Merom oleh Jong Chian Lai dipilih sebagai pemenang dalam kategori Novel Remaja kerana keupayaannya mengangkat tema identiti dan kearifan tempatan dengan teknik naratif yang kreatif. Kumpulan cerpen Telefon yang Menyembunyikan Kisah oleh Abang Median Abang Said pula menampilkan pelbagai isu semasa dan sosial yang mendalam dengan teknik penceritaan yang reflektif dan penuh emosi. Manakala kumpulan puisi Bulan di Langit Malam oleh Nawawee Mohammad berjaya menonjolkan keindahan bahasa dan persoalan kehidupan remaja yang mendalam, menjadikannya sebuah karya yang berkesan dan bernilai dalam dunia sastera remaja.
Secara keseluruhan, karya-karya yang dinilai dalam kategori ini menunjukkan perkembangan positif dalam sastera remaja Malaysia dengan penekanan pada nilai estetika, pemikiran kritis serta mesej yang bermakna untuk golongan remaja. Namun begitu, dalam kategori Drama Pentas Remaja, tiada pemenang dipilih kerana ketiadaan karya yang dianggap dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan dari segi kedalaman tema dan pembangunan naratif. Panel menegaskan kepentingan kesinambungan inovasi dalam sastera remaja, serta keperluan untuk terus memperkaya khazanah sastera dengan karya yang mampu menarik minat dan mencetuskan pemikiran kritis dan positif dalam kalangan generasi muda.
PANEL PENILAI
Profesor Dr. Md. Sidin Ishak
Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa
Dr. Maharam Mamat

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.