20 Disember 2023, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan telah menganjurkan bengkel Pembinaan Kerangka Penyelidikan dan Pengembangan Pantun di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP pada 13 dan 14 Disember yang lepas.

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu telah dihadiri oleh karyawan DBP yang dipilih mewakili setiap jabatan dan bahagian yang terdapat di DBP. Ujar Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera;

“Bengkel ini memberi tumpuan terhadap pewujudan satu kerangka pelestarian pantun, khususnya bagi menyelaraskan setiap aktiviti atau program pantun yang dilaksanakan oleh semua jabatan di DBP”.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera sedang menerangkan objektif dan harapan beliau kepada semua peserta bengkel.

“Pada akhirnya, Kerangka Pembinaan dan Pengembangan Pantun di DBP yang dibincangkan ini akan menghasilkan satu kerangka pelestarian pantun, seterusnya akan disebarluaskan secara komprehensif dan holistik”.

Menerusi bengkel ini, para peserta telah berganding bahu dan bersama-sama melontarkan idea, pandangan serta pendapat tentang cadangan aktiviti, program dan projek berkaitan pantun yang boleh dilaksanakan di peringkat DBP.

Sebahagian peserta sedang berbincang mengeluarkan idea dalam bengkel pantun di Sanggar Tun Sri Lanang, DBP.

Antara cadangan yang menarik perhatian, ialah pelaksanaan Seminar Pantun Kebangsaan, Hari Pantun DBP, Anugerah Tokoh Puisi Tradisional, Wacana Profesional Pantun dan Kamus Pantun.

DBP memandang serius dalam usaha melestarikan pantun dan pembudayaan pantun sebagai warisan dan khazanah negara yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Encik Amran Daud melontarkan idea dan pandangan semasa berbengkel.

Sebelum itu, pantun telah mendapat pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang menetapkan pantun sebagai Warisan Tidak Ketara atau Warisan Bukan Benda pada tahun 2020.

Pengiktirafan pantun sebagai warisan dunia ini membuktikan bahawa bahasa Melayu telah berkembang pesat dan melonjakkan peranan bahasa Melayu sebagai lingua franca.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.