Oleh Rosli K. Matari
26 April 2024, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Di tengah-tengah bandar satelit Kubang Kerian yang semakin pesat membangun, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari terpegun, terjumpa pembawa lori balak yang gemar berpantun. Ikuti kisah menarik ini.

Tidak mudah untuk mengarang pantun. Kena ada bunga pantun. Bunga pantun lebih payah daripada isi maksud pantun. Kena indah, macam hubungan makraj dengan hakraj. Halus bahasa.

Saya cuba meminta Abang Sof memberikan contoh mana-mana pantun yang pernah dikarangnya. Beliau menggeleng sambil ketawa, “Tak simpan dalam kepala. Tetapi ada simpan beberapa buah pantun di rumah.” Beliau berjanji akan cuba mencipta pantunnya sendiri di hadapan saya nanti.

“Tidok mudoh utok ka-gre panton. Keno ado bungo panton. Bungo panton lebih payoh daripada isi maksud panton. Keno indoh, mace hubong-nge makrat denge hakrat. Haluh bahaso. Kade-kade dale makno. Kalu menyindir pon, sope, tertik,” tegas beliau.

Di atas, saya sengaja mengekalkan dialek agar membawa khalayak pembaca budiman merenung dan membayangkan bunyi sebutan dan telor tutur kata Kelantannya.

Kenyataannya sebenarnya bermaksud: “Tidak mudah untuk karang pantun. Kena ada bunga pantun. Bunga pantun lebih payah daripada isi maksud pantun. Kena indah, macam hubungan makraj dengan hakraj. Halus bahasa. Kadang-kadang (men)dalam makna. Kalau menyindir pun, sopan, tertib.”

Berdasarkan penegasan itu, tampak benar bahawa beliau amat menghargai kreativiti dan warisan pantun. Beliau meminati, mencintai dan menghargai pantun kerana mengandungi unsur-unsur (1) kebijaksanaan penciptaan, (2) keindahan bahasa dan (3) kehalusan makna.

Suatu pengetahuan baharu dan amat berharga yang saya peroleh daripadanya ialah istilah dan takrif “bunga pantun”.

Abang Sof tidak mengetahui istilah “pembayang maksud” bagi pantun. Saya bertanya, “Abang pernah ketahui istilah, makna atau maksud pembayang pantun?” Beliau menggeleng. Rupa-rupanya, beliau lebih mengetahui atau menggunakan istilah “bunga pantun”.

Mengapa disebut “bunga pantun”?

Beliau menerangkan kepada saya, “Orang tua-tua kita di Kelantan dahulu sebut bunga pantun.” Beliau menjelaskan, takrif atau istilah “bunga pantun” itu kerana sesebuah pantun harus terlebih dahulu mengandungi “bunga”nya, yakni sebagai suatu keindahan, sebelum disampaikan maksud sebenar (maksud pantun).

Jelasnya lagi, “bunga pantun” bukan sekadar mengindahkan rupa bentuk dan bahasa pantun, tetapi terlebih dahulu memikat pendengar, menghiburkan hati, menenangkan perasaan, dan meluaskan serta membijaksanakan pemikiran.

Sejenak, saya menungkan, lebih benar juga istilah “bunga pantun” itu.

Kecenderungan menamakan “pembayang pantun” hanyalah semata-mata sebagai istilah yang menyatakan bahawa pantun terlebih dahulu mengandungi “pembayang” sebelum diikuti oleh kandungan “maksud” yang ingin disampaikan.

Untuk itu, sebutan “bunga pantun” nampaknya satu istilah yang lebih tepat. Bunga pantun dapat terus menjuruskan pemahaman pada (1) gambaran syarat yang perlu wujudnya keindahan dalam awalan atau pembukaan pantun dan (2) memahami konsep, matlamat dan signifikan keindahannya dalam pantun. Semua konteks keindahan ini bagai “sekuntum bunga”. Tidak hairan jika konsep ini lebih ditakrifkan sebagai bunga pantun.

Abang Sof memberitahu, beliau meminati pantun sejak zaman mudanya dahulu lagi. Baginya, pantun menyampaikan keindahan bahasa dan mengagumkan pemikiran.

Abang Sof menyantuni alam. Oleh sebab itu “bunga pantun” lebih tepat buatnya daripada pembayang makna.

Semua pantun itu dihafaznya, didengar daripada orang tua atau anak muda kampung ketika dahulu. Ada juga yang dituturkan oleh beberapa sahabat ketika bekerja balak, dan sesetengahnya daripada wayang gambar, filem Melayu yang pernah ditontonnya.

Saya pernah meminta Abang Sof untuk cuba memastikan dan membezakan pantun manakah dalam ingatannya datang daripada filem-filem Melayu.

“Abang tak ingat lagi,” ujarnya, cuma kembali menjelaskan, sesetengah pantun itu adalah daripada beberapa buah filem yang pernah ditontonnya pada zaman muda.

Pada konteks ini, saya berpandangan, bukanlah mendatangkan apa-apa masalah jika terdapat antara sesetengah pantun itu merupakan ingatannya bersumberkan filem Melayu.

Hal ini demikian kerana yang lebih penting dan terpuji ialah penampilan peribadi dan mandiri beliau. Dalam erti kata, sebagai seorang yang mencintai dan menghargai pantun, cakna untuk mengumpulkan dan mengingatinya, lalu gemar menuturkannya.

Lagipun, jumlah pantun daripada sesetengah filem itu bukanlah begitu banyak. Justeru, sebahagian besar pantun lain yang ditemui dan dihafalnya, pada semakan saya, merupakan pantun warisan masyarakat dan bukan daripada filem.

Contohnya pantun berikut, dalam ingatan beliau, dapat diterangkannya bahawa pantun itu dilafazkan oleh pelakon Nordin Ahmad, namun beliau lupa judul filemnya:

Tuai padi antara masak,
……….Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
……….Esok jangan rindu-rinduan.

Memang pantun di atas tergolong sebagai pantun yang cukup masyhur dalam kalangan masyarakat, malah merentas zaman sehingga kini. Pantun itu daripada filem Gurindam Jiwa (1965). Namun begitu, pantun di atas tidaklah dituturkan oleh Abang Sof untuk kutipan dan simpanan saya. Cukup sekadar kerana saya ingin mengetahui contoh pantun yang masih dapat diingatinya daripada filem.

Sekali lagi, dengan merendah diri beliau bertanya lagi, “Ada nilai dan pentingkah salin kumpulan pantun ini? Sebab semua pantun abang bukan pantun ciptaan sendiri.”

Saya menjawab, hal demikian merupakan dua perkara yang berbeza. Kedua-duanya penting.

Natijahnya, secara ringkas, mengumpulkan pantun yang dikarangkan oleh mana-mana individu merupakan suatu usaha kreativiti yang dapat dikagumi, apatah lagi apabila usaha mengumpulkan pantun daripada warisan zaman merupakan suatu usaha penting dari segi pemeliharaannya daripada lenyap pupus. Usaha pemeliharaan ini berperanan dalam proses dokumentasi, agar menjadi rujukan dan khazanah penting bangsa sepanjang zaman.

Pantun Makrifat bermaksud pantun yang dapat membawa perasaan, hati dan keinsafan diri pendengar dan penuturnya untuk tawaduk terhadap Tuhan.

Sebagaimana kelaziman pantun lain, banyak pantun yang indah-indah, halus makna dan bijak pesanannya bertendensi daripada warisan pantun yang dituturkan oleh Abang Sof.

Sehingga kini, sudah sebanyak 30 buah pantun yang dapat saya kutip daripadanya. Jumlah ini mungkin bukanlah banyak, namun jika dapat dikutip sekadar sebuah pantun sekalipun, hakikatnya tetap besar makna dan nilainya sebagai dokumentasi warisan.

Seterusnya, sebagaimana pelbagai rencam pemikiran yang terdapat dalam pantun warisan, semua pantun yang dituturkan oleh Abang Sof juga mengandungi tema yang serba rencam.

Antaranya, mencakupi pantun pada pemikiran cinta dan kasih sayang, budi, kembara dan perantauan, kepahlawanan, kelakar jenaka, semangat dan perjuangan hidup, agama (keislaman), dan peribahasa. Cuma, buat masa ini, saya belum menemui pantun berunsur teka-teki daripada beliau.

Namun begitu, tentulah beliau mengetahui dan memiliki beberapa buah pantun jenis teka-teki yang sudah pernah diketahui umum, tetapi sengaja tidak dituturkan kerana tentu tidak dianggap penting bagi didengar dan disalinkan oleh saya.

Justeru, beliau tidak mengungkapkan pantun yang sudah lazim masyhur, seperti: Pisang emas dibawa belayar; Pulau Pandan jauh ke tengah; Apa binatang bertulang satu?; Apa binatang berkeris di kaki?; atau Gendang gendut tali kecapi.

Saya percaya bahawa beliau sudah tentulah mengetahui semua contoh pantun popular itu. Oleh itu, tentulah beliau beranggapan sebagai bukan penting untuk dituturkan bagi kepentingan simpanan atau dokumentasi.

Bagi pantun jenis agama atau berunsurkan keislaman, Abang Sof tidak menyebutkannya sebagai pantun agama atau pantun Islam. Sebaliknya, mengagumkan saya, beliau menyebutkannya sebagai “Pantun Makrifat”.

Mengapa dinamakan sebagai Pantun Makrifat?

Beliau menjawab, Pantun Makrifat bermaksud pantun yang dapat membawa perasaan, hati dan keinsafan diri pendengar dan penuturnya untuk tawaduk terhadap Tuhan. Mempunyai rendah diri, kerendahan hati. Jawapan yang benar-benar mengagumkan!

Abang Sof memberitahu, Pantun Makrifat didengar dan diperolehnya dari surau. Menurutnya, pada zaman dahulu, ketika beliau muda, ulama yang datang mengajar kitab biasanya sering menuturkan beberapa buah Pantun Makrifat.

Jelas beliau lagi, tutur pantun itu bagaikan suatu tradisi, dituturkan sebagai penutup pada hujung sesi apabila selesai mengajar kitab. Sesebuah Pantun Makrifat selalunya indah, halus dan mendalam maknanya, serta menuntun pada keinsafan.

Saya termenung. Ada suatu pengetahuan baharu. Rupa-rupanya wujud peranan penting pantun dalam hubungan tradisi pengajaran ilmu kitab. Walau, sekurang-kurangnya, jika mungkin tradisi ini hanya di Kelantan, pada zaman dahulu.

Terdapat beberapa buah Pantun Makrifat yang dapat ditemui daripada Abang Sof. Malah, beberapa buah pula adalah sebagai pantun berkait. Salah satu daripadanya, merupakan pantun yang berikut:

Pucuk paku di dalam paku,
……….Paku datang dari seberang;
Carilah aku di dalam aku,
……….Aku berselindung di tempat yang terang.

Mengutip pantun ini, saya dapati, wujud lima patah perkataan pada larik terakhirnya: “Aku berselindung di tempat yang terang.” Saya yakin ini ialah perubahan tutur daripada asalnya. Tentu sebagai improvisasi ketika didengar atau diketahui oleh beliau dahulu.

Dapat diyakini, jika sebagai struktur asalnya yang mantap, tentulah sebagai empat patah ini sahaja: “Aku berselindung di tempat terang.” Namun, kutipan daripada penutur tidak boleh dipinda agar mengekalkan keaslian tuturan.

Ungkapan perkataan ‘paku’ pula bagai tidak munasabah untuk diterima akal, bagaimana “pucuk paku” boleh berada “di dalam paku”? Seimbas, jawapannya ialah: Ya, tidak rasional. Mustahil, pucuk paku boleh berada di dalam batang paku. Jika berkecenderungan difikirkan pada gambaran sedemikian.

Namun begitu, sebenarnya bukan demikian. Hal ini harus direnung untuk difahami secara lebih teliti. Konteks maksud “Pucuk paku di dalam paku” itu, yang gambaran sebenarnya ialah, “pucuk paku” sedang berada dalam keadaan bercampur-baur bersama-sama dengan “paku”. Demikian, sebegitu mudah sebenarnya untuk memahaminya.

Artikel ini tidaklah menghala pada tujuan bagi mengemukakan keseluruhan pantun yang dapat dikutip daripada Abang Sof. Jujukan koleksi kutipan ini tentulah memerlukan dokumentasi dan analisis lain secara terperinci.

Namun sekadar contoh, memadai misalnya pada kadar lima buah pantun berikut ini ditampilkan sebagai kutipan daripada beliau:

Manisnya air kelapa muda,
……….Dibawa orang ke Pekan Selasa;
Mengapa aku engkau goda,
……….Merana aku sepanjang masa.

Makan nasi gulai nangka,
……….Ikan sepat gulai mempinang;
Kalau abang sudahlah suka,
……….Cepat-cepat masuk meminang.

Hujan panas turun berderai,
……….Guruh menyambar di pohon jati;
Kasih sayang tidak pernah bercerai,
……….Bagai rambut bersimpul mati.

Burung merbuk buat sarang,
……….Anak enggang meniti di paya;
Tembaga buruk di mata orang,
……….Intan berkarang di hati saya.

Berkayuh perahu mudik ke hulu,
……….Tanak pulut santan durian;
Jarang orang menyesal dahulu,
……….Banyak orang menyesal kemudian.

Pantun masih diwarisi dalam kalangan segelintir orang tua yang masih lanjut usianya, yang cakna dan mencintai warisan bangsa. Warisan ini amat berharga dan seharusnya diselamatkan, dipelihara dan didokumentasikan bagi kepentingan generasi muda, sepanjang zaman.

Pada masa kini, dari semasa ke semasa, saya masih lagi berusaha mengutip pantun daripada tutur Abang Sof. Oleh itu, belum dapat dipastikan atau dirumuskan secara tepat atau lengkap, jumlah sebenar warisan pantun dari sisi beliau.

Cuma saya yakin, sejumlah 30 buah pantun yang dapat diperoleh daripada beliau, belumlah sepenuhnya. Justeru, sesekali berpeluang bertemu, beliau masih dapat menuturkan pantun yang berlainan.

Pernah, dua tiga kali saya cuba menguji dengan bergurau, “Rasanya, sudah ada pantun ini dulu.” Beliau gelak, “Belum.” Tajam sekali ingatannya.

Abang Sof di hadapan balak seraya kintang, sejenis kayu kedua terbaik selepas cengal.

Saya tidak boleh memaksa beliau menuturkan semua pantun itu pada kadar jumlah yang banyak sekali gus atas beberapa sebab yang berikut:

  1. Beliau bukanlah seorang yang suka berlama-lama di meja kedai kopi. Sekadar minum dan singgah berehat sekejap. Kemudian, memohon diri untuk pergi, kerana perlu menguruskan beberapa perkara lain.
  2. Usia beliau sudah menjangkau 70 tahun, tidak sesuai untuk didesak bagi mengingat itu ini.
  3. Meski fasih menuturkan pantun, namun kadang-kadang, beliau lebih cenderung untuk mengingat-ingat atau membezakan mana-mana pantun yang pernah dituturkannya.
  4. Tidaklah semua warisan pantun itu bagai suatu longgokan yang sekali gus, sedia terkumpul lengkap dan sempurna dalam ingatan beliau.

Di samping itu, berdasarkan keseluruhan pantun Abang Sof yang dapat disalin sehingga kini, saya cuba membandingkan juga kutipan ini dengan koleksi pantun yang sedia terhimpun dalam Kumpulan Pantun Melayu (Zainal Abidin Bakar, DBP, 1983).

Setakat ini, berasaskan baris pertama kebanyakan tutur pantun Abang Sof yang sudah disemak dengan indeks baris pertama yang terkumpul dalam teks Kumpulan Pantun Melayu tersebut, didapati tidak mempunyai sebarang persamaan dari segi pembayang pantun. Oleh yang demikian, hal ini dapat dikagumi.

Namun pada semakan dan bandingan, terdapat juga beberapa buah pantun yang memang tidak mempunyai persamaan sama sekali pada pembayangnya, akan tetapi, wujud pula persamaan pada ungkapan maksud pantun. Oleh itu, hal ini menghairankan juga.

Pada persoalan ini, hal ini sudah tentu berkait pada isi atau maksud pantun itu sendiri. Justeru, pengungkapan cipta pantun, terlebih dahulu berasaskan isi maksudnya. Lazimnya, dapat diketahui bahawa isi maksud pantun adalah lebih mudah difahami dan diingati daripada pembayangnya. Oleh yang demikian, tidak hairan, pada mana-mana isi atau maksud yang menarik dan popular adalah lebih mudah kekal dan berkembang.

Disebabkan unsur improvisasi, tokok tambah dan sebagainya yang tidak dapat dielakkan dalam budaya lisan, maka terdapat penutur yang berminat mencipta pembayang pantunnya sendiri, berasaskan isi atau maksud pantun yang mudah diingati.

Atau, penutur bertujuan untuk menjadikan ungkapan pembayang itu sebagai lebih segar, indah dan bernilai lagi. Oleh yang demikian, fenomena sedemikian ini wujud pada sesetengah pantun yang diwarisi, termasuk juga oleh Abang Sof.

Contohnya, pada pantun masyhur ini, juga didapati wujud kelainan dan perbezaan pada pengungkapan pembayangnya:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
……….Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
……….Budi baik dikenang juga.

Bandingkan dengan:

Pulau Pandan jauh ke tengah,
……….Di balik Pulau Angsana Dua;
Hancur badan dikandung tanah,
……….Budi baik dikenang juga.

Natijahnya, semua pantun itu merupakan sebahagian antara sekian banyak warisan tutur pantun yang masih wujud. Berselerak di sana sini sebagai warisan khazanah kebudayaan Melayu yang masih terperosok di pelosok tanah air.

Jelas, pantun masih diwarisi dalam kalangan segelintir orang tua yang masih lanjut usianya, yang cakna dan mencintai warisan bangsa. Warisan ini amat berharga dan seharusnya diselamatkan, dipelihara dan didokumentasikan bagi kepentingan generasi muda, sepanjang zaman.

Artikel ini ditutup dengan tutur serangkap pantun berikut daripada Abang Sof sebagai menghargai dan menghormati beliau:

Buah pelaga dikikir-kikir,
……….Dibawa orang pergi ke hulu;
Setiap pekerjaan mesti difikir,
……….Supaya tidak mendapat malu.

Baca Bahagian Pertama dan Kedua Refleksi |

Kredit Foto: Rosli K. Matari

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.