1 November 2022, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gelugor – Pementasan Teater Musafir yang diadaptasi daripada novel Musafir karya Hasan Ali dipentaskan selama tiga hari bermula dari 28 hingga 30 Oktober 2022 di Panggung Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni (PPS), Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini mendapat tajaan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), USM, Dewan Budaya USM dan Persatuan Seni Kreatif Budaya Warisan Estetika Pulau Pinang (SEKENET).

Para pelakon teater.

Teater ini mendapat sentuhan pengarahan daripada Dr.  Azrul Azizi Amirrul dan skripnya ditulis oleh Siti Fatimah Abdul Manaf. Antara pelakonnya termasuklah Norhelmi Othman, Emanual anak Adrian, Nor Zulaikha Abu Hasan, Yuslina Mohd Yusof, Daphne Fang May Chi dan Muhammad Azhahar Omar.

Pementasan teater Musafir tersebut memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa kebebasan dan kemerdekaan yang dikecapi dalam hidup seharusnya tidak dipersia-siakan. Kesenangan hidup yang diperoleh daripada kemerdekaan itu bukan alasan untuk lupa diri dan lupa erti perjuangan hingga mengakibatkan terjadinya malapetaka atau musibah kepada diri sendiri dan negara. Demikianlah yang terjadi kepada watak Leman, seorang mualaf dalam pementasan teater Musafir tersebut.

Teater Musafir tersebut menceritakan tentang pengembaraan dan pengalaman perjalanan hidup seorang mualaf yang bermusafir dari satu tempat ke satu tempat dengan pelbagai konflik dalam hidupnya. Musafir juga mengemukakan beberapa masalah dalam masyarakat setempat yang berlaku di sekeliling kehidupan Leman.

Pementasan ini diadakan bersempena dengan Pesta Teater USM 2022 dan dimeriahkan dengan kehadiran Dekan dan Timbalan Dekan PPS, USM serta Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mohamed Ghouse Nasuruddin.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.