Oleh Karmila Azmi
16 April 2024, 17:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Adakah pantun akan kekal dikenali berdasarkan ciri tradisinya atau mungkin akan berubah selari dengan perkembangan zaman?

Hal ini sangat menarik perhatian menerusi perbincangan ringkas penulis Nisah Haron dalam program The Nation terbitan Bernama.

Mengupas tajuk “Pantun and Hari Raya”, Nisah berkata, pantun ialah warisan sastera lisan milik masyarakat Melayu di Nusantara dan mendapat perhatian daripada dunia antarabangsa.

“Orang Melayu perlu berbangga dengan pantun kerana ia hanya ada dalam kalangan orang Melayu saja.

“Kerana itu, ia mendapat perhatian dan dikaji oleh sarjana antarabangsa,” katanya.

Walau bagaimanapun kata Nisah, selari dengan perkembangan semasa, ada beberapa pantun klasik terutamanya yang menggunakan perkataan lama tidak boleh difahami oleh generasi muda.

Hal ini disebabkan, pantun seperti diketahui merakam persekitaran semasa ia dihasilkan.

“Misalnya perkataan nyiru. Ia mungkin digunakan dalam pantun dahulu kerana digunakan untuk menampi padi.

“Tapi hari ini konteks nyiru sudah berubah, malah ada yang menjadikannya sebahagian dekorasi rumah,” katanya.

Hal yang sama juga boleh dilihat dalam konsep “membanting tulang”. Nisah berkata, beliau ditanya oleh anak-anaknya maksud membanting tulang kerana hal itu tidak lagi menjadi sebahagian warna kehidupan generasi muda.

Katanya, konsep membanting tulang adalah disebabkan oleh pekerjaan memukul padi dan hal ini berkait rapat dengan masyarakat Melayu satu ketika itu ialah masyarakat petani.

“Kita lihat pantun ada ubi ada batas, ada hari boleh balas tapi bagi generasi hari ini pantun mereka menjadi ada lori ada bas, ada hari boleh balas,” katanya.

Tegas Nisah, pengiktirafan pantun sebagai warisan tidak ketara UNESCO amat membanggakan, namun pantun perlu difahami bukan sekadar persamaan rima, sebaliknya penciptaan dua baris pembayang juga perlu ada maksud dan logiknya.

Kredit Foto: Facebook Bernama TV

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.