Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 08:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Prof. Madya Dr. Nasirin Abdillah memberikan pandangannya terhadap hala tuju pendidikan tinggi Malaysia untuk jangka masa sedekad dalam skop kefahaman kesusasteraan.

Sebagai pensyarah, saya sering mendapati bahawa pelajar yang terdedah kepada pembacaan sastera yang serius bukan sahaja menjadi lebih mahir berbahasa atau lebih sensitif terhadap estetika, tetapi juga lebih selesa dengan ambiguiti, lebih berani menghadapi ketidakpastian, dan lebih reflektif terhadap implikasi moral tindakan manusia.

Sebagai seorang pensyarah dalam bidang sastera dan penulisan, membaca Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026 – 2035 menimbulkan perasaan yang bercampur baur. Di satu pihak, RPTM memperlihatkan kematangan wacana dasar negara tentang pendidikan tinggi, dengan penekanan terhadap nilai kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemampanan, pembinaan negara, dan kesiapsiagaan masa hadapan. Bahasa yang digunakan progresif, humanistik dan selari dengan wacana pendidikan global kontemporari. Namun, di pihak yang lain, saya tidak dapat mengelak daripada merasakan bahawa sastera sebagai disiplin ilmu, sebagai medan pedagogi, dan sebagai wahana pembinaan insan masih berada dalam kedudukan yang kabur, pinggiran dan tidak benar-benar diambil serius dalam pelaksanaan strategi sistem pendidikan tinggi.

Saya berhujah bahawa jurang ini bukan sekadar masalah representasi simbolik, tetapi mempunyai implikasi epistemologi, pedagogi dan institusional terhadap hala tuju pendidikan tinggi Malaysia. Jika RPTM benar-benar berhasrat melahirkan bakat yang “berpaksikan kemanusiaan, menghayati nilai dan siap siaga masa hadapan”, maka sastera perlu ditempatkan bukan sebagai pelengkap estetika atau unsur sokongan budaya, tetapi sebagai infrastruktur intelektual dan etika yang teras pada pembentukan insan universiti. Tanpa penegasan yang lebih jelas dan strategi yang lebih konkrit terhadap kedudukan sastera, aspirasi besar RPTM berisiko menjadi slogan normatif yang indah, tetapi rapuh dari segi pelaksanaan.

Daripada Wacana Nilai kepada Infrastruktur Pedagogi: Masalah Representasi Sastera dalam RPTM

Salah satu ciri paling menonjol dalam RPTM ialah peralihan wacana daripada pendidikan sebagai pengeluaran graduan kepada pendidikan sebagai pembentukan bakat berpaksikan kemanusiaan. Ringkasan Eksekutif RTPM yang baru dikeluarkan sarat dengan istilah seperti “nilai”, “empati”, “kesejahteraan holistik”, “pembina negara”, “jati diri nasional”, dan “kemampanan”. Dari sudut diskursif, hal ini merupakan perkembangan yang menggalakkan. Hal ini menandakan kesedaran bahawa pendidikan tinggi tidak boleh terus difahami dalam kerangka utilitarian sempit yang menilai kejayaan semata-mata melalui kebolehpasaran, kebolehupayaan teknikal dan sumbangan ekonomi.

Namun begitu, sebagai seorang pensyarah yang bergelumang dengan realiti kurikulum, penilaian, KPI, akreditasi, dan budaya universiti, saya melihat satu jurang ketara antara bahasa nilai yang normatif dalam pelaksanaan dasar dengan infrastruktur pedagogi yang konkrit untuk merealisasikan nilai tersebut. RPTM banyak berbicara tentang apa yang ingin dicapai, tetapi jauh lebih kabur tentang bagaimana nilai-nilai tersebut hendak diterjemahkan dalam bilik kuliah, kurikulum program, pedagogi disiplin, dan penilaian pembelajaran.

Di sinilah kedudukan sastera menjadi kritikal. Dalam tradisi pendidikan universiti, sastera dan kemanusiaan bukan sekadar disiplin khusus, tetapi merupakan medan epistemologi yang mengajarkan cara memahami makna, kompleksiti, konflik moral, subjektiviti manusia, dan ketegangan antara nilai. Dalam erti kata lain, sastera menyediakan bahasa dan struktur intelektual untuk membincangkan persoalan kemanusiaan yang abstrak dan tidak dapat dirumuskan sepenuhnya melalui statistik, model teknikal atau simulasi algoritma.

Namun dalam RPTM, sastera hampir tidak disebut secara eksplisit sebagai wahana utama pembinaan nilai tersebut. Ia muncul secara tidak langsung melalui konsep STEAM – kemanusiaan, budaya atau seni – tetapi tanpa kedudukan yang jelas sebagai teras kurikulum atau strategi pembangunan bakat. Akibatnya, sastera kekal sebagai disiplin pinggiran, terkurung dalam fakulti bahasa atau pengajian kemanusiaan tertentu, tanpa kehadiran sistemik dalam pengalaman pendidikan keseluruhan pelajar universiti.

Sebagai pensyarah, saya melihat implikasi praktikal daripada ketiadaan penegasan ini. Apabila sastera tidak disebut secara eksplisit, keadaannya tidak mudah diterjemahkan kepada peruntukan sumber, keutamaan institusi, struktur kurikulum, atau pengiktirafan kerjaya akademik. Kursus sastera sering dianggap sebagai “elektif lunak”, mudah digugurkan dalam semakan kurikulum, dan jarang-jarang dilihat sebagai komponen kritikal dalam pembangunan graduan bukan sastera. Dalam sistem yang semakin didorong oleh metrik kebolehpasaran, penerbitan berindeks, geran penyelidikan berimpak ekonomi dan kerjasama industri, sastera menjadi disiplin yang sukar mempertahankan kedudukannya, bukan kerana ia tidak relevan, tetapi kerana relevansinya sukar diterjemahkan ke dalam bahasa pengukuran teknokratik.

Sastera sebagai Infrastruktur Epistemologi Kemanusiaan

Dalam banyak perbincangan dasar pendidikan, sastera sering dirujuk sebagai “alat” untuk membina nilai atau “medium” untuk memupuk empati. Walaupun benar, gambaran ini sebenarnya terlalu sempit. Dari perspektif epistemologi, sastera bukan sekadar alat pedagogi, tetapi suatu cara mengetahui dunia yang tersendiri. Sastera tidak hanya menyampaikan maklumat tentang manusia, tetapi membentuk cara kita memahami pengalaman, konflik, penderitaan, harapan, dan makna hidup.

Sebagai pensyarah, saya sering mendapati bahawa pelajar yang terdedah kepada pembacaan sastera yang serius bukan sahaja menjadi lebih mahir berbahasa atau lebih sensitif terhadap estetika, tetapi juga lebih selesa dengan ambiguiti, lebih berani menghadapi ketidakpastian, dan lebih reflektif terhadap implikasi moral tindakan manusia. Mereka belajar bahawa dunia jarang menawarkan jawapan hitam-putih, bahawa kebenaran sering bersifat berlapis, dan bahawa memahami orang lain menuntut kesabaran, empati dan keupayaan mendengar suara yang berbeza daripada diri sendiri.

Inilah kompetensi epistemik yang amat diperlukan dalam dunia pascanormal yang digambarkan oleh RPTM sendiri, iaitu dunia yang dicirikan oleh kompleksiti, ketidakpastian, risiko global dan konflik nilai. Namun ironi yang ketara ialah, dalam usaha mempersiapkan graduan menghadapi dunia kompleks ini, pendidikan tinggi semakin didorong ke arah standardisasi hasil pembelajaran, modularisasi kemahiran, pengukuran impak segera dan kebolehpasaran jangka pendek. Proses ini, walaupun penting dari sudut tadbir urus dan akauntabiliti, sering menyempitkan ruang untuk pembelajaran reflektif, interpretatif dan dialogik yang menjadi teras pedagogi sastera.

Tanpa sastera, wacana tentang “nilai”, “empati” dan “kemanusiaan” dalam RPTM berisiko menjadi abstrak, normatif dan moralistik. Ia mudah diterjemahkan sebagai slogan atau objektif umum, tetapi sukar dioperasionalisasikan dalam pengalaman pembelajaran sebenar. Dengan sastera, nilai tidak diajarkan sebagai peraturan atau dogma, tetapi dialami sebagai konflik naratif, dilema etika, dan pergulatan manusia yang nyata. Pelajar tidak hanya diberitahu bahawa empati itu penting, tetapi diajak menghayati pengalaman orang lain melalui suara, watak dan cerita yang kompleks.

Sastera, Jati Diri Nasional dan Politik Kurikulum

Tanpa sastera tempatan, pembinaan jati diri nasional dalam pendidikan tinggi menjadi dangkal, simbolik dan tidak berakar dalam pengalaman budaya sebenar.

Pelan RPTM memberikan penekanan besar kepada pembinaan jati diri nasional, perpaduan dan identiti kebangsaan dalam konteks masyarakat majmuk dan globalisasi. Namun begitu, sebagai pensyarah yang terlibat secara langsung dalam pengajaran kesusasteraan, saya melihat satu ketegangan yang belum diselesaikan, iaitu antara aspirasi pembinaan identiti nasional dengan realiti kurikulum yang semakin global, teknokratik dan berorientasikan pasaran.

Dalam banyak universiti, kursus sastera tempatan, kesusasteraan Melayu tradisional, tradisi lisan etnik, atau teks Nusantara sering digantikan dengan kursus berorientasikan kemahiran bahasa, komunikasi profesional atau kandungan global yang dianggap lebih “marketable”. Walaupun pengantarabangsaan dan mobiliti akademik penting, pengurangan pendedahan terhadap sastera tempatan dan tradisi budaya sendiri menatijahkan implikasi epistemik. Hal ini melemahkan keupayaan pelajar memahami sejarah sosial, imaginasi kolektif dan struktur nilai masyarakat mereka sendiri.

Sebagai pensyarah, saya sering berdepan dengan pelajar yang mampu mengaplikasikan teori global, wacana pascamoden atau teks Barat kontemporari, tetapi kebanyakannya hampir tidak pernah membaca Hikayat Hang Tuah, Sulalat al-Salatin, puisi Usman Awang, novel A. Samad Said atau naratif masyarakat Orang Asli dan etnik Sabah Sarawak. Hal ini bukan sekadar masalah kandungan, tetapi masalah kesedaran budaya dan epistemologi. Tanpa sastera tempatan, pembinaan jati diri nasional dalam pendidikan tinggi menjadi dangkal, simbolik dan tidak berakar dalam pengalaman budaya sebenar.

RPTM menggariskan aspirasi melahirkan “pembina negara” yang menghargai warisan, nilai dan kepelbagaian Malaysia. Namun, tanpa meletakkan sastera tempatan sebagai teras kurikulum, aspirasi ini sukar direalisasikan. Jati diri tidak boleh dibentuk melalui deklarasi nilai semata-mata; ia memerlukan pendedahan berterusan kepada naratif, konflik, imaginasi, dan sejarah yang membentuk bangsa. Sastera merupakan arkib emosi dan imaginasi kolektif sesebuah masyarakat. Mengabaikannya bermakna mengabaikan salah satu sumber utama pembinaan kesedaran kebangsaan yang reflektif dan kritikal.

Sastera, Kesejahteraan dan Kesihatan Mental: Dimensi yang Tidak Dinamakan

Salah satu aspek paling progresif dalam RPTM ialah pengiktirafan terhadap kesihatan mental dan kesejahteraan sebagai cabaran utama pendidikan tinggi. Isu seperti tekanan akademik, ketidaktentuan kerjaya, perubahan sosial, dan gangguan teknologi memberi kesan terhadap keseimbangan emosi pelajar dan warga universiti. Namun, pendekatan yang dikemukakan cenderung bersifat struktural dan perkhidmatan, seperti penyediaan kaunseling, sokongan profesional dan pengurusan beban kerja.

Sebagai pensyarah, saya melihat satu dimensi kesejahteraan yang jarang-jarang diberi perhatian dalam dasar pendidikan, iaitu dimensi reflektif, naratif dan eksistensial. Dalam bilik kuliah sastera, pelajar sering berdepan dengan persoalan kehilangan, trauma, ketidakadilan, harapan, cinta, kegagalan, dan makna hidup. Walaupun tidak dirancang sebagai terapi, proses membaca dan membincangkan teks sastera membuka ruang selamat untuk pelajar menamakan emosi, menstrukturkan pengalaman dan memahami penderitaan sebagai sebahagian daripada pengalaman manusia yang lebih luas.

Dalam pengalaman pedagogi saya, pelajar yang bergelut dengan tekanan peribadi sering mendapati bahawa teks sastera memberikan bahasa untuk memahami apa yang mereka rasakan tetapi tidak mampu mengungkapkan secara langsung. Diskusi kelas menjadi ruang dialog yang bukan sahaja intelektual, tetapi juga eksistensial. Hal ini selaras dengan pendekatan kesejahteraan holistik yang ditekankan oleh RPTM, tetapi dimensi ini tidak pernah disebut secara eksplisit sebagai sumbangan sastera kepada ekosistem pendidikan tinggi.

Dengan tidak menamakan peranan sastera dalam kesejahteraan, dasar pendidikan tinggi kehilangan peluang untuk mengintegrasikan pendekatan humanistik yang murah, inklusif dan berimpak jangka panjang dalam menangani krisis kesihatan mental. Sastera bukan pengganti kepada perkhidmatan profesional, tetapi boleh menjadi lapisan awal sokongan emosi dan reflektif yang membina daya tahan dalaman pelajar.

Sastera dan Kebolehpasaran: Mengkritik Logik Instrumentalisme

Salah satu tekanan terbesar terhadap disiplin sastera dalam universiti ialah tuntutan kebolehpasaran. Dalam banyak perbincangan dasar dan institusi, nilai sesuatu program akademik sering diukur melalui kadar kebolehkerjaan graduan, pendapatan permulaan, kebolehan menjana dana industri, dan sumbangan langsung pada ekonomi. Dalam kerangka ini, sastera sering dilihat sebagai tidak produktif, terlalu abstrak dan kurang relevan dengan keperluan pasaran.

Namun begitu, sebagai pensyarah yang menjejaki laluan kerjaya graduan sastera, saya mendapati gambaran ini jauh daripada realiti. Graduan sastera bekerja dalam bidang pendidikan, komunikasi, media, diplomasi, pentadbiran awam, perkhidmatan sosial, industri kreatif, pembangunan komuniti, dan sektor korporat. Mereka bukan sahaja dinilai berdasarkan kemahiran teknikal, tetapi juga berkeupayaan menulis dengan jelas, berfikir secara kritikal, memahami konteks sosial, menilai situasi kompleks, dan berkomunikasi secara empatik. Kesemua ini merupakan hasil pembelajaran utama dalam pendidikan sastera.

Masalahnya bukan bahawa sastera tidak relevan dengan kebolehpasaran, tetapi bahawa kebolehpasaran itu sendiri ditakrifkan secara sempit dalam wacana dasar. Kebolehpasaran sering difahami sebagai kebolehan memenuhi keperluan teknikal semasa industri tertentu, bukan sebagai keupayaan adaptif jangka panjang untuk menghadapi perubahan pekerjaan, teknologi dan struktur ekonomi. Dalam dunia yang ditandai automasi, kecerdasan buatan dan ketidakpastian pekerjaan, kemahiran interpretatif, reflektif dan humanistik menjadi semakin penting, bukan semakin usang.

Namun begitu, RPTM masih belum mengartikulasikan hubungan ini secara eksplisit. Sastera tidak dibingkaikan sebagai aset strategik dalam usaha membina graduan adaptif, kreatif dan reflektif, sebaliknya kekal dalam ruang implisit yang mudah diabaikan apabila berdepan tekanan institusional untuk menjustifikasikan program dalam bahasa metrik ekonomi semata-mata.

Empat Cadangan Strategik

Sebagai pensyarah, saya sering berdepan dengan kesukaran menjustifikasikan penyelidikan sastera dalam bahasa impak yang difahami oleh sistem pengurusan universiti, walaupun kajian tersebut menyumbang kepada pemahaman budaya, perpaduan, identiti nasional, kesejahteraan komuniti, dan pendidikan generasi muda.

Saya ingin mengusulkan empat cadangan strategik, dengan mengambil kira realiti institusi, budaya akademik dan pengalaman pedagogi seorang pensyarah.

Cadangan 1: Menjadikan Sastera sebagai Komponen Teras Pendidikan Umum Universiti

Masalah Semasa

Di kebanyakan institusi pengajian tinggi (IPT), sastera kini berada di pinggiran kurikulum. Sastera sering muncul sebagai kursus elektif pilihan, kursus wajib terhad dalam program bahasa, atau modul kecil dalam pendidikan guru. Pelajar dalam bidang kejuruteraan, sains, perubatan, teknologi maklumat, atau perniagaan sering dapat menamatkan pengajian tanpa pernah mengikuti satu kursus sastera yang serius. Hal ini bermakna, sebahagian besar graduan universiti Malaysia tidak pernah melalui latihan sistematik dalam membaca teks kompleks, mentafsir makna berlapis, membincangkan dilema etika naratif atau memahami pengalaman manusia melalui bahasa imaginatif.

Keadaan ini bercanggah dengan aspirasi RPTM untuk melahirkan bakat yang berpaksikan kemanusiaan dan menghayati nilai. Tanpa pengalaman pendidikan sastera, nilai tersebut cenderung diajarkan secara normatif melalui kursus etika, kenegaraan atau kemahiran insaniah yang bersifat preskriptif dan sering terpisah daripada pengalaman hidup sebenar pelajar.

Cadangan Strategik

Sastera perlu dijadikan komponen teras dalam pendidikan umum universiti, bukan sekadar elektif. Hal ini tidak bermaksud semua pelajar perlu menjadi ahli sastera, tetapi semua pelajar perlu mengalami pembelajaran sastera sebagai latihan intelektual dan kemanusiaan.

Kursus sastera teras boleh direka bentuk secara lintas disiplin dan tematik, contohnya:

  • Sastera dan Etika Profesional
  • Naratif, Trauma dan Kemanusiaan
  • Sastera, Teknologi dan Masa Hadapan Manusia
  • Cerita, Identiti dan Kepelbagaian Budaya

Dalam kursus sedemikian, teks sastera tidak dipelajari sebagai objek estetika semata-mata, tetapi sebagai wahana refleksi terhadap isu-isu kontemporari yang relevan dengan semua bidang pengajian. Seorang pelajar kejuruteraan, misalnya, boleh membaca novel tentang bencana teknologi untuk memahami implikasi kemanusiaan dalam kegagalan sistem. Pelajar perubatan boleh membaca cerpen tentang penyakit dan kematian untuk memahami dimensi emosi dan etika penjagaan kesihatan. Pelajar perniagaan boleh membaca drama atau novel tentang kuasa, ketamakan dan keadilan sosial untuk menilai implikasi moral keputusan korporat.

Implikasi Institusional

Untuk merealisasikan cadangan ini, beberapa perubahan institusional diperlukan:

  1. Reka bentuk kurikulum – perlu memberi ruang wajib kepada kursus sastera teras dalam semua program, bukan hanya sebagai elektif bebas.
  2. Latihan pensyarah – perlu menekankan pedagogi sastera lintas disiplin, bukan hanya analisis teks tradisional.
  3. Pengiktirafan beban kerja akademik – perlu mengambil kira bahawa pengajaran sastera bersifat intensif dialog dan refleksi, bukan sekadar penyampaian kandungan.
  4. Penilaian hasil pembelajaran – perlu memberi ruang kepada penilaian kualitatif, reflektif dan interpretatif, bukan hanya ujian objektif atau projek teknikal.

Tanpa perubahan struktur ini, seruan agar sastera memainkan peranan teras dalam pendidikan tinggi akan kekal sebagai aspirasi retorik tanpa pelaksanaan sebenar.

Cadangan 2: Memperjelas dan Memperkukuh Integrasi Sastera dalam Pendekatan STEAM

Masalah Semasa

RPTM memperkenalkan STEAM sebagai peluasan STEM dengan memasukkan unsur seni, kemanusiaan dan budaya. Namun dalam amalan, huruf “A” dalam STEAM sering ditafsirkan secara sempit sebagai reka bentuk, visual, kreativiti teknikal, atau inovasi estetik, bukan sebagai tradisi intelektual kemanusiaan seperti sastera, falsafah dan sejarah.

Akibatnya, sastera jarang-jarang diintegrasikan secara substantif dalam kurikulum STEM atau TVET. Ia kekal sebagai domain berasingan, bukan sebagai rakan epistemologi dalam memahami implikasi sosial, etika dan kemanusiaan sains dan teknologi. Pelajar STEM dilatih untuk menyelesaikan masalah teknikal, tetapi jarang-jarang dilatih untuk bertanya soalan tentang makna, nilai dan kesan manusia terhadap inovasi yang mereka bangunkan.

Cadangan Strategik

Integrasi sastera dalam STEAM perlu dilakukan bukan pada tahap kosmetik, tetapi pada tahap epistemologi dan pedagogi. Hal ini bermakna:

  1. Kurikulum bersama antara fakulti sains/teknologi dengan fakulti sastera perlu diwujudkan, misalnya kursus bersama tentang naratif teknologi, imaginasi masa hadapan, etika kecerdasan buatan, atau representasi sains dalam sastera dan budaya popular.
  2. Projek bersepadu boleh dirancang dengan cara pelajar STEM bekerjasama dengan pelajar sastera untuk menganalisis implikasi sosial dan kemanusiaan sesuatu inovasi teknologi melalui pendekatan naratif, kreatif dan kritikal.
  3. Latihan kejuruteraan atau sains boleh memasukkan bacaan sastera sebagai teks reflektif yang melengkapi modul teknikal, bukan sekadar bahan tambahan tidak wajib.

Sebagai contoh, dalam kursus kejuruteraan bioperubatan, pelajar boleh membaca novel atau cerpen tentang penyakit, kecacatan atau penjagaan kesihatan untuk memahami dimensi kemanusiaan teknologi perubatan. Dalam kursus kecerdasan buatan, pelajar boleh membaca karya fiksyen sains atau subgenre distopia untuk membincangkan implikasi etika automasi, pengawasan dan identiti manusia. Dalam kursus alam sekitar, puisi dan esei alam boleh digunakan untuk membina kepekaan emosi terhadap krisis ekologi yang tidak dapat disampaikan sepenuhnya melalui data saintifik.

Implikasi Institusional

Integrasi yang disarankan di atas memerlukan:

  • Struktur insentif yang menggalakkan pengajaran lintas fakulti dan kolaborasi kurikulum.
  • Pengiktirafan akademik terhadap kerja interdisiplin dalam penilaian prestasi pensyarah.
  • Peruntukan sumber untuk pembangunan bahan pengajaran dan latihan pedagogi lintas disiplin.

Tanpa perubahan ini, STEAM berisiko menjadi slogan baharu yang mengulang masalah lama STEM, iaitu mengutamakan penyelesaian teknikal tanpa memadai memikirkan implikasi kemanusiaannya.

Cadangan 3: Menyepadukan Penyelidikan dan Pengajaran Sastera dengan Agenda Impak Masyarakat

Masalah Semasa

RPTM menekankan penyelidikan dan inovasi berimpak sebagai teras pendidikan tinggi. Namun begitu, konsep “impak” sering ditafsirkan dalam kerangka ekonomi, teknologi atau penyelesaian masalah praktikal yang boleh diukur secara kuantitatif. Dalam kerangka ini, penyelidikan sastera dan kemanusiaan sering dianggap kurang relevan kerana impaknya bersifat jangka panjang, kualitatif dan sukar diukur.

Sebagai pensyarah, saya sering berdepan dengan kesukaran menjustifikasikan penyelidikan sastera dalam bahasa impak yang difahami oleh sistem pengurusan universiti, walaupun kajian tersebut menyumbang kepada pemahaman budaya, perpaduan, identiti nasional, kesejahteraan komuniti, dan pendidikan generasi muda. Impak tersebut nyata dalam kehidupan sosial, tetapi tidak mudah diterjemahkan ke dalam metrik ekonomi atau penunjuk teknologi.

Cadangan Strategik

Penyelidikan dan pengajaran sastera perlu disepadukan secara eksplisit dengan agenda impak masyarakat dalam RPTM melalui beberapa pendekatan:

  1. Pengiktirafan impak budaya dan sosial sebagai kategori impak sah dalam penilaian penyelidikan, setara dengan impak ekonomi dan teknologi. Hal ini termasuk impak terhadap literasi budaya, dialog antara etnik, kesejahteraan komuniti, pemeliharaan warisan, dan pembinaan jati diri nasional.
  2. Pelibatan komuniti berasaskan sastera, seperti program literasi komuniti, bengkel penulisan kreatif, projek dokumentasi naratif tempatan, dan adaptasi karya sastera untuk pendidikan awam, teater komuniti atau media digital.
  3. Pengajaran berasaskan projek sosial yang melibatkan pelajar sastera dalam kerja lapangan budaya, dokumentasi cerita rakyat, penulisan naratif komuniti, atau analisis wacana sosial yang berkait dengan isu sebenar masyarakat.

Sebagai contoh, kursus sastera boleh disepadukan dengan projek dokumentasi lisan masyarakat Orang Asli, migran bandar atau komuniti nelayan, bukan sahaja sebagai latihan akademik, tetapi sebagai sumbangan pada pemeliharaan warisan dan pembinaan kesedaran sosial. Penyelidikan tentang naratif trauma pascabencana, misalnya, boleh memberi input kepada dasar kesejahteraan, pendidikan komuniti dan sokongan psikososial.

Implikasi Institusional

Untuk menjayakan pendekatan ini:

  • Skema geran penyelidikan – perlu memperluas definisi impak dan membuka ruang kepada projek sastera dan kemanusiaan berasaskan komuniti.
  • Penilaian prestasi akademik – perlu mengiktiraf sumbangan sosial dan budaya, bukan hanya penerbitan berindeks atau pendanaan industri.
  • Kerjasama universiti-komuniti – perlu dilihat sebagai teras misi IPT, bukan aktiviti sampingan.

Tanpa reformasi ini, penyelidikan sastera akan terus terpinggir dalam sistem yang mengukur kejayaan melalui metrik sempit, walaupun sumbangannya terhadap masyarakat bersifat implisit dan berpanjangan.

Cadangan 4: Memperkukuh Pedagogi Sastera sebagai Pedagogi Transformasi Nilai

Masalah Semasa

Dalam banyak konteks universiti, pengajaran sastera masih terikat dengan pendekatan tradisional yang menekankan sejarah sastera, aliran teori, analisis formal, dan peperiksaan bertulis. Walaupun aspek ini penting, hal ini sering gagal menghubungkan teks sastera dengan kehidupan pelajar, realiti sosial dan persoalan etika kontemporari. Akibatnya, sastera mudah dilihat sebagai subjek akademik yang terpisah daripada dunia sebenar, bukan sebagai wahana pembentukan nilai dan kesedaran kemanusiaan.

Selain itu, sistem penilaian berasaskan hasil pembelajaran dan keperluan akreditasi sering mendorong pensyarah kepada pengajaran berorientasikan kandungan dan ujian, bukan kepada pedagogi dialogik, reflektif dan transformatif yang menjadi teras pendidikan sastera.

Cadangan Strategik

Pedagogi sastera perlu diperbaharui secara sistematik sebagai pedagogi transformasi nilai, bukan sekadar pedagogi analisis teks. Hal ini merangkumi:

  1. Pendekatan dialogik dan reflektif – kelas sastera menjadi ruang perbincangan tentang makna, nilai, konflik, dan pengalaman manusia, bukan sekadar latihan mengenal pasti teknik atau tema.
  2. Integrasi pengalaman hidup pelajar dengan mengaitkan teks sastera terhadap isu kontemporari seperti identiti, keadilan sosial, teknologi, alam sekitar, kesihatan mental, dan hubungan antara budaya.
  3. Penilaian autentik seperti esei reflektif, jurnal pembacaan, projek kreatif, dialog bertulis, dan pembentangan kritikal, yang menilai bukan sahaja pengetahuan kandungan tetapi juga perkembangan pemikiran, empati dan kesedaran diri pelajar.
  4. Latihan pedagogi pensyarah, yang memberi tumpuan pada fasilitasi dialog, pengurusan perbincangan sensitif dan penggunaan sastera sebagai alat pembinaan nilai, bukan sekadar analisis akademik.

Sebagai pensyarah, saya mendapati bahawa apabila pelajar diajak membaca sastera bukan sebagai teks “untuk diuji”, tetapi sebagai pengalaman “untuk difikirkan dan dirasakan”, mereka lebih terlibat, lebih reflektif dan lebih mampu mengaitkan pembelajaran dengan kehidupan peribadi dan sosial mereka. Inilah jenis pembelajaran transformatif yang diimpikan oleh RPTM apabila ia berbicara tentang pembangunan bakat yang menghayati nilai dan berpaksikan kemanusiaan.

Implikasi Institusional

Untuk menyokong pedagogi ini:

  • Struktur penilaian program perlu memberi ruang kepada hasil pembelajaran kualitatif dan reflektif, bukan hanya kompetensi teknikal yang boleh diukur secara kuantitatif.
  • Budaya pengajaran universiti perlu mengiktiraf bahawa pembelajaran nilai dan kemanusiaan memerlukan masa, dialog dan ketidakpastian, bukan sekadar penyampaian kandungan.
  • Sistem latihan profesional pensyarah perlu memasukkan pedagogi kemanusiaan dan pendidikan transformatif sebagai komponen utama pembangunan staf akademik.

Tanpa sokongan struktur ini, pedagogi sastera akan terus terperangkap dalam model lama yang tidak sejajar dengan aspirasi baharu pendidikan tinggi.

Daripada Retorik Nilai kepada Ekologi Sastera dalam Pendidikan Tinggi

Sebagai pensyarah, saya tidak menuntut agar sastera diangkat atas dasar sentimental atau nostalgia budaya. Saya menuntut agar sastera diiktiraf atas dasar epistemologi, pedagogi dan etika …

RPTM 2026–2035 merupakan dokumen dasar yang penting dan progresif dalam usaha mentransformasi pendidikan tinggi Malaysia. Penekanannya terhadap kemanusiaan, nilai, kesejahteraan holistik dan pembinaan negara mencerminkan kesedaran bahawa pendidikan tidak boleh direduksi kepada latihan kemahiran teknikal atau penyediaan tenaga kerja semata-mata. Namun sebagai seorang pensyarah, saya melihat bahawa aspirasi ini berisiko kekal sebagai wacana normatif jika tidak disokong oleh infrastruktur kurikulum, pedagogi dan institusional yang konkrit.

Dalam konteks ini, sastera bukan sekadar satu disiplin akademik antara banyak disiplin lain. Sastera merupakan ekologi intelektual yang memungkinkan pendidikan tinggi membina manusia yang mampu memahami kompleksiti, hidup dengan ambiguiti, berempati terhadap perbezaan, dan membuat pertimbangan etika dalam dunia yang tidak menawarkan jawapan mudah. Tanpa sastera, wacana tentang nilai dan kemanusiaan dalam RPTM menjadi abstrak, moralistik dan sukar dioperasionalisasikan. Dengan sastera, nilai menjadi pengalaman, kemanusiaan menjadi naratif dan pembinaan negara menjadi imaginasi kolektif yang hidup.

Oleh itu, cabaran sebenar RPTM bukan sekadar memperluas akses, meningkatkan kebolehpasaran atau memperkukuh kedudukan global universiti, tetapi membina ekologi pendidikan yang seimbang antara kecemerlangan teknikal dengan aspek kemanusiaan. Dalam ekologi ini, sastera perlu ditempatkan bukan di pinggiran, tetapi di pusat pengalaman universiti.

Sebagai pensyarah, saya tidak menuntut agar sastera diangkat atas dasar sentimental atau nostalgia budaya. Saya menuntut agar sastera diiktiraf atas dasar epistemologi, pedagogi dan etika, sebagai wahana strategik untuk melahirkan bakat yang benar-benar bersedia menghadapi masa hadapan, bukan hanya dari segi kemahiran, tetapi dari segi kemanusiaan. Jika RPTM benar-benar ingin membentuk pembina negara yang berpaksikan nilai, berdaya tahan dan bermakna, maka sastera bukan pilihan tambahan. Sastera ialah keperluan teras.

Dalam dunia yang semakin dipacu algoritma, automasi dan kecekapan instrumental, sastera mengingatkan kita bahawa manusia bukan sekadar pengguna teknologi atau unit produktiviti ekonomi, tetapi makhluk naratif yang mencari makna, keadilan dan hubungan. Pendidikan tinggi yang gagal menyediakan ruang untuk pencarian ini mungkin berjaya melahirkan pekerja, tetapi gagal melahirkan insan. RPTM memberi kita peluang bersejarah untuk mengelakkan kegagalan itu. Persoalannya kini ialah sama ada kita berani meletakkan sastera kembali di jantung pendidikan tinggi Malaysia, bukan sebagai hiasan wacana, tetapi sebagai nadi kemanusiaan universiti. Adakah sastera berterusan dipandang umpama beras yang sudah berserdak dalam ruji kecerdikan bangsa, seperti melukut di tepi gantang, keluar tidak mengurangi, masuk tidak memenuhi?

_________________________

Nasirin Abdillah (Profesor Madya Dr.) merupakan pensyarah dalam bidang seni kreatif di Universiti Teknologi MARA (UiTM), kampus Puncak Perdana. Beliau juga seorang ahli teori yang telah mencipta teori 2IN untuk kegunaan dalam bidang seni, sastera dan mitologi.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi