Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPENDAHULUAN
Sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) telah menerima sejumlah 1,957 puisi eceran dan 44 kumpulan puisi yang diajukan untuk dinilai pada tahun penilaian 2021/2022. Penilaian dilaksanakan dalam dua tahap, iaitu penilaian awal dan akhir. Pada penilaian awal, panel penilai telah menyenarai pendek sejumlah 168 buah puisi untuk dibawa ke penilaian akhir. Manakala, daripada jumlah pencalonan dalam kategori Kumpulan Puisi pula, panel penilai memilih sebanyak 13 buah kumpulan puisi untuk dinilai pada peringkat penilaian akhir.
MATLAMAT
HSPM mempunyai matlamat yang digariskan sebagaimana yang berikut:
KRITERIA KARYA
Selanjutnya, panel penilai mengambil maklum bahawa terdapat dua penggolongan karya untuk dinilai; iaitu puisi eceran dan kumpulan puisi. Puisi eceran bermaksud karya penulis yang disiarkan dalam akhbar, majalah, buku, atau antologi buat kali pertama dalam tahun penilaian (2021 – 2022), manakala kumpulan puisi ialah puisi-puisi karya penulis perseorangan, terhimpun dalam bentuk buku yang terbit kali pertama dalam tahun penilaian. Dua pertiga daripada puisi yang dihasilkan hendaklah dalam tempoh 10 tahun daripada tahun penilaian.
GARIS PANDUAN PENILAIAN
Sehubungan itu, panel penilai mengambil maklum bahawa:
TATACARA PENILAIAN
Panel penilai mengambil maklum bahawa kriteria penilaian umum adalah sebagaimana yang berikut:
KATEGORI A: KUMPULAN PUISI
PENILAIAN PUISI PEMENANG
Berdasarkan garis panduan dan tatacara penilaian yang ditetapkan, panel penilai membaca keseluruhan karya dalam kategori Puisi Eceran mahupun Kumpulan Puisi (perseorangan) dengan rapi dan teliti. Oleh itu, keputusannya adalah sebagaimana yang berikut ini:
Bara Hujan (Rudi Mahmood)
Bara Hujan ialah kumpulan puisi yang menuntut pembacaan rapi. Penyair ini tidak mengizinkan makna setiap karya puisi muncul dengan ketara kerana dia mahu mencabar fikiran pembaca. Selain itu, sebahagian besar daripada sajak dalam buku ini terhasil secara ilham sejati. Hal ini dapat dikesan melalui gaya bahasa yang tidak tertakluk pada metafora yang biasa-biasa.
Judul buku ini bersifat ironis. Hujan bertentangan dengan bara kerana sifat hujan adalah cair dan sejuk, manakala bara sebaliknya. Unsur ironis ini amat sesuai dengan kandungan buku yang membawa tema gejala dalam kehidupan. Judul ini menyarankan kita menyedari bahawa di sekeliling kita penuh dengan objek, kejadian dan nilai yang bertentangan.
Sajak pertama berjudul “Kulihat Rumahmu, Kulihat Tangga Terakhir” (halaman 1). Susunan citra dalam sajak ini dan diikuti sajak-sajak lain juga mendorong pembaca mengulangi pembacaan. Citra ‘rumah’ dapat dianggap membawa makna rumah yang sebenar, namun makna itu beranjak apabila pembaca mula membuat tafsiran. Perhatikan rangkap keempat:
……….Ini kerja orang melihat langit yang jauh
……….melihat panas dan hujan
……….kau tak akan mengerti
……….ketika tanah dan sepatuku melekat
……….dalam akar bumi.
Adalah istimewa, penyair berbicara tentang ‘rumah’, tetapi muncul hal langit dan kemudian berbalik ke bumi. Citra ‘sepatu’ ialah lambang perjalanan dalam kehidupan. Kita sampai pada kesimpulan bahawa penyair membicarakan kehidupan di alam yang luas. Berdepan dengan kebesaran alam, segala-gala yang berdekatan menjadi kerdil. Inilah kesimpulannya:
……….Di belakangku
……….pohon dan perbukitan
……….semakin mengecil.
Sajak yang kedua memuatkan penghargaan kepada ibu dan bapa. Baris pertama menyebutkan ‘mak’ dan baris kedua memuatkan perbandingan ‘seperti asap dan abu’. Perbandingan itu tentulah dianggap aneh dan keanehan ialah punca kekuatan buku ini. Jika ibu dikenang sebagai asap dan abu, bapa pula disebut sebagai ‘pagi yang terang’. Pada rangkap akhir, penyair menyimpulkan bahawa kedua-dua orang tuanya seumpama pelita menyala. Menurut Teori Anjakan Makna, perbandingan yang berubah-ubah ini dibenarkan dengan syarat penyair konsisten mengaplikasikannya.
Sajak “Dekat ke Sisimu” (halaman 9) memuatkan pernyataan sinis, iaitu: “Politikus dan pendakwah/tertulis dalam satu baris.”
Secara sepintas lalu, penyair menyuarakan sindiran bahawa ahli politik dan orang yang berjuang di jalan agama tidak berbeza. Sindiran ini umum bagi menyatakan hakikat dalam masyarakat. Menurut penyair, persamaan antara ahli politik dengan orang agama menyebabkan dirinya memilih untuk mendekati Ilahi secara sendiri:
……….Kupilih jalan yang hampir denganmu
……….untuk hidup merentas langit
……….tapi selajur tanah
……….masih melekat
……….di sepatuku.
Dalam sajak ini, citra ‘sepatu’ muncul bagi menyatakan bahawa perjalanan menuju keredaan Allah SWT. Penyair tidak merasakan perjalanan itu mudah. Rangkap seterusnya menyebutkan kesukaran memperoleh kehidupan yang penuh kesucian atau kekudusan:
……….Negeri yang kudus
……….telah menitir sebilah kata
……….seperti mata pisau
……….tajam melekat.
Rangkap terakhir menyatakan bahawa perenungan tentang hal keagamaan secara bebas dan tersendiri akan berakhir dengan kekeliruan. Kata seru ‘ah’ ialah lambang kekeliruan: “Kulempar jauh pandangan/dari pancutan darah. Ah!”
Ketika memikirkan agama, terutama tentang ketuhanan, penyair menjadi perenung. Penyair tidak menganggap hal ini sebagai masalah. Perenungan membantu membina dirinya bagi mendapatkan stail yang kukuh. Sajak “Hujan di Hari Sunyi” (halaman 29) merupakan bukti yang nyata. Pembaca seakan-akan berhadapan dengan masalah mencari kunci untuk membuka pintu makna. Perhatikan rangkap pertama:
……….Hujan mengalir di hari sunyi
……….gelora kian masuk ke dalam darah
………………..cebisan air
……….di sisi langitku
……….awan mengurung laut yang berat
Pemadan kata untuk dijadikan frasa terlihat agak asing. Hujan tidak dikatakan turun, tetapi mengalir, manakala awan pula berupaya mengurung laut. Apabila makna frasa itu dapat difahami, barulah keseluruhan makna rangkap tersebut dapat ditanggapi, iaitu segala-galanya adalah tentang diri. Kata ‘langit’ misalnya bukan langit di angkasa, tetapi ‘langitku’. Dalam diri penyair ada alam dan ini bukan penanda bahawa dirinya adalah besar, sebaliknya penanda kebesaran Ilahi, iaitu Allah mencipta makhluk yang kreatif dan imaginatif. Perhatikan rangkap ketiga:
……….Tuhanku,
……….kupilih hujan, kauberi detik dingin
………………..bisik makrifat
……….diam-diam mengatur pilihan.
Manusia boleh memilih, namun pilihan manusia tidak semestinya dicapai sepenuhnya kerana Allah penentu yang hakiki. Apabila manusia memilih ‘hujan’ tetapi memperoleh ‘detik dingin’, itu ialah makrifat kerana Allah Maha Tahu dan ilmu-Nya yang tidak terbatas. Allah tahu bahawa ‘detik dingin’ lebih bermakna berbanding dengan ‘hujan’. Manusia yang bersifat perenung akan benar-benar mengenal Allah. Kesimpulan keseluruhan sajak ini ialah renungan yang menginsafkan dan rangkap akhir membuktikan bahawa semuanya tentang diri: “Hujan di hari sunyi/kulihat alir basah di mata.”
Terbuktilah, karya-karya dalam buku ini tebal dengan penyembunyian makna. Dalam dekad terkini, agak kurang buku puisi yang memuatkan ciri ini. Perlu ditegaskan, terdapat agak banyak puisi yang memuatkan unsur keagamaan, namun penyair tidak mengemukakan didikan agama secara berterus terang. Penggunaan kata dan istilah seperti qasidah, kiblat, tahmid, laduni, nutfah, Arasy dan banyak lagi, ialah penanda penyair cenderung pada persoalan agama.
Buku ini ialah buku puisi yang mempunyai kekuatan tersendiri. Penyair menetapkan gaya dan kaedah yang konsisten untuk menyampaikan temanya.
KATEGORI B: PUISI ECERAN
PENILAIAN PUISI PEMENANG
Puisi eceran merupakan karya penulis yang disiarkan dalam akhbar, majalah, buku, atau antologi buat kali pertama dalam tahun penilaian. Panel Penilai Kategori Puisi telah melaksanakan penilaian dan perbincangan yang mendalam serta sebulat suara memilih puisi-puisi yang berikut sebagai pemenang HSPM 2021/2022.
1. “Dari Senja hingga Senja Lagi” (Zaen Kasuri)
Karya ini menyatakan hal pilihan dan sikap. Baris “di tanganmu seikat bunga/di tanganku segenggam udara” menunjangi penyataan ini. Ini ialah realiti tatkala kita menjalani kehidupan yang dikiaskan seumpama “sebuah taman”. Secara kiasan juga dikatakan “kauhulurkan bunga” manakala “genggam tidak kubuka”. Ertinya tidak akan ada pertemuan atau persetujuan antara manusia yang berbeza sikap. Dengan yang demikian, situasi sebegitu akan berterusan dan berkekalan.
Karya ini mengambil unsur alam sebagai citra atau imej dalam menyampaikan pemikiran pengarang. Imej seperti “taman”, “bunga”, “udara”, “senja”, dan “angkasa” terikat sebati dan akrab. Penyair memintalnya dengan rapi untuk membangunkan makna sikap serta situasi yang disebutkan. Jalinan ini harmonis dan berjaya mengangkat karya menjadi selesa pada pembacaan. Kesejajaran ini memperkukuh jalinan pemikiran yang hendak diungkap. Penggunaan imej yang kuat bagi mengiaskan sesuatu yang mujarad berupaya mengangkat nilai karya.
Penggunaan kata ganti berfungsi memudahkan resepsi pembaca. Kata ganti “mu” dan “ku” memerikan wujudnya dua pihak. Dengan menyebut “di tanganmu” yang dipadankan dengan “di tanganku” menjelaskan penyataan di atas. Antara dua pihak ada perbezaan atau pertentangan. Di samping itu, penggunaan “kau” serta “kita” memperlihatkan corak perhubungan kedua-dua pihak yang seharusnya bersebati. Baris “sejak kita mengumpul kata demi kata/berbagi rasa demi rasa” membuktikan hakikat penyatuan. Akan tetapi, yang terpaksa dipilih ialah “senja”, suatu gambaran yang suram berbanding dengan warna pagi yang lebih memberangsangkan, tetapi sudah tiada keupayaan untuk diperoleh.
2. “Penjual Doa” (Abdul Mubin Ismail)
“Penjual Doa” ialah puisi yang disampaikan dengan gaya naratif. Maksud ‘penjual doa’ ialah orang yang beriman. Justeru, karya ini mengangkat tema keagamaan. Ada rasa rendah hati yang ketara kepada “dia” yang disifatkan “peniaga kecil” satu ungkapan metaforikal tentang seorang hamba yang beriman. Sebagai penganut yang sentiasa tunduk, “dia” tekal menunjukkan amalan-amalan baik, berbudi, berbakti, malahan mempersiapkan diri andai dipanggil ke alam abadi.
Dalam mengangkat pemikiran keagamaan dan ketuhanan, penyair ternyata teliti serta menunjukkan ketekunan dalam pemilihan diksi, kiasan serta perlambangan demi menghantar mesejnya kepada pembaca. Ungkapan “peniaga kecil” dipertentangkan dengan “pedagang alim” dan “saudagar wali” menjadi perbandingan yang bertenaga. Selain itu, penyair bijak memanipulasi kata seperti “modal”, “pasar”, “tabung amal”, “pasar sejahtera”, “pasar duka”, “pasar riak”, “celeng insaf”, “untung berjaja”, dan beberapa lagi yang direntetkan membentuk kekuatan protagonis “dia” sebagai pendakwah.
Si protagonis “dia” dalam naratif singkat “di negeri sementara ini”, selain menunjukkan keimanan dan perbuatan amal bakti yang tersanjung, digambarkan mewakili berbagai-bagai pihak yang bertakwa tatkala melakukan segala kebaikan. Pesanan “dia” kepada si anak memperlihatkan unsur pendidikan yang membina. Ada keikhlasan yang terang. Ada juga persona pekerti yang tertaut pada susuk penuh beriman: “terus menjadi peniaga doa/membesar lorong sedekah/melebar lorong zakat”. Sajak “Penjual Doa” menyeru dakwah yang membawa berkat.
3. “Lidah yang Dirindui Ular” (Norawi Hj. Kata)
Karya ini bergaya sinis. Penyair mengemukakan idea tentang kepalsuan yang menjadi-jadi di sana sini. Dalam masyarakat, terdapat kecenderungan manusia mengemukakan kepalsuan, sama ada menyanjung atau menyakitkan yang lain (menganugerahkan pujian dan kesakitan).
Penyair tidak mengkhususkan kritikannya terhadap satu-satu pihak. Kiasan melalui ungkapan terbalik ini ditujukan kepada pelbagai pihak. Lantaran itu, pemikiran ini bersifat universal atau sejagat. Penyair memilih mengemukakan pemikiran secara terbalik yang melihat dari konteks antagonis “kau” yang memiliki “lidah yang telah dijinakkan/dengan ribuan ular”. Lidah ini bebas untuk mengeluarkan kata-kata beracun seperti membuat hasutan dan sebagainya.
Penyajak mengangkat premis karya secara mudah dan mesejnya akan segera difahami apabila pembaca menyedari bahawa menyedari gaya terbaliknya. Setelah memahami gaya tersebut, ideanya dapat dirasakan mengalir dengan baik. Penyajak tidak menghalang perbuatan “kau” yang menaburkan kata-kata berbisa, sebaliknya menganjurkan agar melakukannya. Demikianlah unsur sinisisme yang tajam. Kekuatan inilah antara lain menjadi tunjangan kepada sajak ini.
Dengan menggunakan gaya bahasa yang sedemikian, penyajak “menenggelamkan” pembaca ke dalam arus perbuatan jahat sesetengah kalangan masyarakat. Saranan atau sikap merelakan segala tindak-tanduk “kau” merupakan kebijaksanaan membuat kritikan secara halus. Kritikan sosial seironi ini sudah tentu mampu meninggalkan impak yang kuat. Pembaca yang kritis pasti faham bahawa sajak ini memuatkan larangan terhadap sesiapa sahaja agar jangan bertindak menggunakan “lidah berbisa” sang ular.
4. “Mot Juste” (Raihani Mohd. Saaid)
Maksud “mot juste” ialah ekspresi yang tepat. Karya ini digarap penuh nada sindiran dan mengejek. Penyair mengejek kepada ketidakjujuran, kepalsuan dan kepura-puraan yang seakan-akan tidak berkesudahan. Tingkah laku itu disangkutkan kepada “engkau” yang disanjungi, dikagumi dan dihormatinya. Penggunaan ungkapan “aku penyair angkuh” yang dipadankan dengan “menyalin bahasa biadabmu” memperkuat nada protes “aku”. Demikian, selain membiadabkan “engkau”, penyair dengan sinisnya menyimpulkan bahawa protagonis ‘menurap jalan ke neraka’ dengan puisi-puisi palsuku. Puisi sinis harus dibaca secara terbalik.
Penyair mengangkat idea dengan bahasa yang memuatkan pertentangan demi menyampaikan maksud dan tujuan secara berkesan. Penggunaan diksi pertentangan mendorong pencernaan maksud dalam minda. Baris-baris “aku mentertawakan deritamu”, “menyalin bahasa biadabmu” dan beberapa lagi, mendorong pembaca berfikir tentang makna di sebaliknya. Pemilihan diksi dan pembinaan baris menjadi tunjang besar dalam penciptaan karya ini. Semua ini diselarikan atau dipertentangkan dengan tujuan membangunkan tafsiran serta interpretasi yang kukuh.
Penyair banyak memberikan peringatan. Di sebalik hiruk-pikuk pujian dan sindiran, karya ini tetap menampilkan beberapa elemen moral yang tersanjung. Elemen-elemen itu ialah kewaspadaan, kedalaman ilmu, penolakan fikiran jumud, dan kejujuran. Penyair menganjurkan sikap serta perlakuan baik. Rangkap yang berikut ini menjadi penyimpul yang berimpak tinggi:
……….Seperti engkau aku memberi daging dan urat
……….kepada boneka dalam kepalaku
……….seperti kau, aku mengagumi kekosongan
……….jemu memuja wira
……….lesu meraikan keanehan
……….sambil melonggokkan mimpi kecil
……….di kaki sang penguasa.
Jelaslah, penyair mengemukakan ekspresi yang menepati pemikirannya.
5. “Gawat Musim Gelora” (Ramzah Dambul)
Puisi ini tentang pejuang. Penyair menggunakan kata ‘nakhoda’ sebagai lambang. Dengan menggunakan analogi ini, karya digerakkan kepada idea pokok yang sedang menjalar dalam fikiran penyair; iaitu kriteria yang wajar ada pada seseorang pejuang. Dengan andaian bahawa pejuang ialah nakhoda, maka tiga perkara perlu dikenali, iaitu (1) kenal kapalmu, (2) kenal lautmu dan (3) kenal dirimu. Ketiga-tiga ini menjadi prasyarat yang perlu diarifi seseorang nakhoda, demikian juga pejuang yang perlu mengenali segala persediaan, lapangan perjuangan dan kekuatan diri sendiri.
Penyajak mengemukakan banyak kiasan yang mampu membangunkan karya. Kiasan “melawan samudera” memperlihatkan kesiapsiagaan seseorang pejuang. Demikian juga imej-imej kayu yang membina lambung, serat untuk menganyam layar, laut serta pelabuhan, kilas angin, keluk arus, dan haluan kapal yang seluruhnya perlu difahami. Bahasa kiasan ini seimbang dan amat membantu mengukuhkan karya ini.
Menurut penyair, pejuang sejati hendaklah terus teguh menghadapi ‘gawat’ dalam ‘musim gelora’. Keteguhan jati diri ini menjadi inti pati karya. Membaca puisi “Gawat Musim Gelora” membuka laluan penuh estetik ke gerbang pemerkasaan jati diri dan keperibadian seseorang yang ingin berbakti, berkhidmat hatta memimpin masyarakat serta bangsa.
6. “Perahu Upaya” (Shapiai Mohd. Ramly)
Karya ini digarap sarat dengan unsur metafora. Penyair berbicara tentang dirinya yang memiliki keupayaan sekadarnya untuk menghadapi takdir. Metafora “tambatan takdir” dan “tambatan akhir” amat berkesan.
Judul “Perahu Upaya” sudah pun memperlihatkan kecenderungan penyajak. Seluruh karya ini tentang diri dan takdir, namun pembaca dapat mengaitkannya dengan nasib dan takdir untuk orang lain juga. Dengan kata lain, isi puisi ini personal yang sekali gus dapat difahami sebagai bahan yang universal. Ungkapan-ungkapan “perahu upaya”, “tambatan takdir”, “pendayung dorong”, “mesej badai”, “angin perubahan”, “pulau harapan”, “telaga tenteram”, “ikan kehidupan”, “jaring justifikasi”, “perahu prinsip”, “tali takwa”, dan “dayung murung” memperlihatkan kesungguhan penyajak dalam upaya mengangkat pemikirannya kepada pembaca.
Penyajak memilih kata ganti nama diri “ku” dalam menghantar pemikirannya. Setiap manusia sebagai makhluk Allah terikat kepada takdir dan harus menempuhi pelbagai peristiwa, cabaran, ancaman dan segala-gala yang termungkin dalam hidupnya. Penggunaan baris “kutambat dengan tali takwa” merupakan pengesahan betapa “ku” menongkatkan diri kepada iman.
“Perahu Upaya” ialah juga sajak tentang kekuatan diri. Kekuatan diri yang dibungkus kesedaran serta keinsafan. Dalam menjalani kehidupan, ketakwaan hendaklah dianggap sebagai pedoman utama. Pada bahagian akhirnya, penyair memaparkan fikiran dan sikap positif, iaitu protagonis akan kembali menantang (menghadapi cabaran).
7. “Perlumbaan Arnab dengan Kura-kura” (Zurinah Hassan)
Di Nusantara, kisah perlumbaan klasik kura-kura dengan arnab amat terkenal. Penyair memilih kisah tersebut untuk menerbitkan persepsi baharu. Persepsi baharu ini tampaknya lebih segar. Sudah diketahui umum, arnab kalah dalam perlumbaan ini. Dengan membangunkan semula kisah, arnab mengatakan “aku sengaja memilih kekalahan”. Kata-kata ini menggerakkan seluruh karya.
Sajak ini mengemukakan perspektif yang berlainan tentang kekalahan arnab. Arnab ialah protagonis walaupun kalah. Penyair mengemukakan interpretasi yang baharu, iaitu jika arnab menang, tiada siapa akan menyanjung atau memujinya kerana ia bertanding dengan makhluk yang lemah. Kekalahan arnab membawa mesej yang berpanjangan, iaitu sesiapa yang handal akan dikalahkan jika lalai. Dalam sajak ini, arnab sendiri yang berhasrat meninggalkan pesanan sedemikian. Arnab memilih untuk kalah demi meninggalkan warisan teladan yang berguna!
Penyair berpuisi dengan bersahaja, namun ketajaman pemikiran kritisnya meyakinkan. Penilaian dan perkiraannya wajar. Ada kecerdikan pada sang arnab. Ia membiarkan kura-kura memenangi perlumbaan dan kesannya, peristiwa itu meninggalkan bahan fikiran dari generasi ke generasi: “Mereka terus berbincang/Semakin arif tentang erti lalai dan leka/Dan padah sebuah kesombongan.”
Demikian, teladan harus sentiasa meranumi pengalaman manusia supaya “lebih bermanfaat”, penyair memberikan alternatif yang berlainan melalui garapan yang indah serta mengupayakan daya pemikiran kreatif dan kritis.
8. “Lelaki yang Kehilangan Kunci” (Ratna Laila Shahidin)
Karya ini mengemukakan tema kehilangan pedoman. Ungkapan “kehilangan kunci” adalah umum, namun isi karya ini memberatkan hal keagamaan. Punca kehilangan kunci (kehilangan pedoman) ialah “jalan di hadapan seakan terhijab oleh kegelapan”. Kegelapan membawa maksud kejahilan, jadi kunci bermaksud ilmu telah hilang kerana diri tertentu itu hidup dalam kejahilan.
Apabila timbul kesedaran, lelaki itu berusaha membaiki keadaan. Dia “menampal retak yang melubang iman”. Ertinya, apabila keretakan dan keadaan iman yang berlubang itu pulih, dia akan kembali menjadi insan yang bertakwa. Baris “pada setiap zikir dan ratib” kuat menunjangi idea keimanan tersebut. Hal ini ditambahi dengan baris pada rangkap yang seterusnya: “tunduklah kepada Tuhan/bukan malu kepada insan”.
Kekuatan karya juga bergantung pada kata kunci “kunci” itu sendiri. Diksi ini sengaja dipilih untuk mengukuhkan konsep keimanan. Ada ungkapan lain, yakni “pintu rumah” yang digunakan untuk dikaitkan dengan peribadi. Sketsa tentang rumah “runtuh perlahan-lahan” yang menjadi amaran bahawa manusia hendaklah segera berwaspada. Sketsa kecil kemudiannya ditautkan dengan kembalinya lelaki itu ke jalan yang diredai.
Penyair memunculkan nilai yang sesuai untuk dibawa ke renungan. “Kehilangan kunci” bukan menjadi jalan terakhir kehidupan beragama. Sikap positif dan dorongan yang disuntik bersungguh-sungguh dari rangkap ke rangkap bermaksud menemukan kunci untuk membuka pintu rumah diri. Kejarakan dengan iman sejajar kehilangan kunci, namun lelaki itu “menampal retak yang melubang iman” kerana dia memutuskan untuk pulang ke jalan yang benar. Baris akhir sajak ini menyimpulkan bahawa lelaki itu akan hidup di rumah yang lebih baik, iaitu tidak lagi dalam kesesatan.
9. “Pencuri Pakaian” (Zamhari Bakti)
Sajak ini berpaksi kepada tiga unsur: ketenangan, kenangan dan jendela. Pelakunya tentulah aku dan ‘dia’ (kenangan). ‘Kenangan’ sering datang untuk meragut ketenangan aku dengan masuk melalui jendela yang tidak diwaspadai penyajak yang membiarkannya terbuka (jendela fikiran). Dalam siklus mudah, penyajak mengungkapkan kenangan membuatnya hilang ketenangan. Kenangan hadir kerana penyajak membiarkannya. Dengan menggunakan gaya personifikasi yang sarat seperti ini, sesungguhnya penyajak cuba memperlihatkan kesedaran dan keupayaan manusia untuk menerima atau menolak unsur yang mengganggu ketenangannya.
Karya digarap mudah. Penggunaan dialog menarik serta berfungsi membangunkan sajak ini. Seluruh karya hampir tiada suatu pemikiran yang baharu, akan tetapi kebijaksanaan pengungkapan meletakkan karya ini hidup serta menarik untuk renungan. Ada kebenaran yang ditebarkan di sana sini. Selebihnya, karya mengalir seolah-olah tanpa paksaan. Perulangan idea bukanlah langka dalam sejarah penciptaan puisi, akan tetapi cara idea itu digubah menjadi indah merupakan satu ‘peristiwa’ yang berbeza.
“Pencuri Pakaian” terbina daripada lima rangkap yang setiapnya berkesinambungan; dipintal baik sehingga menjadikannya sebuah karya yang kemas dengan setiap imej meninggalkan kesan segera dalam fikiran pembaca. Hal tersebut semacam sebuah prosa naratif yang pendek, akan tetapi dalam kesingkatannya penyajak sempat meninggalkan kepada pembaca satu titik renungan yang indah. Mudah sahaja, gunakan “tukul insaf dan paku kemaafan”, dan pencuri pakaian tidak akan masuk lagi ‘ke rumah’ (ke dalam diri!)
10. “Hikayat Esok” (Abizai)
Puisi “Hikayat Esok” memuatkan pemikiran tentang janji serta hasrat dan pelaksanaannya. Penyair melukiskan watak pengarang yang menulis kisah serba sempurna tentang masa hadapan. Dengan kata lain, pengarang menyebutkan esok, iaitu masa depan adalah serba positif. Pada rangkap pertama, dilukiskan bahawa golongan marhaen tertipu dan leka kerana pengarang itu pintar berkata-kata. Golongan marhaen tidak mempersoalkan kemunasabahannya.
Rangkap kedua menyatakan bahawa impian marhaen tidak menampakkan adanya hasil yang meyakinkan. Bahasa perlambangan yang dipaparkan amat menarik: “Kepompong mimpi marhaen/tak juga menjelmakan rama-rama/jelita dan nyata.”
Setakat itu, pembaca telah dapat memahami perbandingan yang dikemukakan oleh penyair. Gambaran serba elok yang dikisahkan oleh pengarang pada bahagian awal tidak terlaksana dalam rangkap kedua ini. Hal ini bermakna hasrat dalam rangkap awal itu hanyalah impian kosong. Isi rangkap pertama dan kedua berkaitan dengan pertentangan, iaitu pemberian keyakinan dalam rangkap pertama berjawab dengan kekosongan pada rangkap kedua. Kesimpulannya, penyair memberikan mesej bahawa dalam kehidupan ini, tidak kesemua impian terlaksana dan tidak kesemua janji ditepati.
Rangkap ketiga dan terakhir bermula dengan baris “malu pun menyiapkan sarang”. Hal ini dikaitkan dengan pengarang yang memberikan janji. Oleh sebab gagal menyempurnakan janji yang disuarakan dengan penuh yakin, pengarang itu berasa malu. Penyair tidak mengkhususkan golongan yang disebut sebagai pengarang itu, dan janji-janji manis yang disuarakannya pun tidak dikhususkan. Perkara yang penting difahami ialah gambaran indah mudah dijanjikan, tetapi hakikat dalam kehidupan tidaklah sama dengan gambaran itu.
PENUTUP
HSPM mula diperkenalkan pada tahun 1971. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diberikan mandat oleh Kerajaan Malaysia menjadi sekretariat atau penyelenggaranya dengan nama Hadiah Karya Sastera. Walau bagaimanapun, pemberian hadiah ini diberhentikan setelah penyampaian hadiah pada tahun 1976. Pemberian hadiah dihidupkan semula bagi sesi 1981 dengan nama Hadiah Sastera Malaysia. Anugerah tersebut berterusan sehingga tahun 1995. Hadiah Sastera Malaysia dijenamakan semula pada tahun 1996 dengan nama Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dengan penilaian dua tahun sekali, dinaik taraf, sehinggalah kini. Penilaian HSPM tahun 2021 – 2022 menunjukkan usia hadiah melepasi setengah abad dan mencerminkan sejarah pemberian hadiah sastera kesusasteraan Melayu yang terpanjang dan mapan.
Pencapaian karya yang memenangi hadiah kali ini membuktikan bahawa kesusasteraan Melayu semakin mantap serta dicipta dengan kreativiti pengarang yang tinggi, lantas boleh dipertanggungjawabkan. Puisi yang memenangi kedua-dua kategori, iaitu Puisi Eceran dan Kumpulan Puisi pada kali ini sangat membanggakan demi memperoleh tanda aras yang lebih tinggi bagi kesusasteraan tanah air.
PANEL PENILAI
Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari
Datuk Dr. Lim Swee Tin
Puan Siti Zaleha M. Hashim

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Buku Kajian Sastera, Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, Buku Biografi/Autobiografi/Memoir dan Esei/Kritikan Sastera Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.