11 Mei 2024, 17:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Perbandingan dan perkongsian sosiobudaya, bahasa dan sastera antara Malaysia dengan China mengukuhkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara itu.

Hal itu tercapai melalui Persidangan Antarabangsa Sosiobudaya Malaysia-China 2024 (PERSONAMA) sempena Sambutan Ulang Tahun ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China yang bertempat di Hotel Amari Spice, Pulau Pinang, semalam.

PERSONAMA secara khususnya memberikan peluang kepada penyelidik dari China dan Malaysia untuk berkongsi pandangan, idea dan penyelidikan dalam mengembangkan bahasa Melayu di China.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan lima kertas pembentangan, dengan pembentangan pertama oleh Dr. Ku Boon Dar dari Universiti Sains Malaysia (USM) dengan tajuk “Menelusuri Dinamika Hubungan Malaysia-China Lima Dekad (1974-2024): Cabaran dan Peluang”.

Prof. Madya Dr. Zhang Jingling (Communication University of China) pula membentangkan tajuk “Pertandingan Ciri-ciri Masyarakat di China dan Malaysia”.

Seterusnya, pada sesi petang, Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz (Universiti Putra Malaysia) mengupas tajuk “Kata Pinjaman Cina dalam Bahasa Melayu Berdasarkan Aspek Fonologi dan Ortografi”.

Prof. Dr. Su Yingying (Beijing Foreign Studies University, BFSU) pula membentangkan tajuk “Pengenalan Terjemahan Karya Klasik China dan Penyebaran Opera Tradisional China di Malaysia Sepanjang Abad Ke-20”.

Pembentangan terakhir oleh Prof. Dr. Tan Xiao dari Guangdong University of Foreign Studies dengan tajuk “Pengharmonian Budaya antara Puisi Tradisional China dengan Pantun”.

Prof. Dr. Habibah A. Wahab menyampaikan ucapan perasmiannya semalam.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Prof. Dr. Habibah A. Wahab, mewakili Naib Canselor USM dalam ucapan perasmiannya berkata, Malaysia dan China telah menjalinkan hubungan diplomatik pada 13 Mei 1974 dan sejak itu, hubungan Malaysia-China bertambah kukuh dengan pelibatan pelbagai pihak.

“Kini di negara China, terdapat 17 buah institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian Bahasa Melayu pelbagai peringkat yang berfokuskan pengajaran bahasa, persuratan Melayu, kebudayaan Melayu dan kemasyarakatan Melayu,” tambahnya.

Prof. Habibah turut melancarkan empat buah buku terbitan USM, iaitu Pengajian dan Pembelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan Pelajar Cina, Perbandingan Tatabahasa dan Peribahasa Cina-Melayu, Sejarah dan Sosiobudaya Malaysia-China, dan Spektrum Sejarah Bahasa China-Bahasa Melayu.

Persidangan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan USM dan BFSU ini turut dihadiri oleh Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Timbalan Konsul Jeneral; Pejabat Konsulat China di Pulau Pinang, Dato’ GS. Dr. Narimah Samat; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Roziah Md Yunus; Dekan Pusat Ilmu Kemanusiaan USM, Prof. Madya Dr. Jasni Sulong; dan Dekan Pusat Pengajian Asia BFSU, Prof. Dr. Su Yingying.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.