25 April 2024, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari mengejutkan khalayak, meletakkan Leo A.W.S. antara baris 16 penyair layak berada di garis depan dalam dunia puisi Kelantan. Ikuti, Zuharman Mohamad Nor menyorot hujah pembentangan menarik ini.

Terbukti, puisi yang tampak sekadar minimalis ini sebenarnya memiliki kandungan permaknaan yang besar, bukan seremeh yang disangkakan.

Pada contoh lain, Rosli K. Matari bijak mendalami pemikiran Leo dalam puisi yang minimalis kata-katanya, “Purnama di Balik Bidai”, bagi dikagumi dan dihayati oleh khalayak:

…..I.
…..Di tangga Subuh
…..Purnama menunggumu
…..Solat Jemaah

…..II.
…..Di balik bidai
…..Purnama mendoakan
…..Berbahagia

Puisi ini tampak ringan, malah mungkin kurang bermutu. Namun begitu, Rosli menerangkan: Leo memberikan keistimewaan dengan menjadikan tanda baca berpangkal huruf besar pada perkataan ‘Subuh’ dan ‘Jemaah’ sebagai menunjukkan maksud perkara penting, utama dan besar berkaitan solat.

Kehebatan ungkapan “tangga Subuh” berkonotasi, menggambarkan (1) tangga di surau atau masjid sebagai menunggu kedatangan jemaah yang salih, serta mencerminkan juga (2) permulaan solat harian ialah solat subuh, bagai bermula dari tangga, sebelum terus menaiki solat/ibadah yang selanjutnya.

Malah, kata ‘menunggumu’ juga bijak kerana berkonotasi: mampu menyiratkan kandungan maksud, bukan sahaja bagi diri penyair, tetapi juga sekali gus bermaksud jemaah lain yang sedang ditunggu untuk datang solat.

Hal ini juga ada pada pemilihan diksi ‘Purnama. Pembaca yang kritis boleh berfikir mengapa puisi ini mementingkan diksi ini. Padahal, solat yang pada mana-mana masa tertentu boleh juga dipilih, jika ingin dijelmakan sebagai puisi. Hal demikian berlangsung bagi mencerminkan keindahan, kesempurnaan dan harmonis dalam ibadah solat, apatah solat berjemaah.

Terang beliau lagi, selain itu, larik “Purnama mendoakan/Berbahagia” juga besar maknanya. Terdapat firman Allah yang bermaksud: “Langit yang tujuh dan Bumi serta sekalian makhluk yang ada di dalamnya, sentiasa mengucapkan tasbih kepada kepada Allah. Tiada satu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Isra’ 17:44).

Terbukti, puisi yang tampak sekadar minimalis ini sebenarnya memiliki kandungan permaknaan yang besar, bukan seremeh yang disangkakan.

Selain itu, Leo juga sebenarnya begitu bijak menyelindungkan makna besar di sebalik pengucapan puisinya yang tampak bagai dangkal sahaja. Misalnya:

…..Sajak di Tangga Universiti
…..Duduk di tangga universiti ini
…..menangkap gambar

…..Bawah langit petang
…..pohon hijau rendang
…..kereta dan motosikal
…..mahasiswa yang merah

…..tapak kaki kita
…..tapak kaki kita
…..selalu tersusun
…..di tepi bantal

…..UM 1976

Berdasarkan puisi ini, khalayak tergelak pada ujaran Rosli, “Sekali lagi, jika masih ingin mengeluh – wah – semudah itu? Keluhan ini tetap dapat diterima.”

Puisi ini memang tercipta mudah, sebagaimana biasa ditemukan daripada keseluruhan puisi yang digarap oleh penyair ini. Akan tetapi, Rosli mencabar khalayak, “Benarkah sedemikian mudah puisi ini?”

Beliau mengajak merenung ungkapan: “kereta dan motosikal/mahasiwa yang merah”. Larik ini memang menerangkan kereta dan motosikal itu berwarna merah.

Akan tetapi, di luar duga, penyair ini sebenarnya menyelindungkan siratan dan konotasi. Perhatikan sekali lagi: “mahasiswa yang merah”. Merah, lazim dalam pelambangan puisi berkait dengan perjuangan, semangat, selain juga perasaan marah. Namun, konteks sebagai mahasiswa yang gigih dalam perjuangan dan semangat menuntut ilmu juga turut bersesuaian. Malah, Rosli menerangkan, pada ungkapan ini sebenarnya Leo menyelindungkan suatu makna besar, iaitu konteks dan konsep pengaruh aliran atau fenomena Angry Young Men.

Fenomena ini dari Barat dan pernah menular ke seluruh dunia, termasuk juga di tanah air ini dalam kalangan generasi muda, terutamanya golongan muda terpelajar suatu masa lalu. Begitu sahaja Leo bijak menyelindungkan konotasi dalam puisinya yang tampak bagai dangkal dan ringan.

Dengan mengambil kira segala jurus kekuatan dan keistimewaan yang dimiliki oleh penyair ini, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dapat dan berani mengemukakan rumus dan menegaskan bahawa Leo A.W.S. sebenarnya merupakan salah seorang penyair yang berada di garis depan dalam kepenyairan dunia puisi Kelantan.

Rosli K. Matari menganggap puisi “Musim Menanam” merupakan salah satu antara puisi terbaik Leo dalam kreativiti beliau:

 

…..Suriah, suratmu itu
…..mengingatkan pengalaman kita;
…..aku bersama ayah
…..di musim menanam begini
…..sibuk sekali;
…..sebentar ayah berhenti
…..menghisap rokok daun.

…..Sungai di waktu petang,
…..walau matahari sudah terbenam
…..cahayanya masih bersinar.

…..Tapi Suriah, suratmu itu
…..mengingatkan aku pada ayah
…..yang terlalu susah
…..semasa hidupnya
…..untuk kita.

…..Seperti ini saja
…..kita bersamanya
…..tapi diam-diam
…..menyembunyi
…..air mata.

Rosli K. Matari berujar bahawa puisi yang tampak biasa ini sebenarnya mengharukan. Cukup nostalgik dan melankolik, memaparkan surat kiriman adik yang menerawangkan ingatan dan kenangan penyair pada (1) sawah, (2) kemiskinan keluarga mereka serta (3) kasih sayang, pengorbanan hidup, dan kegigihan seorang bapa untuk membesarkan anak-anak. Mereka anak-anak mengetahui bahawa bapa “diam-diam/menyembunyi/air mata.

Leo A.W.S. dari kaca mata Rossem.

Puisi ini mengandungi nilai murni kasih sayang, pengorbanan, kegigihan, dan keredaan hidup. Tiada sebarang keraguan cacat cela pada kesempurnaan, keindahan dan keberkesanan emosi terhadap hasil kreativiti puisi ini, jelas Rosli.

Terang beliau, sebenarnya, rangkap kedua puisi ini boleh “tanpa wujud” dalam puisi ini. Rangkap pertama, jika tanpa rangkap kedua, dapat terus sahaja dibaca dan difahami secara lurus pada rangkap ketiga dan rangkap keempat. Pengungkapan isi tetap boleh difahami secara urutan rangkap 1–3–4. Justeru, tetap boleh difahami dan dijiwai, tanpa sebarang cacat cela.

Namun begitu, muncul kesan yang berlainan apabila rangkap kedua melengkapkan pengucapan keseluruhan puisi, malah mendinamikkan peranannya: “Sungai di waktu petang,/walau matahari sudah terbenam/cahayanya masih bersinar.”

Rosli K. Matari menyoal: “Namun mengapa rangkap kedua ini diperlukan dan dicelahkan oleh penyair ke dalam puisi ini?”

Terang beliau, pencelahan ini membuktikan kebijaksanaan tinggi penyair dalam kekuatan dan keterampilan kreativitinya bagi kepentingan puisi ini. Bukan sekadar tempelan suasana petang yang sengaja diada-adakan bagi mewujudkan keindahan alam dalam puisi.

Sebaliknya, ‘Sungai’ dapat menganjakkan pemikiran, mendorong pada bandingan taakulan tentang perjalanan hidup. Pengertian diksi ini cukup tepat, justeru sungai bersesuaian dengan alam dan kehidupan kampung.

Juga diksi ‘matahari’ yang dapat bersejajaran dengan ‘sungai’ jika pembaca atau khalayak sastera bersedia untuk menerimanya dalam kaitan hidup dan perjalanan hidup. Malah, jika dianjakkan ke depan lagi, ‘matahari’ dapat bersinonim dengan semangat dalam perjuangan hidup, atau dengan kata lain, sebagai takrif kegigihan hidup. Begitu juga pada konteks anjakan makna bagi “cahayanya masih bersinar”, tetap bersinonim demikian.

Manakala diksi ‘petang’ dan ‘terbenam’ memberikan bayangan anjakan makna pada kesedihan yang dialami atau rawan yang dihadapi dalam derita hidup. Namun hal ini tetap seiring dengan ketabahan bagai ‘sungai, matahari, dan ‘sinar.

“Puisi ini jelas sekali mengagumkan, antara yang dapat dipuji hebat daripada kreativiti penyair ini,” beliau merumuskan.

Dengan mengambil kira segala jurus kekuatan dan keistimewaan yang dimiliki oleh penyair ini, Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari dapat dan berani mengemukakan rumus dan menegaskan bahawa Leo A.W.S. sebenarnya merupakan salah seorang penyair yang berada di garis depan dalam kepenyairan dunia puisi Kelantan.

Rosli berkata, faktor paling utama dan kukuh mengapa Leo berkemampuan sebagai salah seorang di garis depan ialah “Leo A.W.S. bersih.”

Pada kata-kata itu, beliau mejelaskan bahawa Leo mengatasi kebanyakan penyair Kelantan tanpa melakukan sebarang kesilapan dan kesalahan dalam simpang-siur, cacamarba, kekaburan, dan keghairan pengucapan bahasa yang muluk-muluk.

Baginya, Leo terselamat daripada masalah tersebut kerana lebih memilih cara pengucapan puisi yang mementingkan keindahan makna.

Bukan dari segi keindahan bahasa, yang kadang-kadang menjerumuskan dan memerangkap kebanyakan penyair pada aspek bahasa klise, bahasa lewah, imej bercampur, simpang-siur tabrak dan kontradik imej, bombastik tidak bermakna, hiperbola tidak berfungsi, dan lain-lain lagi.

Sempat berfoto kenangan. Dari kiri: Darma Mohamad, Rossem, Wan A. Rafar dan Leo A.W.S.

“Sebahagian besar penyair Kelantan, walaupun yang sudah terkenal, masih belum terlepas daripada beberapa permasalahan segi pengucapan sebegitu,” beliau menerangkan penelitiannya.

Sungguhpun demikian, Rosli berterus terang, “Satu-satunya aspek yang turut dapat diamati sebagai suatu unsur kekurangan yang ketara pada sebahagian pengucapan puisi oleh Leo ialah, terdapat kreativitinya yang tidak berusaha mempertingkatkan dan mengembangkan pemikiran untuk ke arah yang lebih tinggi, mencerdaskan lagi pembaca dan khalayak sastera.”

Namun, sebilangan kekuatan dan keistimewaan kraf puisi Leo dapat mengatasi beberapa kelemahannya itu, kata beliau.

Tegas Rosli K. Matari lagi, “Sebenarnya, Leo harus memberhentikan puisi yang terlalu bersifat peribadi dan sekadar rakaman untuk nikmat peribadi. Semua penyair harus bijak membezakan dua aspek yang paling mudah dalam hala kreativiti kepenyairan.”

Dua aspek penting yang dimaksudkan itu ialah:

  1. Ada perkara harus diketahui dan boleh dikongsikan dengan khalayak sastera, tetapi,
  2. Tidak semua perkara harus disogokkan atau dipaksa supaya diterima baca oleh khalayak sastera.

Nasihat ini tentu juga berguna untuk turut difahami oleh para penyair muda dan bakat pemula.

Di samping Sasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari, turut membentang dalam wacana ini ialah Ketua Satu Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Wan A. Rafar. Sayangnya, wacana sempena meraikan 50 tahun kepenyairan Leo A.W.S. ini dianjurkan di sebuah kafeteria, dengan hanya terhad bagi 40 peserta sahaja. Itu pun, sesak dihadiri lebih 50 khalayak sastera, termasuk dari Kuala Lumpur, Perak dan Terengganu.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

Kredit Foto: Dahri Zakaria

_________________________

Zuharman Mohammad Nor merupakan seorang penyajak yang berasal dari Kelantan. Sajak-sajak beliau pernah diterbitkan dalam majalah Dewan Sastera, akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.