Diterbitkan pada 23 April 2026, 08:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sistem pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam mendekatkan sastera kepada khalayak, agar warisan seni tersebut kekal lestari dan dihargai oleh generasi akan datang.

YBrs. Dr. Norhayati Ab. Rahman berkata, pendekatan atau usaha tersebut seharusnya dilaksanakan secara menyeluruh bermula dari peringkat awal persekolahan sehingga peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini.

Menurut beliau, hal demikian bukan sahaja memberikan impak positif dari sudut untuk memartabatkan sastera dan bahasa, sebaliknya memperkukuh jati diri pelajar dan masyarakat melalui pendidikan.

“Pemupukan minat terhadap sastera harus dilaksanakan dalam sistem pendidikan bermula pada peringkat sekolah rendah lagi agar generasi muda lebih memahami, seterusnya menghargai nilai warisan kesusasteraan negara.

“Pada peringkat sekolah misalnya, bukan sahaja memperkenalkan subjek Sastera, tetapi (memperkenalkan) karya-karya yang besar dan tokoh-tokoh sasterawan di negara ini khususnya,” katanya semasa menjadi ahli panel forum Anugerah Sastera Negara: Keunggulan dan Transformasi.

Forum dikendalikan oleh editor Tunas Cipta, Sdr. Ahmad Sayuti Mohd. Yusob dan disiarkan menerusi media sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), baru-baru ini.

Norhayati berkata, pendedahan awal mampu membentuk daya fikir kritis dalam kalangan pelajar, selain membantu mereka memahami konteks seni dan budaya masyarakat secara lebih efektif.

Beliau berkata, tradisi warisan yang diwarisi dalam bidang kesusasteraan harus menjadi satu legasi yang boleh dibawa kepada generasi hadapan, sekali gus memastikan sastera kekal relevan sepanjang zaman.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar institusi pengajian tinggi wajar memasukkan sukatan pelajaran Kesusasteraan sebagai kursus teras yang perlu diambil oleh setiap pelajar sebelum mereka membuat pengkhususan dalam bidang tertentu.

“Ini satu kaedah yang sangat berkesan dan bukan sesuatu yang janggal kerana sistem ini dilaksanakan secara bersepadu di universiti-universiti di luar negara.

“Di sana, semua pelajar yang masuk universiti, tidak kira jurusan apa, mereka terlebih dahulu diberi kuliah umum, termasuklah kuliah Kesusasteraan sebagai pendedahan asas,” katanya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi