Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPENDAHULUAN
Secara keseluruhan, panel penilai peringkat awal telah menerima sebanyak 10 naskhah karya bagi kategori Buku Kajian Sastera, lapan naskhah Kumpulan Esei/Kritikan Sastera, 13 naskhah buku bagi kategori Autobiografi/Biografi/Memoir, dan sejumlah 156 buah esei bagi kategori Esei/Kritikan Sastera (Makalah Ilmiah) serta 122 buah esei bagi kategori Esei/Kritikan Sastera (Makalah Separa Ilmiah). Kesemua karya ini dinilai dan kemudiannya disenarai pendek bagi tujuan penilaian akhir.
KRITERIA PENILAIAN
Penilaian dilakukan berpandukan skop dan kriteria seperti yang berikut:
ULASAN PEMENANG
Laporan ini ditulis berasaskan penilaian terhadap karya-karya yang dicalonkan untuk kategori-kategori di atas yang telah dinilai pada peringkat akhir. Berikut ialah ulasan penilaian terhadap karya-karya yang telah dipilih sebagai pemenang.
KATEGORI A: ESEI/KRITIKAN SASTERA
Bagi kategori ini, panel menerima tiga buah buku untuk dinilai pada peringkat
akhir, iaitu:
ULASAN PEMENANG ESEI/KRITIKAN SASTERA
Kepengarangan Sastera Melayu Pascamoden (Mana Sikana)
Buku ini terdiri daripada 393 halaman dengan sebanyak 12 bab dikemukakan. Buku ini dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu bahagian pertama dengan judul Idealisme Sastera Pascamodenisme, bahagian kedua berjudul Ideologi Kepengarangan dan bahagian ketiga berjudul Wacana Pengkaryaan.
Bahagian pertama memperkatakan tentang pembinaan teori sastera Melayu, sastera Melayu pascamoden, teori genre sastera idealisme, dan drama eksperimental metasejarah. Bahagian kedua mengemukakan pengarang Matlob sebagai pelopor sastera kanak-kanak Malaysia, kepengarangan Kemala melalui Teori Taabudiyah, pengalaman kepengarangan, dan puisi Suratman Markasan. Sebaliknya bahagian ketiga menganalisis karya Baharuddin Kahar, drama tulisan Rahmad, analisis novel Luka Nering, dan analisis karya W.S. Rendra. Secara umum buku ini bersifat pengemukaan analisis tentang kepengarangan. Esei-esei pada bahagian kedua dan ketiga jelas memilih kepengarangan dalam pelbagai genre, termasuk karya puisi, drama dan novel.
Kekuatan buku ini terletak pada analisis mendalam tentang sastera moden dan kaitan dengan elemen-elemen sastera pascamoden dalam konteks sastera Melayu. Pengarang berjaya mengupas dengan jelas ciri-ciri, tema dan gaya penulisan pascamoden yang membezakan karya-karya ini daripada tradisi sastera sebelumnya meskipun terdapat pertindanan dengan kemodenan itu sendiri. Analisis dalam buku ini juga menghubungkan teori pascamodenisme Barat dengan konteks tempatan, menunjukkan bagaimana sastera Melayu menyerap dan mentransformasikan pengaruh global ke dalam bentuk yang relevan dengan identiti dan budaya Malaysia.
Buku ini memberikan gagasan yang inspiratif kepada penulis, sarjana dan pembaca umum. Mana Sikana mencadangkan bahawa sastera pascamoden boleh menjadi medium untuk mengekspresikan kompleksiti masyarakat moden Malaysia yang pelbagai budaya dan dinamik. Gagasan ini mendorong golongan penulis untuk meneroka bentuk-bentuk baharu dalam penulisan kreatif, sekali gus memperkaya khazanah sastera negara, selain memperkukuh pemahaman tentang sastera Melayu kontemporari.
Dengan mengangkat nilai-nilai pascamodenisme yang inklusif dan kritikal, buku ini turut menyumbang kepada pembinaan negara bangsa yang lebih progresif dan berdaya saing. Penganalisisan karya-karya sastera kebangsaan, buku ini turut memperkasakan bahasa Melayu sebagai medium ekspresi yang relevan dan dinamik dalam era globalisasi. Bahasa dan gaya penulisan yang bermutu, jelas, sistematik, dan meskipun terdapat sedikit kekaburan makna, namun bersifat persuasif dan berwawasan.
Kekuatan buku ini dalam memperkenalkan dan menerapkan teori pascamoden Barat ke dalam konteks sastera Melayu, menunjukkan pemahaman dan penilaian konsep seperti dekonstruksi, intertekstualiti, hibriditi, dan pluraliti yang boleh diaplikasikan dalam karya-karya sastera Melayu. Idea ini membuka ruang untuk memahami sastera Melayu kontemporari dengan perspektif yang lebih global, sekali gus mempertahankan identiti tempatan.
Pengarang memperlihatkan bahawa sastera pascamoden Melayu berfungsi sebagai medium untuk mengkritik dan menganalisis isu-isu sosial, politik dan budaya yang kompleks dalam masyarakat Malaysia. Idea ini menyumbang kepada pemikiran kritis dalam sastera kebangsaan, mendorong penulis dan pembaca untuk melihat sastera bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai alat untuk memahami dan menyelesaikan masalah masyarakat. Pengarang juga berjaya menunjukkan betapa karya-karya pascamoden sering menggabungkan pelbagai suara, perspektif dan budaya, mencerminkan realiti masyarakat Malaysia yang majmuk dan lebih representatif melalui sastera.
Sumbangan penting buku ini ialah penekanannya pada pembebasan sastera Melayu daripada naratif tunggal atau monolitik yang menggalakkan golongan penulis untuk meneroka pelbagai bentuk, gaya dan tema yang lebih eksperimental dan tidak terikat dengan tradisi lama. Idea ini membuka ruang kreatif yang lebih luas untuk penulis muda dan menggalakkan inovasi dalam sastera kebangsaan. Pada masa yang sama, buku ini mencerminkan identiti moden masyarakat Malaysia yang terdedah kepada pengaruh globalisasi, teknologi dan perubahan sosial. Seterusnya membantu pembaca dan pengkaji sastera untuk memahami mekanisme sastera boleh menjadi cermin kepada perubahan identiti dan nilai dalam masyarakat moden.
KATEGORI A: BUKU KAJIAN SASTERA
Bagi kategori ini, panel menerima lima buah buku untuk dinilai pada peringkat
akhir, iaitu:
ULASAN PEMENANG BUKU KAJIAN SASTERA
Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail (Azhar Wahid)
Buku ini terdiri daripada 294 halaman dengan tujuh bab dikemukakan secara sistematik, teratur dan mendalam yang meliputi pengenalan tekstualiti pengarang idealisme, latar sosial dan ketokohan kepengarangan, memperkenalkan teori strukturalisme genetik–hegemoni, konflik kelas dalam kelompok masyarakat, intelektualiti bangsa Melayu, pandangan dunia dalam masyarakat Melayu, dan ketokohan A. Samad Ismail sebagai tokoh wartawan dan negara.
Buku ini bersifat akademik maka perbincangan dikemukakan secara objektif, taakulan yang terperinci, pandangan didukung dengan hujah akademik, metodologi penyelidikan yang jelas, rujukan dan penganalisisan teks dan konteks yang jitu. Kajian ini banyak membawa kepada penemuan-penemuan baharu mengenai A. Samad Ismail seperti peranan beliau dalam perlembagaan PENA (Persatuan Penulis Nasional), mendukung kegiatan pelajar Universiti Malaya di Singapura, terutama dalam pertubuhan Persatuan Bahasa Melayu, serta berjaya meyakinkan pelajar keturunan Cina berjuang supaya bahasa Melayu menggantikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan bahasa rasmi, memberikan sokongan kuat gagasan Universiti Kebangsaan Malaysia yang mula dicetuskan pada tahun 1968 dan pernah dilantik sebagai ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jawatankuasa Kecil Konsep dan Ilmiah.
Penggunaan teori strukturalisme genetik–hegemoni dihuraikan secara terperinci sebelum mengupas 11 buah teks dihasilkan oleh A. Samad Ismail yang sesuai dengan idealisme dan pemikiran yang menjadi pandangan dunia mewakili kelompok sosial dalam mengikuti persejarahan zamannya, diperlengkap dengan teori hegemoni yang memancarkan penguasaan intelektualisme dalam pandangan dunia pengarang dan cerminan sosiobudaya pengarang.
Berkenaan dengan teori konflik, perbezaan pemahaman dan tafsiran Dahrendorf dan Coser yang lebih dinamik berbanding dengan Marx turut dikemukakan bagi pemahaman realiti masyarakat dan aspek ini mengukuhkan pemahaman teori sastera dan pada masa yang sama dikaitkan dengan situasi yang terakam dalam 11 buah novel yang dikaji tersebut. Aspek ini memberikan kesegaran perspektif makna sastera, teks dan konteks yang lebih kritis pemahamannya yang menjadi kekuatan kepada penghasilan buku ini. Penelitian ini berjaya menunjukkan strategi naratif A. Samad Ismail menggunakan medium sastera dan kewartawanan untuk menyebarkan ideologi dan mempengaruhi pembaca, seterusnya memberikan pemahaman baharu tentang A. Samad Ismail sebagai seorang intelektual, wartawan dan sasterawan yang bukan sahaja mencipta karya, tetapi juga mempengaruhi pemikiran dan budaya masyarakat melalui hegemoni intelektual.
KATEGORI A: BIOGRAFI/AUTOBIOGRAFI/MEMOIR
Bagi kategori ini, panel menerima empat buah buku untuk dinilai pada peringkat
akhir, iaitu:
ULASAN PEMENANG BIOGRAFI/AUTOBIOGRAFI/MEMOIR
Biografi Sasterawan Negara: Keris Mas Melepasi Gerhana (A. Rahim Abdullah)
Biografi ini yang terdiri daripada lapan bab dengan 293 halaman, termasuk biodata penulis, bibliografi, lampiran, dan indeks menceritakan riwayat hidup Keris Mas serta menempatkannya dalam konteks sejarah, sosial dan politik Malaysia. Kandungannya merangkumi perjalanan hidup beliau sebagai sasterawan, idea tentang sastera kebangsaan, analisis karya-karyanya, dan ketokohannya sebagai sasterawan dan nasionalis.
Ditulis berdasarkan pengalaman penulis bersama Keris Mas dan kajian sumber yang teliti, karya ini memenuhi ciri-ciri sebuah biografi dari segi struktur dan format penulisan yang lengkap. Pembaca akan dapat memahami sumbangan besar Keris Mas dalam bidang sastera dan peranannya sebagai tokoh nasionalis, sekali gus menelusuri cabaran dan pengalaman yang membentuk keperibadian dan kerjaya.
Kekuatan buku ini juga terletak pada idea tentang sastera kebangsaan oleh Keris Mas yang mencerminkan semangat nasionalisme dan keprihatinannya terhadap pembinaan identiti budaya Malaysia. Terdapat perbincangan mendalam diberikan terhadap karya-karya penting seperti Rimba Harapan, Pahlawan Rimba, dan Anak Titiwangsa yang menonjolkan tema nasionalisme dan kritikan sosial. Pengarang berjaya menyerlahkan ketokohan yang menekankan peranan Keris Mas sebagai intelektual dan nasionalis yang aktif dalam pembangunan negara bangsa. Penulis sebagai yang teliti dan memasukkan teks ucapan syarahan perdana, senarai karya beliau dan sumber-sumber rujukan yang digunakan oleh penulis dalam menghasilkan biografi ini.
Buku ini juga dilengkapi dengan foto-foto berkaitan, yang menambah nilai visual dan autentik pada naratif. Penulisan biografi ini berdasarkan pengalaman ikut serta penulis bersama Keris Mas dan kajian sumber yang teliti, menjadikannya sebuah karya yang lengkap dari segi struktur dan format.
Pengarang buku ini berjaya menyusun biografi ini dengan penelitian yang terperinci. Aspek ini menepati sebagai sebuah buku biografi dari segi struktur penulisannya, mempunyai format yang lengkap serta bibliografi. Buku ini bukan sekadar mengisahkan kehidupan peribadi Keris Mas, tetapi juga mengupas latar belakang sejarah, sosial dan politik yang mempengaruhi karya-karyanya.
Penulis menggunakan pelbagai sumber primer dan sekunder, termasuk dokumen peribadi, wawancara dan karya-karya Keris Mas sendiri untuk membina naratif yang kaya dan autentik. Hal ini menjadikan buku ini sebagai rujukan yang mempunyai kredibiliti dan berwibawa. Gaya penulisan biografi ini jelas, lancar dan berjaya menggabungkan fakta sejarah dengan naratif yang menarik, menjadikan buku ini tidak hanya informatif tetapi juga membawa unsur intelektual kepada pembaca.
Penekanan pada sumbangan Keris Mas dalam sastera dan masyarakat, tidak hanya fokus pada kehidupan peribadi beliau, tetapi juga menonjolkan sumbangannya dalam dunia sastera dan peranannya sebagai intelektual yang aktif dalam pembangunan negara bangsa. Penulis berjaya menyerlahkan semangat, kekuatan naratif, aspek nilai budaya, sosial dan sejarah yang menjadikan buku ini relevan bukan sahaja untuk peminat sastera, tetapi juga untuk mereka yang berminat dengan sejarah dan pembangunan negara.
Kelebihan penulisan ini juga terletak pada kejayaan meletakkan kehidupan dan karya Keris Mas dalam konteks sejarah dan budaya Malaysia. Penulis menjelaskan kaitan peristiwa-peristiwa penting seperti zaman penjajahan, kemerdekaan dan pembentukan negara bangsa mempengaruhi pemikiran dan penulisan pengarang. Aspek ini membantu pembaca memahami bukan sahaja Keris Mas sebagai individu, tetapi juga peranannya dalam arus besar sejarah sastera dan politik Malaysia.
KATEGORI B: ESEI/KRITIKAN SASTERA (MAKALAH SEPARA ILMIAH) ECERAN
Bagi kategori ini, panel akhir menerima sebanyak 17 buah esei, iaitu:
ULASAN PEMENANG ESEI/KRITIKAN SASTERA (MAKALAH SEPARA ILMIAH) ECERAN
Esei ini mewacanakan tentang kerancuan dalam Gagasan Persuratan Baru yang dikemukakan secara kritis dan analitis. Melalui tiga siri esei yang berkesinambungan, esei ini membahaskan prinsip-prinsip dalam Gagasan Persuratan Baru secara teliti dan mendalam. Hujah-hujah dikemukakan sebagai bukti bagi memperlihatkan aspek kerancuan yang menjadi fokus dalam pembicaraan. Kekritisan esei ini diperlihatkan melalui pembuktian yang menunjukkan bahawa Gagasan Persuratan Baru mengemukakan pendefinisian dan pengkategorian pengkaryaan yang tempang kerana kegagalan penggagas memberikan definisi yang seimbang dan mendalam apabila meletakkan makna kulli terhadap istilah kesusasteraan dan persuratan. Esei ini juga mengkritik Gagasan Persuratan Baru yang hanya menumpukan kritikannya terhadap Panel Anugerah Sastera Negara dan menjadikannya sebagai autoriti yang menentukan dinamika kesusasteraan tanah air. Hujah lain yang dikemukakan bagi membuktikan kerancuan adalah tentang kejanggalan pemilihan teks-teks cadangan dalam Gagasan Persuratan Baru yang menamakan karya-karya hikayat tidak bermoral dan tidak beragama sebagai contoh genre sastera Islam. Melalui esei ini, penulis didapati memiliki keberanian dan keyakinan untuk mengkritik sebuah gagasan teori dan untuk berbeza ufuk pandang dalam mengemukakan perspektif yang lebih segar. Esei ini juga membuka pintu pemahaman baharu yang lebih luas terhadap gagasan yang tidak banyak dibincangkan sebelumnya.
2. “Kritikan Sastera Melayu Meniti di Atas Titian Lesu” (Mana Sikana)
Esei ini membicarakan tentang kelesuan kritikan sastera Melayu pada era mutakhir. Esei membincangkan isu-isu kemerosotan jumlah pengkritik yang menceburi genre kritikan sastera. Pendekatan Sejarah digunakan bagaimana sejak awal perkembangan kritikan sastera yang muncul bersama perkembangan akhbar dan majalah. Malahan keterampilan tulisan pensyarah-pensyarah universiti yang sebelum ini gigih membicarakan karya-karya sastera Melayu mulai lesu. Hujah dikemukakan berkenaan sejak akhir-akhir ini, dunia kritikan sastera lesu kerana fakta perkembangan di universiti yang lebih menekankan tulisan akademik untuk sasaran kerja tahunan masing-masing. Selain membuktikan fakta dan sejarah, esei ini turut membuat tinjauan pembaca tentang perkembangan kritikan sastera serta memberikan cadangan bagi meningkatkan aktiviti kritikan sastera. Antara yang dicadangkan termasuklah mempergiatkan lagi aktiviti penganjuran wacana dan diskusi sastera, mewujudkan kembali Bahagian Teori dan Kritikan Sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka, serta menyediakan prasarana secara sistematik dalam pembentukan bakat pengkritik sastera.
3. “Tradisi dan Pengalaman Kepengarangan Islam sebagai Teras Pemikiran dan Pengucapan Penulis Mutakhir” (Saifullizan Yahaya)
Esei ini membincangkan tentang kepentingan sastera Islam dan hubungannya dengan pemikiran penulis-penulis tempatan. Secara konseptual dibincangkan pandangan Syed Muhammad Naquib al-Attas, Braginsky dan beberapa orang sarjana lain yang mempertahankan latar hubungan sejarah bangsa Melayu dan fitrah diri beragama. Perbahasan proses kreatif penulis-penulis Melayu dengan tahap agnetif dan tahap reseptif dihuraikan sebagai satu proses kreatif kepengarangan Islam. Secara tidak langsung dibuktikan bahawa karya sastera pada abad ke-16 dan ke-17 ialah penanda aras kecemerlangan karya sastera Melayu yang menjadikan Islam sebagai teras pemikiran dan pengucapan jati diri pengarang. Konsep “Sedar Diri” dan sastera Islam diketengahkan untuk menunjukkan supaya pengarang-pengarang mutakhir boleh menimbangkan untuk berubah setelah pemikiran Barat menghambat akal dan pemikiran mereka dalam proses kreatif sebelum ini.
4. “Strategi Naratif dalam Novel Sejarah: Menjalin Fakta dengan Fiksyen” (Mohamed Nazreen Shahul Hamid)
Esei ini membincangkan tentang konsep novel sejarah dari segi takrifan dan struktur yang membinanya. Konsep sastera sejarah yang berasaskan prinsip fakta dan fiksyen dihuraikan secara konseptual. Bagi membuktikan bagaimana karya sastera sejarah ditulis, esei ini selanjutnya menganalisis sebuah model novel sejarah berdasarkan novel berjudul Ratu-ratu Patani: Kisah Cinta dan Perang. Penganalisisan dan pembuktian serta contoh dihujahkan satu per satu mengikut prinsip-prinsip sebagai sebuah novel sejarah, iaitu meliputi pelaporan sejarah, pengolahan struktur naratif sastera, menggerakkan watak dan perwatakan secara “hidup”, menghidupkan suasana dan latar penceritaan, dan sudut pandangan pengarang yang mengetahui kehidupan watak dalam sejarah yang digabungjalinkan untuk kesan pembacaan khalayak menikmati tema-tema karya sejarah.
5. “Bimasakti Menari: Pertemuan Budaya Kreatif dengan Ilham dalam Penyeberangan Genre” (Mawar Safei)
Esei ini membicarakan aspek kreativiti dan keupayaan seseorang pengarang mengolah gagasan ideanya. Konsep kreativiti yang berasaskan fenomena penyeberangan genre dikemukakan melalui model novel Bimasakti Menari karya Sri Rahayu Mohd Yusop. Proses kreatif Sri Rahayu dikaitkan dengan prinsip intertekstualiti. Berdasarkan fakta sumber rujukan dan pembuktian rujuk silang terhadap pengakuan pengarang, esei ini berupaya menunjukkan mekanisme gagasan ilham pengarang novel diasaskan oleh rasa ingin tahu atau keterujaan terhadap sumber rujukannya. Konsep Penyeberangan Genre yang dijadikan asas perbincangan dalam tulisan esei ini bagi membahaskan strategi pengarang seperti Sri Rahayu memanfaatkan aspek hiburan, isu persekitaran dan alam kosmologi, serta gagasan motivasi digemblengkan bagi menghasilkan karya yang bermutu. Akhirnya, karya kreatif berupaya berfungsi sebagai ruang pemberitahuan, kesedaran dan keyakinan bagi pembaca sasaran memperoleh ilmu dan kebenaran.
KATEGORI B: ESEI/KRITIKAN SASTERA (MAKALAH ILMIAH) ECERAN
Bagi kategori ini, panel menerima sebanyak 11 buah esei, iaitu:
ULASAN PEMENANG ESEI/KRITIKAN SASTERA (MAKALAH ILMIAH) ECERAN
Esei ini menganalisis puisi Melayu tradisional, iaitu seloka sebagai subjek kajian dengan menumpukan kepada analisis tekstual dan kontekstual seloka sebagai sisipan dalam cerita jenaka Melayu. Data kajian ini menjadikan teks karya agung Cerita Jenaka Melayu (2007) terbitan Yayasan Karyawan sebagai sumber utama. Sebagai esei bersifat ilmiah, kajian dilakukan dengan menggunakan kaedah kualitatif dan pendekatan analisis kandungan. Tatacaranya adalah dengan mengenal pasti semua seloka dalam teks kajian dan seterusnya dianalisis berdasarkan pembahagian definisi, ciri dan sifat puisi Melayu tradisional yang dikemukakan oleh Mohd. Taib Osman dan Harun Mat Piah.
Hasil kajian terhadap 11 cerita jenaka Melayu menunjukkan bahawa terdapat kepelbagaian bentuk dan sifat seloka di dalamnya, sementara analisis aspek kontekstual memperlihatkan pemikiran teks sezaman dan konteks penggunaan masa kini dalam masyarakat. Esei ini juga menegaskan bahawa sebagai puisi sisipan yang digubah untuk menceriakan persembahan cerita jenaka, seloka diadun dengan tiga sifat utama, iaitu jenaka, sindiran dan pendidikan. Kajian juga mendapati bahawa kejenakaan dalam seloka terbit melalui tutur kata, pemikiran dan tindakan watak dalam sesebuah cerita yang bersifat cerdik, licik dan perlakuan tidak rasional.
Sebagai esei ilmiah, kajian ini bersifat objektif dan persembahannya berstruktur dan disusun menepati piawai penulisan makalah ilmiah, iaitu mengandungi sorotan kajian, kaedah kajian, dapatan kajian, kesimpulan dan disokong dengan bibliografi.
2. “Kesangsian terhadap Agama: Memetakan Wacana-wacana Barat yang Melingkari ‘Kemodenan’ Abdullah Munsyi” (Mohd Zariat Abdul Rani)
Esei ini menampilkan wacana tentang subjek kesangsian terhadap agama yang mempengaruhi wacana-wacana Barat dalam soal “kemodenan” Abdullah Munsyi. Melalui esei ini, penulis membahaskan secara kritis dan analitis terhadap soal perkembangan intelektual Barat yang menampilkan Abdullah Munsyi sebagai bapa sastera moden. Penulis memberikan hujah-hujah berbentuk kesangsian terhadap idea Barat tentang penokohan Abdullah Munsyi. Kesangsian tersebut dikemukakan berdasarkan beberapa idea penting berkait kemunculan wacana Barat seperti modenisme, yang seterusnya dipakai bagi tujuan memperakukan “kemodenan” Abdullah Munsyi. Perakuan Barat yang mengetepikan soal pegangan akidah Islam dan pandangan hidup Abdullah Munsyi yang berasaskan Islam dianggap semata-mata mengikut takrif pemodenan Barat. Hal ini menunjukkan kemerosotan nilai-nilai keagamaan dalam kebudayaan masyarakat Barat. Seterusnya perakuan Barat kepada Abdullah Munsyi telah memberikan implikasi yang besar terhadap sejarah dan kebudayaan Melayu.
Esei ini berusaha memetakan sekularisme dan modenisme sebagai antara wacana Barat yang mempengaruhi perakuan terhadap Abdullah Munsyi dan menuntut pemahaman yang komprehensif terhadap sejarah dan perkembangan intelektual di Barat. Wacana yang dikemukakan dalam tulisan ini membuka suatu pemahaman baharu terhadap isu dan subjek yang berkenaan. Esei ini dipersembahkan secara berstruktur dan tersusun mengikut standard penulisan ilmiah, iaitu bermula dengan penampilan abstrak, pendahuluan, permasalahan dan objektif kajian, pendekatan kajian, analisis dan perbincangan, kesimpulan dan rujukan.
3. “Kecenderungan Neurotisme melalui Karakteristik Emosional dalam Personaliti Watak Karya Kreatif” (Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin)
Esei ini membincangkan aspek kecenderungan neurotisme watak dalam novel popular, Andai Itu Takdirnya karya Siti Rosmizah Ismail dengan menggunakan teori “Big Five Personality” oleh McCrae dan Costa, serta Model Lima Bahagian oleh Padesky. Berdasarkan analisis terhadap watak dalam novel, didapati pembentukan personaliti watak dipengaruhi oleh ciri-ciri yang terdapat dalam Model Lima Bahagian, iaitu yang terdiri daripada persekitaran, pemikiran, rasa hati, tingkah laku dan tindak balas yang perlu diterapkan ke dalam watak-watak ciptaan pengarang. Esei ini menganalisis pembentukan personaliti watak dalam teks kajian dengan menggunakan Model Lima Bahagian yang dinyatakan.
Kajian ini merumuskan bahawa personaliti perwatakan dipengaruhi oleh situasi persekitaran yang dilalui oleh watak. Situasi dan persekitaran membantu memberikan kefahaman kepada pembaca untuk membayangkan apa-apa yang dilalui oleh watak dalam penceritaan. Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa penerapan emosi dalam pembentukan personaliti perwatakan membantu pembinaan plot cerita dan menimbulkan kesan lebih menarik dan dramatik kepada pembaca. Kajian ini merumuskan bahawa emosi, personaliti dalam pembinaan watak dan perwatakan merupakan ciri penting dalam sesebuah penceritaan. Esei ini memberikan panduan kepada pengarang dalam membangunkan watak dan perwatakan seiring dengan personaliti bagi menghasilkan karya bermutu.
Penyampaian esei ini secara berstruktur mengikut standard penulisan ilmiah, iaitu bermula dengan abstrak dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pengenalan, metodologi kajian, analisis dan dapatan kajian, kesimpulan dan rujukan.
PENUTUP
Umumnya, karya-karya yang dipilih sebagai pemenang ialah karya yang menunjukkan keupayaan mengemukakan topik yang relevan dengan perkembangan sastera mutakhir serta topik yang jarang-jarang diperkatakan. Di samping itu, sebahagian daripada karya yang lain, walaupun membincangkan topik yang tradisional, tetapi masih relevan dengan perkembangan sastera masa kini.
PANEL PENILAI
Profesor Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi
Profesor Dr. Hashim Ismail
Dr. Norhayati Ab. Rahman

Baca Laporan Berkaitan |
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Utama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Novel)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Cerpen Remaja Eceran)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Puisi)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Drama)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Kanak-kanak)
Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 (Kesusasteraan Remaja)
_________________________
Laporan ini disediakan oleh sekretariat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022 di bawah penyelenggaraan Bahagian Promosi dan Pengiktirafan Dewan Bahasa dan Pustaka.