Oleh Rahman Shaari
22 Jun 2023, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sasterawan Negara Rahman Shaari memperlihatkan pengaruh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam melahirkan bakat sastera, seterusnya ada antara bakat itu dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara.   

Apabila disebut nama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), perkara yang paling cepat muncul di fikiran orang ramai ialah perjuangan menobatkan bahasa dan sastera Melayu. DBP merupakan sebuah wadah perjuangan, oleh itu tidak hairanlah penulis dan sesiapa sahaja yang berhasrat memajukan bahasa dan kesusasteraan Melayu tidak akan mengetepikan DBP.

Dalam bicara ini, penulis berhasrat menunjukkan dan membuktikan bahawa pencapaian Sasterawan Negara (SN) banyak bergantung kepada DBP. Bagi memulakan sorotan, elok penulis kisahkan sedikit tentang SN pertama, iaitu Keris Mas.

Nama sebenar Keris Mas ialah Kamaluddin Muhammad. Beliau adalah orang kuat Angkatan Sasterawan (ASAS 50). Pada tahun 1946, beliau telah menghasilkan sebuah novel Pahlawan Rimba Malaya. Seterusnya novel Korban Kesuciannya pada tahun 1949. Ternyata sejak awal lagi, beliau memperlihatkan bakat dan minat yang mendalam terhadap sastera, khususnya penulisan novel.

DBP ditubuhkan pada tahun 1956, dan Ungku Abdul Aziz dilantik sebagai pengarahnya yang pertama. Ungku Aziz mempelawa Keris Mas bekerja di DBP sebagai pengarang, dan pelawaan itu disambut. Kerajinan dan keupayaan melaksanakan tugas menyebabkan beliau dinaikkan pangkat setingkat demi setingkat. Pada tahun 1971, beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera, yang bertanggungjawab atas penerbitan majalah seperti Dewan Bahasa (DB) dan Dewan Sastera (DS). (Majalah Dewan Sastera mula terbit dalam tahun 1971.)

Keris Mas berbakat besar, dan bakat itu dibantu oleh persekitarannya yang baik. Novel beliau yang diterbitkan oleh DBP antaranya Anak Titiwangsa (1967), Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1982), dan Rimba Harapan (1986). Saudagar Besar dari Kuala Lumpur dan Rimba Harapan ditulis ketika beliau telah pun bersara, tetapi masih tetap bertapak di DBP sebagai penulis tamu. Sebelum menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1981, beliau sudah pun menerima Anugerah Pejuang Sastera pada tahun 1976. Jelaslah bahawa Keris Mas banyak berlegar di DBP dan bakat beliau diperkukuh lagi dalam persekitaran DBP.

SN Keris Mas.

Selain Keris Mas, ada lima orang lagi SN yang pernah bertugas di DBP. Mereka adalah Usman Awang, Abdullah Hussain, Kemala, Baha Zain dan Anwar Ridhwan. Usman Awang dikenali sebagai penyair yang romantis, humanis dan sosialis. Kemampuan berkaryanya cukup tinggi, terutama apabila dihubungkan dengan zaman beliau bergiat. Sajak-sajak seperti “Bunga Popi”, “Gadis di Kuburan” “Salji Hitam”, Ke Makam Bonda”, “Pak Utih” dan beberapa lagi, amat dikenali oleh peminat puisi.

Pada tahun 1963, Usman Awang menyertai sidang pengarang di DBP. Beliau menjadi editor majalah Dewan Bahasa, kemudian Dewan Masyarakat dan seterusnya Dewan Sastera. Pada tahun 1982, beliau dinaikkan pangkat menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera.

Sebagai SN, Usman Awang lebih dikenali sebagai penyair, walaupun beliau juga menulis cerpen, novel dan skrip drama. Beliau banyak memberikan pandangan tentang peranan sastera dalam memajukan pemikiran masyarakat. Seperti Keris Mas, Usman Awang juga memperkukuh bakatnya di persekitaran DBP. Beliau berpeluang bersua dan berbincang dengan pengarang-pengarang muda yang berkunjung ke pusat kegiatan bahasa dan sastera ini.

SN Usman Awang.

Nama-nama lain, iaitu Abdullah Hussain, Kemala (Ahmad Khamal Abdullah), Baha Zain (Baharuddin Zainal) dan Anwar Ridhwan juga begitu. Kemala mencipta nama sebagai penyair sejak menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) lagi, tetapi mengukuhkan kedudukannya sebagai penyair setelah bertugas di DBP. Ini diikuti Baha Zain, dan yang termuda antara mereka ialah Anwar Ridhwan.

Bukanlah hasrat penulis mahu mengatakan bahawa tokoh-tokoh yang pernah bekerja di DBP mudah memperoleh kesempatan menjadi SN. Setiap SN mempunyai keistimewaan masing-masing. Mereka menghasilkan karya-karya yang bermutu sehingga tiba pada tingkat atau tahap yang layak diiktirafkan sebagai terbaik pada tahun penilaian. Kaitan SN dengan DBP ialah kemudahan dan suasana yang diperoleh. Segala buku dan majalah bahasa dan sastera yang bermutu ada di DBP, hanya menuntut minat dan kerajinan untuk menelaahnya.

Tiada jalan mudah untuk menjadi sasterawan besar. Abdullah Hussain menghasilkan novel yang menarik seperti Rantau Selamat, Interlok, Buih di Atas Air, Konserto Terakhir, Masuk ke Dalam Cahaya dan beberapa lagi dengan penekanan pada unsur sejarah dan moral. Pengalaman hidup Abdullah Hussain sebelum menjadi pegawai di DBP amat menarik. Beliau pernah bertugas di kem tentera Inggeris. Apabila Jepun menduduki Kedah, beliau menjadi perisik bagi pihak Jepun. Beliau dihantar ke Sumatera, dan di sana ditangkap oleh pemerintah kolonial Belanda. Himpunan pengalaman yang sedemikian tentulah menebalkan ideanya untuk berkarya. Pada tahun 1968, Abdullah mula bertugas di DBP.

Penyair Kemala menghasilkan sajak-sajak tentang kehidupan rakyat miskin pada tahap awalnya, iaitu ketika bertugas sebagai guru. Kemudian, ketika bertugas di DBP, beliau menghasilkan sajak-sajak kerohanian. Sajak-sajak kerohanian Kemala mencapai kedudukan yang lebih terpuji, berbanding dengan sajak-sajak kerakyatannya. DBP menerbitkan buku puisinya Era (1975).

Baha Zain pernah bertugas secara sambilan di DBP sejak beliau masih belajar di Universiti Malaya. Ertinya beliau akrab dengan DBP sejak berusia awal dua puluhan lagi. Selepas tamat belajar, beliau diterima bertugas di DBP sebagai penolong pegawai penyelidik. Pada akhir dekad 1960-an, beliau berpeluang belajar di Universiti Indonesia, dan dibimbing oleh HB. Jassin. Pada masa inilah beliau mula menulis sajak-sajak yang bersifat ‘konfesional’, iaitu melihat dan memperlihatkan kepincangan masyarakat dari jarak dekat. Dengan kaedah ini, sajak-sajak beliau berbeza daripada sajak-sajak penyair lain yang berkembang di Malaysia ketika itu.

Anwar Ridhwan maju dalam bidang prosa. Beliau belajar di Sekolah Alam Shah pada tahun 1968 -1969, dan memasuki Universiti Malaya pada tahun 1970. Jika Baha Zain bertugas secara sambilan di DBP ketika masih belajar, Anwar Ridhwan pula bekerja sementara di DBP sebaik sahaja tamat belajar. Setelah bekerja sebagai pegawai sementara selama tiga bulan, beliau diterima untuk bertugas sebagai pegawai tetap.

Karya-karya cemerlang Anwar Ridhwan adalah seperti kumpulan-kumpulan cerpen Parasit (1976), Sesudah Perang (1978), Sangkar (1986) dan beberapa lagi. Ada dua novel pentingnya, iaitu Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) dan Naratif Ogonshoto (2001). Perlu disebutkan, novel yang kedua ini sering dibahaskan kerana mempunyai dua sifat. Karya itu dianggap kumpulan cerpen oleh sesetengah pembicara dan sebaliknya, iaitu mengganggap Naratif Ogonshoto merupakan novel. Penulis mendapati, setiap cerpen dalam Naratif Ogonshoto dapat dianggap bab novel. Itulah keistimewaannya. Anwar Ridhwan adalah seorang pengarang yang sentiasa bersikap hati-hati dalam melaksanakan kerja mengarang.

Setelah membicarakan secara ringkas tokoh-tokoh Sasterawan Negara yang pernah bertugas di DBP, penulis akan menyentuh SN yang lain. Nama seperti Shahnon Ahmad, A Samad Said, Arenawati, Noordin Hassan, Muhammad Haji Salleh, S Othman Kelantan, Zurinah Hassan, Siti Zainon Ismail dan penerima anugerah yang ke-15 (tahun 2022).

Secara umumnya, SN sememangnya akrab dengan DBP. Shahnon Ahmad yang tinggal di Pulau Pinang akrab dengan DBP melalui penglibatannya dalam polemik sastera Islam dengan Kassim Ahmad. Polemik itu disiarkan dalam Dewan Sastera sepanjang tahun 1984. Idea-ideanya yang bernas ditunggu-tunggu, dan definisi sastera Islam yang dikemukakannya diingati oleh kebanyakan peminat sastera. Menurutnya, sastera Islam ialah “sastera kerana Allah berhikmah untuk manusia”. Perlu dicatatkan, novel-novelnya Srengenge (1973) dan Sampah (1974) diterbitkan oleh DBP.

Barisan SN yang masih setia memperjuangkan sastera untuk masyarakat.

Novel Arena Wati (nama sebenarnya Muhammad bin Abdul Biang) yang berjudul Tumbangnya Pokok Tak Berlangit memenangi Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962). Setelah menang, judulnya ditukar menjadi Lingkaran. Dalam peraduan Menulis Novel sempena 10 tahun merdeka pula, novelnya Sandera mendapat tempat ketiga, dan DBP menerbitkan novel ini dalam tahun 1971.

Noordin Hassan akrab dengan DBP setelah menghasilkan skrip drama “Bukan Lalang Ditiup Angin”. Skrip itu ditulis dan dipentaskan di Maktab Perguruan Sultan Idris dalam tahun 1970, dan kemudian dipentaskan sekali lagi di Balai Budaya, DBP dalam tahun 1971. Pada tahun 1976, buku drama Noordin Hassan diterbitkan oleh DBP.

Pada awal 70-an, Muhammad Haji Salleh muncul sebagai penyair berbahasa Melayu dengan gaya tersendiri. Penyair ini kurang dikenali dalam dekad 60-an. Muhammad menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada awal tahun 1970 itu, dua judul buku puisi Muhammad Haji Salleh diterbitkan oleh DBP. Buku-buku itu ialah Sajak-sajak Pendatang (1973) dan Sajak-sajak dari Sejarah Melayu (1981). Sebuah buku ilmu penulisan juga diterbitkan oleh DBP, iaitu Pengalaman Puisi (1984).

S. Othman Kelantan menjadi pensyarah UKM agak lewat, iaitu dalam tahun 1983. Sebelum itu beliau bertugas sebagai guru sekolah di Kelantan. Dalam bidang penulisan, S. Othman menghasikan novel. Novelnya yang diterbitkan oleh DBP ialah Perjudian (1973) dan Juara (1976).

Zurinah Hassan ialah penulis wanita yang gemar menyuarakan pemikiran falsafah melalui puisi-puisiya. Keupayaannya berpuisi dengan baik disedari umum pada tahun 1975, apabila lima buah sajaknya memenangi Hadiah Sastera Malaysia. DBP menerbitkan bukunya, Keberangkatan pada tahun 1985. Seorang lagi penyair wanita, iaitu Siti Zainon Ismail memiliki dua kemahiran yang seimbang, iaitu seni sastera dan seni lukis. Buku puisinya yang diterbitkan oleh DBP ialah Nyanyian Malam 1975.

Penerima Anugerah Sastera yang ke-15 mula menulis sajak untuk Dewan Sastera pada tahun 1971. Ada tiga buku puisi karya penulis ini yang diterbitkan oleh DBP iaitu Serpihan Diri (1986), Melati dan Bahang (1996) dan Anjung Persinggahan (2006).

Kesimpulan

Makalah ini bertujuan menyatakan peranan DBP dalam memajukan kesusasteraan tanah air. Hubungan antara Sasterawan Negara dengan institusi ini bermaksud mengukuhkan hujah, bahawa peranan DBP amat besar. Tiada Sasterawan Negara setakat ini yang terlalu berjarak daripada DBP.

Penulis tidak bermaksud mengatakan sesiapa yang mahu maju dalam bidang sastera mesti bergantung pada DBP. Rasa-rasanya adalah keterlaluan jika dikatakan demikian. Untuk maju, bakat dan usaha pihak sasterawan sendiri adalah utama. DBP hanya badan yang menyediakan kemudahan, baik dari segi ilmu kesusasteraan, mahupun kesediaan menerbitkan buku yang bermutu. Yang jelas, sejauh ini DBP telah menerbitkan karya-karya penting dan bermutu untuk tatapan peminat kesusasteraan Melayu.

_________________________

Rahman Shaari  merupakan Sasterawan Negara yang ke-15. Penulisan beliau boleh diikuti dalam majalah Dewan Sastera melalui ruangan Permata Puisi.  

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.