Oleh Karmila Azmi
11 Mac 2024, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulisan sejarah sastera dianggap penting dalam memahami sistem sastera di sesebuah negara kerana hal ini merakamkan proses pengumpulan jaringan data, penyenaraian, kategori karya, penulis, gerakan, institusi, dan lain-lain faktor yang membinanya.

Dalam konteks negara yang dijajah, hal ini turut memberikan kesan pada sejarah sasteranya dan tidak terkecuali kepada hampir semua negara anggota Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), kecuali Thailand.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya Prof. Madya Dr. Norhayati Ab Rahman berkata, dalam hal itu, penulisan sejarah sastera penting untuk melawan diskriminasi yang terakam dalam kajian-kajian orientalis.

“Orientalis melakukan kajian dari perspektif mereka, kemahuan mereka dan rasa bangga mereka seperti yang boleh kita lihat dalam A History of Malay Literature oleh R.O. Winsteadt,” katanya dalam rancangan DBP di Sana Sini: Diskusi Buku DBP-APM 2024 menerusi Siaran Langsung Media Sosial DBP hari ini.

Dalam rancangan itu, Norhayati mengulas naskhah Yang Terlepas, Tersisih dan Terasing: Kajian Bandingan Kajian Penulisan Sejarah Sastera di Nusantara oleh Noridah Kamari, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Dalam majlis yang dipengerusikan oleh Prof Madya Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohamad Ali, Norhayati turut menegaskan dalam konteks sejarah sastera di Malaysia pada abad ke-19, berlaku peralihan antara sastera Melayu tradisional dengan sastera Melayu moden.

Katanya, pada abad itu, sastera Melayu dianggap sebagai kompong, terutama di Negeri-negeri Selat (NNS). Hal ini sebaliknya diisi oleh pandangan orientalis di NNS.

Para orientalis menulis mengenai orang Melayu dan antara yang ditulis bersifat anomali dan tidak diterima oleh masyarakat Melayu kerana berbaur Kristian. Antaranya, naskhah seperti Malayan Memories (1916) dan Papers on Malay Subject (1920).

“Tulisan mereka menggambarkan mereka lebih beradab, lebih tinggi dan layak menguasai Timur, termasuk ruang agama di NNS khususnya.

“Jenis sastera ini mewakili sebahagian masyarakat yang mandiri, minoriti dan tersisih dalam sejarah,” katanya.

Tegas Norhayati, naskhah tulisan Noridah itu walaupun nipis tetapi memberi sumbangan yang besar dan tersendiri dalam sejarah sastera bandingan.

Kredit Foto: Nur Muhamad Fansuri

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.