Oleh Aminudin Mansor
16 Julai 2024, 07:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bagi Dr. Aminudin Mansor, sastera masih relevan sebagai pembangun akal budi bangsa, lebih-lebih lagi pada era digital dan media sosial serba laju dan mendesak kini.

Bertepatanlah dengan pandangan tokoh Barat, Matthew Arnold yang mengatakan bahawa sastera ialah cerminan kehidupan.

Pembangunan masyarakat dan bangsa memerlukan pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat. Tanpa pembangunan ilmu, masyarakat dan bangsa tak akan berkembang maju dan tidak mampu membina tamadun bangsa yang cemerlang dan dibanggakan.

Kemajuan pembangunan mestilah selari dengan peredaran dan perubahan zaman. Kini, kita melalui era digital. Pembangunan sastera dan kemajuannya mestilah juga selari dengan kemajuan era masa kini.

Justeru, melalui hasil karya sastera berbahasa Melayu yang selari dengan era dan perkembangan teknologi digital mampu mengubah kemajuan masyarakat dan bangsanya. Hal ini juga akan menyumbang kepada pembangunan tamadun bangsa.

Hasil karya yang dihasilkan mestilah mendahului zaman dan dibaca oleh generasi muda melalui media baharu dan buku. Perubahan ini mestilah berlaku dengan cepat dan pantas, selari dengan era digital.

Bangsa yang memahami dan menghargai hasil karya sasterawan bangsanya ialah bangsa yang maju dan bertamadun. Untuk memacu tamadun bangsa mestilah bermula dengan pembangunan akal budi, minda masyarakatnya dan diikuti dengan pembangunan kota dan desa. Hal ini boleh diterapkan melalui hasil karya kreatif mengikut gaya masa kini dengan mengekalkan bahasa yang indah dan berkesan.

Bertepatanlah dengan pandangan tokoh Barat, Matthew Arnold yang mengatakan bahawa sastera ialah cerminan kehidupan. Cerminan kehidupan di sini bermaksud apa-apa yang boleh dilihat dalam masyarakat kini dan dijadikan hasil karya sastera sebagai panduan dan pengajaran dalam kehidupan.

Maksud cerminan kehidupan ialah gambaran kehidupan masa kini dan akan datang yang boleh disampaikan dan dinukilkan oleh para sasterawan melalui karya novel, cerpen dan puisi khususnya sajak yang mendapat sambutan ramai, terutama dalam kalangan remaja.

Oleh itu, untuk melihat kehidupan sebenar sesuatu bangsa, bacalah hasil karya sastera yang ditulis oleh kalangan sasterawan bangsa tersebut pada ketika itu. Setakat ini, kita masih kekurangan karya sastera yang melihat kehidupan masa kini dan masa depan bangsa dalam era digital.

Hasil karya sastera kreatif mestilah menampakkan dan menekankan penguasaan pengetahuan dan kemahiran dengan nilai yang baik, melalui penggunaan teknologi digital secara kreatif. Hal ini dapat melahirkan generasi celik digital dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan karya sastera dalam bentuk digital dengan akal sihat dan bijaksana bagi mencari kebenaran.

Tokoh falsafah Yunani, Socrates menyatakan bahawa akal tidak lain daripada alat bagi mencari kebenaran dan kenyataan dalam kehidupan. Lantaran itu, sastera ialah hasil pemikiran daripada akal dan budi yang berilmu bagi memancarkan kebenaran dalam kehidupan yang sewajarnya.

Untuk membangunkan akal budi bangsa, pendidikan sastera mestilah diperkukuhkan di peringkat sekolah rendah dan menengah selain di universiti, sebagai akar tunjang bagi memahami kehidupan masa lalu dan masa kini serta masa akan datang bagi menguatkan kehidupan negara bangsa pada masa akan datang.

Kuat atau jayanya sesuatu bangsa kerana akhlaknya yang boleh dibangunkan melalui hasil sastera yang indah dan dapat dibaca serta dimanfaatkan dalam kehidupan. Selama manusia itu ada, selama itulah sastera sewajarnya memainkan peranan sebagai usaha ke arah pembangunan akal budi dan juga akhlak melalui hasil karya yang dihasilkan untuk bacaan umum.

Lantaran itu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan Anugerah Sastera Negara wajar dipertahankan dan diteruskan. Pihak swasta dan kerajaan juga seharusnya membantu memberikan dana untuk meneruskan dan memperkasakan anugerah dan hadiah ini yang telah terbukti menghasilkan karya sastera yang bermutu tinggi untuk bacaan masyarakat.

Di samping itu, karya-karya sastera yang memenangi hadiah peringkat kebangsaan juga wajar dibukukan dalam bentuk e-buku untuk bacaan mereka yang melayari internet dan dapat disebarluaskan ke seluruh dunia sebagai hasil karya yang indah dan bernilai tinggi.

Indahnya hidup apabila karya sastera yang bernilai tinggi dapat dibaca oleh semua orang dalam era teknologi digital.

Dalam usaha menerbitkan e-buku, kita agak lambat dan tidak seiring dengan perkembangan era digital. Ramai kalangan yang minat membaca tidak lagi membeli buku, tetapi mereka lebih selesa membaca bahan yang disiarkan di media baharu.

Indahnya hidup apabila karya sastera yang bernilai tinggi dapat dibaca oleh semua orang dalam era teknologi digital. Sastera dan ilmu yang ada dalam hasil karya sastera dapat dimanfaatkan sebagai panduan ke arah kejayaan dan tamadun bangsa.

Pembaca mendapat faedah dan keuntungan dengan membaca hasil karya sastera dengan mudah dan pantas. Hal ini juga dapat menambah pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam kehidupan melalui hasil karya sastera yang disampaikan dengan bahasa yang cantik dan indah.

Hasil karya sastera juga sewajarnya memberikan sumbangan baharu yang dapat dibaca dalam bentuk hasil karya sastera yang kreatif dan asli dengan memasukkan ilmu pengetahuan terkini. Perubahan masyarakat yang gemar membaca bahan daripada internet dapat dimanfaatkan melalui karya sastera yang disampaikan.

Sejarah sastera Melayu telah melalui liku perjuangan yang panjang, iaitu sebelum merdeka lagi sebagai hasil seni rakyat melalui ASAS 50 dan sebelum itu, melalui hasil karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Misa Melayu, selain karya berbentuk puisi seperti Gurindam Dua Belas.

Jika dilihat dan dikaji dengan teliti, karya-karya ini sebenarnya telah mendahului zamannya pada masa itu dalam bentuk penerbitan buku (kitab). Selepas negara merdeka, sastera telah menjadi bahan bacaan utama di sekolah bagi membangunkan akal budi bangsa ketika itu.

Teks sastera yang telah dinilai bermutu seperti karya pemenang Hadiah Sastera Malaysia (kemudian Hadiah Sastera Perdana Malaysia) dapat disebarkan dalam pelbagai bentuk seperti buku, bahan pembelajaran di sekolah, bahan bacaan umum di internet, dan juga mengadakan acara deklamasi puisi dalam kehidupan masyarakat, seperti yang dilakukan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Persatuan Penulis Nasional (PENA), Persatuan Pemuisi Tanah Air (PEMUISI), dan persatuan-persatuan penyair yang kerap mengadakan pelbagai aktiviti sastera.

Komunikasi antara penulis dengan pembaca lewat tulisan membuka kemungkinan yang lebih luas dan bijaksana dengan adanya hubungan jarak jauh antara kedua-dua pihak. Hal ini boleh dilakukan melalui media baharu dan media sosial yang dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Bahasa sastera yang indah akan memberikan sumbangan paling hakiki kepada pembaca untuk berbahasa santun, indah dan berakal budi. Malah, karya hasil Sasterawan Negara sewajarnya dijadikan bahan bacaan dan rujukan di sekolah, masjid dan di universiti.

Memetik pandangan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad, seorang sasterawan juga ialah seorang pejuang, kalau takut usahlah berjuang. Usahkan menjadi sasterawan konvensi, cukuplah menjadi sasterawan biasa sahaja.

Seorang pejuang seperti sasterawan sejati mampu menghasilkan karya yang lebih terkedepan dalam isu semasa dan juga berusaha membangunkan bangsa. Hal ini bukan sahaja untuk memacu bangsa, terutamanya generasi muda ke arah kejayaan hidup pada era digital.

Cabaran hidup memang pelbagai, tetapi mestilah ditangani dengan bijaksana. Karya sastera dengan bahasa yang indah dan berkias mampu memberikan motivasi serta gaya hidup dalam era digital yang sanggup berjuang demi pembangunan negara bangsa.

SN Usman Awang pernah menyatakan, sasterawan juga ialah penyampai suara kemanusiaan daripada seorang pengarang di tengah-tengah kehidupan masyarakatnya.

Sastera dan karya sastera mestilah meliputi semua aspek kehidupan masyarakatnya secara meluas pada masa kini dan juga pada masa akan datang, selain mampu memaparkan duka lara bangsanya. Begitulah karya sastera sebagai cerminan kehidupan bangsa dalam sebuah negara bangsa.

Kredit Foto: Nafisah Faliq/Unsplash

_________________________

Aminudin Mansor (Dr.) juga menggunakan nama pena Ami Masra berasal dari Pahang. Beliau penerima Anugerah Tokoh Karyawan Sepanjang Hayat dalam majlis Hadiah Sastera Darul Makmur ke-2 (2024).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.