Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuhammad Lutfi Ishak merenungi maksud sebenar perayaan Hari Guru dan mengapa puisinya, “Debu Galaksi” dihasilkan.
Iqbal sudi menerimanya tetapi dengan satu syarat, iaitu bekas gurunya, Maulvi Mir Hasan terlebih dahulu diberikan penghormatan.
Ada satu kata-kata hikmah yang mengusulkan empat syarat kejayaan, iaitu masa, berakal, mempunyai keinginan dan usaha. Lumrahnya, kebanyakan manusia pasti memenuhi tiga syarat terawal. Siapakah di dunia ini yang tidak memiliki 24 jam sehari? Begitu juga dengan syarat kedua. Hanya dengan sebab berakal barulah seseorang itu memiliki keinginan. Namun, tidak ramai yang memenuhi syarat keempat. Sebab itulah, syarat keempat adalah suatu kelebihan yang utama.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, empat syarat tersebut bolehlah kita golongkan sebagai sebab dalaman. Maksudnya, sebab-sebab itu wajib ada pada diri seseorang. Di sinilah timbul satu soalan menarik. Apakah pula sebab luarannya? Maksudnya sesuatu yang berada di luar kawalan diri seseorang. Dalam konteks inilah, salah satu sebab yang sering kita temui dalam kisah insan yang berjaya ialah kehadiran guru yang ikhlas dan berwibawa. Jika usaha adalah suatu kelebihan dalaman yang utama, maka, guru yang berwibawa adalah suatu kelebihan luaran yang amat penting. Sebab itulah, insan berjaya yang menyedarinya pasti tidak melupakan jasa guru-guru yang berwibawa, termasuk dalam konteks ini, penyair besar Muhammad Iqbal.
Iqbal dianugerahkan gelaran “Sir” oleh Kerajaan British pada 1 Januari 1923. Penghormatan yang disempurnakan di pemakaman Nizamuddin Auliya itu mempunyai kisahnya yang tersendiri. Malah, peristiwa tersebut mungkin tidak akan tercatat dalam sejarah jika bukan kerana kunjungan seorang wartawan London Times ke India.
Dalam kunjungannya ke India, wartawan itu memohon Gabenor Punjab, Sir Edward Mclegon mengaturkan pertemuan dengan Iqbal. Ketokohan Iqbal sebagai intelektual dan penyair besar memang berada dalam pengetahuannya. Mereka dipertemukan di Rumah Tamu Kerajaan British. Dalam sela-sela pembicaraan mereka tentang isu-isu pemikiran, sastera dan falsafah itulah sang wartawan mendapat tahu bahawa Iqbal belum lagi diberikan sebarang penghormatan kerajaan. Hal ini amat mengejutkannya. Mengapakah tokoh sebesar Iqbal tidak mendapat pengiktirafan sesuai dengan sumbangannya? Rasa terkejutnya itu diluahkan kemudian kepada Gabenor. Sir Edward Mclegon mengaku telah “terlepas pandang”. Menyedari kekhilafannya, Gabenor Punjab mengusulkan Iqbal diberikan anugerah “Sir”.
Usul itu turut dibawa ke dalam pengetahuan Iqbal. Iqbal sudi menerimanya tetapi dengan satu syarat, iaitu bekas gurunya, Maulvi Mir Hasan terlebih dahulu diberikan penghormatan. Walau bagaimanapun, sepanjang hidupnya, Maulvi Mir Hasan tidak pernah menghasilkan suatu karya utuh. Justeru, Gabenor mempertanyakan merit Mir Hassan. Jawab Iqbal, “Sayalah salah satu karya agungnya!” Syarat Iqbal itu dipenuhi British. Sebelum menganugerahkan gelaran “Sir” untuk Iqbal, Kerajaan British terlebih dahulu memberikan penghormatan kepada Maulvi Mir Hasan dengan gelaran Shams-ul-Ulama (Matahari Para Ulama).
Sekitar dua tahun lepas, lebih tepat lagi pada Mei 2023, puisi “Debu Galaksi” telah disiarkan oleh Sdr. Kadir di Dewan Masyarakat. Sajak tersebut secara khusus ada latar peristiwanya.
Hikmah dan keberanian yang menjadi punca kepada kebijaksanaan dalam sesuatu tulisan, adalah hasil suatu bentuk pendidikan. Dan pendidikan sentiasa mewajibkan kehadiran guru yang berwibawa.
Beberapa bulan sebelum itu, seorang sahabat sejawatan menghantar suatu mesej. Beliau mengkhabarkan secara kebetulan bertemu dan berbual dengan seorang penulis. Hasil perbualan tersebut, sahabat saya pun mengulang kembali beberapa saranan penulis itu. Antaranya termasuk keperluan membaca sebanyak-banyak bahan bacaan selain membina sikap kritis terhadap semua persoalan. Setelah itu, sahabat saya pun menyebutkan nama penulis tersebut dan bertanyakan tentang tulisan-tulisannya.
Saya mengakui pernah membaca beberapa tulisan individu yang disebutkannya. Namun, secara peribadi, saya kurang tertarik dengan karangan penulis tersebut atas beberapa alasan. Sebab itulah saya mengelak daripada memberikan pendapat yang khusus. Sebaliknya, saya menarik perbincangan kepada pegangan peribadi saya dalam membaca. Dari awal lagi, tujuan utama pembacaan esei saya adalah untuk memahami isi hati dan fikiran penulis. Jadi, tulisan yang banyak bermain dengan bahasa, sebaik-baiknya dielakkan. Berlebih-lebih dalam bermain bahasa akan menghalang tujuan tersebut.
Dalam masa yang sama, yang dicari dalam sesuatu karangan ialah insight atau kedalaman. Kedalaman ialah suatu keistimewaan yang datang daripada hikmah dan keberanian. Apabila keistimewaan itu luput, biasanya hal tersebut berpunca daripada sikap penulis yang terlalu berdiplomasi, keinginan untuk mengelak konflik, mahu memuaskan hati semua pihak atau sebab-sebab yang lain lagi, seperti kurang jelas tentang perkara yang dibincangkan. Namun akibatnya pada karangan yang dihasilkan tetap sama, iaitu cuma pemaparan. Untuk mengelakkan pemaparan yang kering, maka, di situlah wujudnya keperluan mengoles karangan dengan suatu bentuk permainan bahasa yang pada hakikatnya tidak begitu diperlukan.
Memang, setiap orang pasti bermula daripada suatu titik. Dan bukanlah pelik kita melakukan banyak kesilapan. Malah, kesilapan-kesilapan tersebut, termasuk saya, banyak dilakukan. Ada suatu fasa dalam kehidupan banyak penulis yang membaca atau masuk ke dalam perbincangan, sekadar untuk mencari perbezaan pendapat dan berlagak kritikal. Padahal, pendapat yang berbeza, belum tentu memiliki hal yang paling utama, iaitu kebenaran. Sikap seperti itu akan dapat diatasi apabila ada bimbingan dan campur tangan daripada guru yang berwibawa. Sebab itulah, ada keperluan untuk semua insan, termasuk penulis mempunyai anutan dan guru. Hal ini kerana, hikmah dan keberanian yang menjadi punca kepada kebijaksanaan dalam sesuatu tulisan, adalah hasil suatu bentuk pendidikan. Dan pendidikan sentiasa mewajibkan kehadiran guru yang berwibawa.
Balas-membalas mesej antara sahabat saya itu berlangsung agak lama juga. Hingga ke akhir, saya mengelak daripada membuat hukuman yang langsung kepada tulisan penulis yang beliau maksudkan. Namun, memikirkan sahabat sejawatan saya itu seorang pembaca yang kasual, dalam erti kata hanya membaca ketika mempunyai waktu, maka, atas nama persahabatan, wujud semacam satu keperluan untuk turut memberikan pendapat umum. Moga-moga dengan pendapat tersebut, arah pembacaannya akan lebih bermakna.
Beberapa hari selepas perbualan maya itu, saya membaca kembali mesej-mesej tersebut. Ketika membicarakan kaitan tulisan yang mempunyai kedalaman dan keperluan guru yang berwibawa, saya menuliskan ungkapan “orang bodoh rasa bertuah kerana memiliki kepandaian/orang bijaksana rasa bertuah kerana memiliki guru”. Saya rasa itu bukan sahaja inti pati pada keseluruhan pembicaraan, malah ada kekuatan yang tersendiri. Hal itulah yang kemudiannya menggerakkan saya menghasilkan suatu puisi dan kemudiannya menjadikan ungkapan tersebut sebagai sebahagian daripada rangkap kedua “Debu Galaksi”.
Wallahualam …

_________________________
Muhammad Lutfi Ishak atau Lutfi Ishak dilahirkan di Kedah pada 27 Januari 1980. Selain mengarang puisi, beliau juga menulis cerpen dan esei. Buku karangan beliau ialah kumpulan puisi Kafe (2010), Dondang Pembukaan (2015), Senandika: Nyanyi Sunyi Sepanjang Jalan (2018), dan kumpulan cerpen Cerita Malam Pertama (2011). Dalam ruangan kolum ini, Muhammad Lutfi melihat sastera melangkaui novel, cerpen dan puisi. Baginya, apa-apa sahaja yang membicarakan pengalaman insan dengan pengantara bahasa yang elok dan indah sebagai sastera. Beliau kini menetap di Shah Alam, Selangor Darul Ehsan. Beliau ialah Sasterawan Muda MASTERA 2023.