2 Mei 2024, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Anugerah Sastera Negara (ASN) kembali dibuka untuk pencalonan. Maka ramailah dalam kalangan peminat sastera menebak siapakah yang akan memiliki takhta Sasterawan Negara. Hampir semua tekaan merangkumi bidang sastera penulisan kreatif seperti sajak, cerpen dan novel.

Namun apabila penulis menemu bual penulis lirik lagu Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza, beliau mempunyai pandangan yang lain, iaitu penulis lirik juga mempunyai potensi untuk memenangi anugerah ini.

Sebut sahaja lagu Cindai, Hati Kama, Balqis, Dikir Puteri, Yayadan, Dondang Dendang, Tinting, Ya Maulai, Samrah Mentari, Maharaja, Dirgahayu, Awallah Dondang, Tahajjud Cinta, Sesuci Lebaran, Meriah Suasana Hari Raya, beliaulah yang menulisnya untuk Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Datuk Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Akhil Hayy, dan ramai lagi.

Bersama-sama ini, Dewan Sastera (DS) bawakan isi wawancara Saudara Hairul Anuar Harun, penulis lirik yang sudah 27 tahun bergiat aktif dalam penulisan lirik lagu. Dalam Fokus Utama Dewan Sastera Bil.5/2024, selain namanya yang tersenarai dalam Penulis Lirik Terbaik Malaysia, Cindai terpilih sebagai 10 Lirik Terbaik Pilihan Peminat Dewan Sastera.

DS: Adakah penulis lirik atau lirik itu sendiri sebahagian daripada sastera? Mengapa?

Hairul: Lirik ialah salah satu daripada cabang sastera. Lirik itu datang daripada istilah bahasa Inggeris, lyric. Bahasa Melayunya pula ialah seni kata, iaitu seni dalam meletakkan kata-kata di dalam bingkai yang tertentu. Lirik tidak dihasilkan secara bebas seperti puisi. Ia lebih sulit dilakukan jika tidak mempunyai ilmu dalam penulisan lirik. Saya percaya seorang penulis lirik mampu menulis puisi atau prosa dengan mudah, tetapi penulis puisi sukar untuk menulis lirik jika tidak pernah belajar caranya. Jangan pandang rendah dan pukul rata semua penulisan lirik itu murah dan mudah ya?

DS: Dalam syarat pencalonan ASN, tak ada dinyatakan dalam syarat-syaratnya bahawa pihak pencadang boleh mencalonkan penulis lirik.

Hairul: Itu bermakna keterbukaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau kerajaan untuk tidak mengehadkan sasterawan itu hanya pada mereka yang terlibat dalam kesusasteraan yang lazim sahaja. Tetapi setakat ini, adakah pencalonan daripada genre lain? Masih tidak ada. Dan saya fikir, kalau ada pun, itulah yang pertama sekali dibakulsampahkan.

DS: Adakah saudara bersetuju untuk mengangkat penulis lirik ke tempat yang lebih tinggi, seperti dalam ASN ini?

Hairul: Mengapa tidak? DBP dan kerajaan perlu berani membuat keputusan. Bob Dylan menulis hampir 400 buah lagu ketika menerima Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 2016. Satu kejutan besar kerana kali pertama penulis lirik dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij ini sejak diperkenalkan oleh Akademi Sweden pada tahun 1901.

Lirik-liriknya dianggap sebagai karya sastera dan diterima oleh Akademi Sweden selaku penilai Anugerah Nobel sebagai “menciptakan ekspresi baharu dalam puisi serta muzik rakyat Amerika Syarikat”. Bukan sahaja untuk Amerika tetapi juga dunia. M. Nasir juga banyak terpengaruh dengan karya Bob Dylan. Bukan itu sahaja, Bob Dylan pun bukan penulis lirik pertama yang menerima anugerah itu. Ada lagi yang lain. Boleh rujuk dalam pos laman web The Conversation. Anda akan terkejut siapa.

Penulis lirik Hairul Anuar Harun memberikan buah fikirannya tentang kekuatan lirik dan usaha menilainya dengan kaca mata baharu.

DS: Untuk SEA Write Award pula, apa yang saya tahu, kita pun tidak pernah mencalonkan individu yang berpotensi dalam kalangan penulis lirik. Kenapa sampai sekarang tak ada yang hantar pencalonan? Atau memang tak perlu pun?

Hairul: Mungkin kita terikut-ikut dengan budaya seniority dalam perjawatan kakitangan awam. Ramai lagi orang sastera yang menunggu untuk dicalonkan. Penulis daripada genre lain tidak layak mungkin, walaupun pengaruh dan kesan penulisan mereka melebihi para sasterawan lazim yang menunggu giliran. Seperti juga ada “syarat” untuk bergelar ASN, perlu menang SEA Write Award dahulu. Bukankah itu budaya kerajaan yang masih tidak boleh diubah-ubah sampai sekarang?

DS: Adakah saudara rasa penulis lirik ini lebih rendah tarafnya berbanding penulis sajak atau puisi?

Hairul: Sekali lagi ditegaskan, lirik ialah satu daripada cabang sastera. Semua penulis lirik boleh tulis sajak dengan baik tetapi tak semua penulis sajak boleh tulis lirik dengan sempurna. Tak percaya? Cubalah. Lirik ada batasan dan syarat yang perlu dipatuhi dan dalam masa yang sama, lirik juga perlu puitis dan bermakna. Jangan melihat lirik-lirik zaman TikTok sekarang yang budak tak sekolah pun boleh jadi artis dan boleh jadi komposer penulis lirik. Zaman sekarang juga zaman kolaborasi. Dalam satu lirik ada berpuluh nama penulis lirik. Jadi, kita tak dapat nak melihat pemikiran seorang penulis lirik sekarang. Atau daripada penyanyi, komposer, penulis lirik, dan gubahan muzik, hanya ada nama dia sahaja. Ada unsur ketamakan di situ. M. Nasir juga begitu tetapi karya beliau bagus, bukan tangkap muat dan ada juga lagu yang diberikan pada orang lain untuk tulis lirik. Tidak semuanya dia punya sahaja.

DS: Kalau ada penulis lirik yang boleh jadi Sasterawan Negara atau calon SEA Write, saudara nak namakan siapa?

Hairul: Kita ada beberapa penulis lirik hebat yang masih hidup, contohnya M. Nasir, Habsah Hassan dan S. Amin Shahab. Mereka ini penulis lirik yang betul-betul menulis lirik. Karyanya memberikan impak tinggi pada dunia seni dan mahu tak mahu, dunia kesusasteraan juga. Saya baru selesai menyiapkan tesis tentang lirik lagu karya M. Nasir. Siapa kata senang untuk mentafsir dan menganalisis lirik?

Kredit Foto: Naim al-Kalantani

_________________________

Untuk makluman, Hairul Anuar Harun kini sedang dalam fasa akhir menyiapkan tesis Doktor Falsafah Peradaban Melayu di Institusi Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan tajuk “Estetika Kesenimanan Melalui Perspektif Akal Budi Melayu dalam Karya M. Nasir”. Disertasi Sarjana yang beliau jalankan di UPSI juga dalam kajian lirik dengan tajuk “Estetika Kerohanian dalam Seni Kata Lagu S. Amin Shahab”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.