Diterbitkan pada 17 Julai 2026, 11:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis wanita dari negara ASEAN, China termasuk Hong Kong dan Taiwan dipelawa mengemukakan karya bagi menyertai Anugerah Sastera Wanita Antarabangsa Chommanard (Chommanard International Women’s Literary Award) 2026, dengan penyertaan dibuka sehingga 30 Ogos ini.

Berdasarkan maklumat yang disiarkan di laman sesawang rasmi anugerah itu, https://virf.io/chommanard/faq/index, karya yang dipertandingkan mestilah sebuah novel fiksyen yang ditulis dalam mana-mana bahasa kebangsaan dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris, sama ada sebagai karya asal atau terjemahan rasmi, di antara tahun 2020 hingga 2026.

Selain itu, karya hendaklah diterbitkan oleh penerbit yang bereputasi di rantau Asia Pasifik atau negara berbahasa Inggeris, mempunyai nombor ISBN serta diedarkan melalui saluran rasmi.

“Penulis yang layak menyertai pertandingan ini mestilah wanita yang mempunyai kewarganegaraan atau taraf pemastautin tetap di negara anggota ASEAN, China termasuk Hong Kong dan Taiwan, selain masih hidup sepanjang tempoh penjurian berlangsung.

“Penganjur turut membenarkan karya yang pernah tersenarai dalam Senarai Panjang atau pernah dinilai tetapi tidak dipilih ke Senarai Pendek atau Hadiah Utama untuk dihantar semula, dengan syarat karya berkenaan tidak pernah memenangi Anugerah Senarai Pendek, Anugerah Negara atau Hadiah Utama dalam edisi terdahulu,” katanya.

Setiap karya yang dihantar mestilah asli, bukan hasil plagiat, tidak dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI) atau berasaskan kandungan sedia ada, selain perlu disertakan surat akuan keaslian yang ditandatangani oleh penulis.

Bagi edisi 2026, penganjur menawarkan Hadiah Utama berupa wang tunai 500,000 THB kepada penulis wanita terbaik keseluruhan.

Selain itu, Anugerah Pemenang Negara (Country Winner Awards) bernilai 40,000 THB turut disediakan kepada seorang penulis bagi setiap negara yang layak, tertakluk pada keputusan panel juri bahawa karya berkenaan memenuhi standard yang ditetapkan.

Syarat penyertaan dan borang permohonan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi Anugerah Sastera Wanita Antarabangsa Chommanard.

Anugerah yang ditaja oleh Bangkok Bank ini diadakan bertujuan mengiktiraf kecemerlangan penulis wanita menerusi karya yang mempunyai nilai budaya, impak sosial dan mutu sastera yang tinggi.

Diasaskan lebih sedekad lalu bagi menghargai penulis wanita Thailand, anugerah berkenaan kini diperluaskan sebagai platform sastera peringkat serantau membabitkan negara ASEAN, China, Hong Kong, dan Taiwan.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi