Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dasar universiti yang mengutamakan penerbitan tesis luar negara berbahasa Inggeris sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) menjadi punca kajian dan esei/kritikan sastera dalam bahasa Melayu semakin menyusut.

Menurut juri Hadiah Sastera Perdana (HSPM) 2021/2022, Dr. Norhayati Ab. Rahman, perkara ini dapat dilihat menerusi penurunan penyertaan kategori Esei/Kritikan Sastera Eceran (Makalah Ilmiah) untuk edisi kali ini.

“Selalunya yang menulis kajian di universiti ialah pensyarah atau pelajar sarjana. Namun kebelakangan ini saya berpendapat, pensyarah tiada galakan menulis dalam bahasa Melayu kerana menurut dasar universiti, tiada poin KPI diberikan untuk makalah dalam bahasa Melayu.

“Poin hanya akan diberikan sekiranya kajian diterbitkan atau dibuat di luar negara yang memberi impak kepada dunia. Kebanyakannya diterbitkan di Jerman, United Kingdom, Amerika Syarikat, atau disenaraikan dalam Scopus,” katanya.

Jelas Norhayati, perkara ini membuatkan pensyarah berlumba-lumba mendapatkan penerbitan antarabangsa, sehingga kurang menulis jurnal dalam bahasa Melayu.

“Saya fikir dasar universiti ini merugikan orang kita kerana tiada siapa mahu membaca jurnal yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Pelajar kita pun tidak baca,” katanya.

Sehubungan itu, mengulas mengenai prestasi dan sambutan Esei/Kritikan Sastera Eceran (Makalah Ilmiah) kali ini, pihaknya hanya menerima 13 penyertaan makalah ilmiah sahaja, manakala selebihnya merupakan pencalonan untuk makalah separa ilmiah.

“Tidak banyak pencalonan untuk kali ini, kami menerima sekitar 13 makalah untuk esei ilmiah dan 17 esei separa ilmiah. Ada sedikit rasa kecewa sebab sebelum ini, banyak buku dan kajian yang perlu para juri baca.

“Kebetulan tahun ini ada makalah yang kuat kerana merupakan kajian untuk Doktor Falsafah. Kajian ilmiah selalu memberikan pembaharuan maklumat dengan aplikasi teori. Sumbangan ini penting kepada komuniti ilmu,” katanya lagi.

HSPM edisi kali ini menyaksikan tiga penulisan diangkat sebagai pemenang kategori Esei/Kritikan Sastera Eceran (Makalah Ilmiah), termasuk “Seloka sebagai Bentuk Puisi Sisipan dalam Cerita Jenaka Melayu: Analisis Tekstual dan Kontekstual” (Mohd Fauzi Abdullah) dan “Kecenderungan Neurotisme melalui Karakteristik Emosional dalam Personaliti Watak Karya Kreatif” (Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin).

Turut memenangi kategori yang sama ialah makalah “Kesangsian terhadap Agama: Memetakan Wacana-wacana Barat yang Melingkari ‘Kemodenan Abdullah Munsyi’” (Mohd Zariat Abdul Rani).

Terdahulu, Majlis Penyampaian HSPM 2021/2022 diadakan pada 10 Julai 2025 bertempat di Hotel Zenith, Putrajaya.

Kredit Foto: Prateek Katyal/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi