21 September 2023, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan Diskusi Buku DBP-UM di Muzium Etnografi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, baru-baru ini.

Diskusi pada kali ini memperkatakan tentang buku terbaharu terbitan DBP, iaitu Siri Warisan Sastera Klasik; Hikayat Nabi Ayub dan Syair Nabi Ayub Alaihissalam. Naskhah ini merupakan hasil transliterasi daripada MS 29 Hikayat Nabi Ayub koleksi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP.

Pembicara Diskusi, Dr. Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menyatakan naskhah yang dihasilkan ini, memberi peluang kepada generasi kini untuk menikmati hasil tulisan orang terdahulu yang sarat dengan pemikiran dan ilmu.

Seterusnya, naskhah ini mendidik masyarakat untuk lebih mengenali kisah nabi yang menjadi unsur penting dalam Islam dan terkandung dalam salah satu Rukun Iman, iaitu rukun keempat “Beriman Kepada Para Rasul”.

Selain itu, beliau turut menjelaskan tentang isi kandungan karya ini dengan lebih mendalam seperti ujian dan dugaan Nabi Ayub serta penderitaan penyakit kulit yang dihadapi oleh baginda.

Sewaktu berdiskusi, beliau menjelaskan terdapat frasa yang janggal didengar. Misalnya, menerusi halaman satu (1);

Maka pada suatu hari datanglah segala anak-anak Allah menghadap Allah. Maka syaitan pun datang di antara mereka itu

Menurut beliau, penggunaan istilah ‘anak-anak Allah’ ini sangat asing dalam syariat Islam. Katanya, umat Islam paling lemah pemahamannya tentang akidah tidak mungkin mengaitkan Allah dengan sesiapapun dalam kalangan ‘kerabat’ yang paling hampir dengan Allah. Penggunaan istilah ‘anak-anak Allah’ hanya digunakan dalam Perjanjian Lama (Taurat) dan Perjanjian Baru (Alkitab-Injil).

Selanjutnya, turut dibangkitkan tentang kandungan karya yang mempunyai cerita-cerita isra’illiyat. Pentafsir masa kini sudah mampu dalam membezakan serta menapis cerita-cerita isra’illiyat, dan pembaca harus menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup serta perlu bijaksana dalam menilai bahan bacaan agar tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Diskusi ini turut dijayakan oleh Dr. Eizah Mat Hussain, pensyarah Akademi Pengajian Melayu, yang bertindak sebagai moderator.

Disertakan pautan diskusi untuk para pelayar menonton:

Diskusi Buku DBP-UM 2023 – Judul buku Hikayat Nabi Ayub dan Syair Nabi Ayub Alaihissalam

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.