Diterbitkan pada 9 Disember 2025, 14:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sastera dalam konteks diplomasi merupakan suatu wahana yang signifikan dalam menghubungkan negara-negara serumpun, sekali gus memantapkan lagi kesefahaman jalinan budaya serantau.

Mantan Profesor Madya di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Dr. Norhayati Ab. Rahman berkata, diplomasi sastera merujuk suatu amalan seni untuk menguruskan hubungan antarabangsa dalam konteks serantau dalam kalangan negara-negara serumpun.

“Hal demikian boleh dilaksanakan melalui pelbagai kaedah seperti dialog, rundingan pertemuan dan sebagainya, tanpa menggunakan sebarang bentuk kekerasan kerana sifat diplomasi itu sendiri tidak ada bentuk kekerasan.

“Dengan kata lain, diplomasi ialah urusan yang lebih beradab bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan kekal terpelihara dalam konteks keserumpunan, khususnya antara negara-negara anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Forum Serumpun Sebudaya: Perkongsian Nilai dalam Pengukuhan Solidariti Serantau yang diadakan di Dewan Usman Awang Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), pada 6 Disember 2025 lalu.

Forum yang dikendalikan oleh pengarang dan penyair, Sdr. Nazmi Yaakub itu menampilkan lima ahli panel mewakili negara serumpun yang terdiri daripada Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Thailand, dan Indonesia.

Menurut Norhayati, diplomasi sastera sebenarnya terbentuk melalui solidariti para aktivis seni tersebut sendiri dalam mengangkat kreativiti serantau, di samping memperkukuh jaringan budaya yang telah wujud sejak sekian lama.

“Ini yang kita sebut sebagai diplomasi sastera. Jadi dalam konteks ini, kita bukan sekadar berkarya, merakam tradisi, akal budi, peradaban masyarakat, tetapi juga memfokuskan kebersamaan dalam konteks negara serumpun,” katanya.

Sementara itu, ahli panel dari Brunei, Tuan Haji Awang Suip Haji Abdul Wahab, menyifatkan solidariti serantau sangat penting dalam era globalisasi hari ini yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan tekanan.

“Penting kerana kita hidup dalam satu rantau yang berkongsi sejarah dan akar budaya yang sama melalui bahasa Melayu. Justeru, solidariti serantau melalui bahasa dan budaya bukan lagi pilihan tetapi keperluan,” jelasnya.

Kredit Foto: Bahagian Multimedia DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi