5 Oktober 2023, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah untuk Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) XII setelah kali terakhir  menganjurkannya pada tahun 2009. Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menjadi pengelola, dan kali ini bersama-sama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA). Tema yang dipilih pada tahun ini adalah “Luka. Cinta. Damai.”

Persoalan mengenai kewujudan puisi di Nusantara; langkah, saranan atau formula menghadapi serta mengatasi cabaran kemajuan teknologi agar terus hidup subur dan arah atau hala tujunya dijangka akan menjadi perbincangan yang penting dalam PPNXII yang bakal diadakan pada 13 hingga 15 Oktober nanti.

Perasmiannya bakal disempurnakan oleh Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 13 Oktober, pukul 8 malam.

PPNXII kali ini melibatkan lima sesi sidang, bermulanya dengan Sidang 1, iaitu Forum – Mahu ke Mana Puisi Nusantara? pada 13 Oktober, pukul 3 petang. Forum ini menampilkan Zefri Ariff dari Brunei, Isbedy Setiawan (Indonesia), serta Dr. Shamsudin Othman, dan Roslan Madun (Malaysia) sebagai ahli panel.

Seterusnya, Sasterawan Negara (SN) ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan akan mewakili Malaysia, dan Maman S. Mahayana dari Indonesia dalam Sidang 2: Ucaptama – Peranan Puisi dalam Pergolakan, pada 14 Oktober, pukul 8 pagi, yang dimudahcarakan oleh Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Kemudian, perbincangan mengenai isu ini diteruskan dalam Sidang 3: Pergelutan Puisi dalam Arus Teknologi, pada hari yang sama, pukul 11 pagi, menampilkan pemenang Anugerah Penulis Asia Tenggara 2011, S.M. Zakir mewakili Malaysia, A. Razak Panamalae (Thailand), Saifullizan Yahaya (DBP), dan Dr. Morsidi M.H (Brunei) sebagai ahli panel. Penulis Dayangku Mastura Pengiran Ismail sebagai pemudah cara.

Selanjutnya, dengan kepesatan teknologi, bagaimanakah kewujudan atau keberadaan puisi Nusantara pada masa kini? Perkara ini akan disentuh dalam Sidang 4: Forum – Denyut Puisi di Alam Melayu pada 14 Oktober, pukul 2.30 petang, oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman yang mewakili Malaysia, bersama-sama Hartinah Ahmad (Singapura), Ratna Ayu Budhiarti (Indonesia), dan Mahroso Doloh (Selatan Thai) sebagai ahli panel, dengan Dr. Norzuraina Mohd. Nor (Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris) akan bertindak sebagai moderator.

Pada hari terakhir PPNXII, iaitu pada 15 Oktober, giliran Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP memperkata soal serupa dalam Sidang 5: Syarahan Utama – Ruang Hidup Puisi Nusantara, yang dimudahcarakan oleh Presiden PEMUISI/Timbalan Pengerusi Tetap PENA, Dato’ Dr. Radzuan Ibrahim pada pukul 8 pagi.

Akhir sekali, perbincangan berkenaan isu ini ditutup oleh Sidang 6: Pleno – Hala Tuju Pertemuan Penyair Nusantara pada pukul 11 pagi, dengan Presiden PENA, Dr. Saleeh Rahamad mewakili Malaysia, bersama-sama Hj. Jawawi Ahmad (Brunei), Samsudin Said (Singapura), Ahmadun Yosy Herfanda (Indonesia), dan Nik Rakib Nik Hassan (Thailand) sebagai ahli panel. Pengerusi TV Alhijrah/Timbalan Presiden PENA/Pengarah Urus Setia Tetap, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd. Khair Ngadiron akan bertindak sebagai moderator.

Selain sidang perbincangan, PPN XII turut diisi dengan persembahan pentas, iaitu Malam Baca Puisi Nusantara I, di Dewan Sivik, MBPJ pada 13 Oktober dan Malam Baca Puisi Nusantara II di Dewan Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP, 14 Oktober, pada pukul 8 malam.

Untuk maklumat lebih lanjut, boleh hubungi;

  • 019-351 4940- Dr. Saleeh Rahamad
  • 013-343 3166- Dr. Shamsudin Othman
  • 011-7305 6857- En. Rosman
  • 011- 3621 4842- En. Zaifulnizam

Atau layari penamalaysia.com/PPNXII

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.