Oleh Rasoul Manan
22 Disember 2023, 20:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – BukuĀ  Kala Kesunyian Membingitkan karya Fai Zakaria telah dipilih sebagai pemenang Kategori Industri: Ilustrator Terbaik dalam Anugerah Buku Negara 2023 yang diadakan di Hotel Seri Pacific, petang tadi.

Karya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini merupakan kompilasi karya lukisan daripada siri ‘jantung’ oleh beliau dari tahun 2012 hingga tahun 2020.

Dalam buku berkenaan, beliau banyak bercerita tentang dirinya serta orang sekelilingnya. Buku tersebut menampilkan tiga segmen, iaitu “Di Sebalik Tabir”, “Lakaran dan Nota” serta “Pengolahan dan Penghasilan”.

Sebelum itu, Fai Zakaria merupakan seorang pelukis yang juga aktif dengan pementasan karya seni melalui pelbagai medium dan pernah berkhidmat sebagai pereka dalaman di sebuah syarikat antarabangsa dalam mereka bentuk butik mewah di seluruh dunia.

Ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan bahawa lukisan yang dipilih ialah lukisan yang terbaik daripada 1500 karya yang telah dihasilkan.

Menurut beliau, tidak banyak cabaran yang ditempuhi dalam penghasilan buku ini kerana proses penghasilannya berjalan dengan lancar mengikut perancangan dan tiada perubahan pada jalan cerita yang diinginkan.

Selain itu, beliau juga berharap agar lukisan yang dihasilkan akan memberikan impak kepada peminat seni lukis dan seterusnya bidang ini akan terus melangkah ke hadapan dalam usaha mengangkat nilai estetika.

Fai Zakaria bersama-sama Puan Norhanifah Mohamed, editor yang bertanggungjawab mengendalikan buku Kala Kesunyian Membingitkan dalam majlis Anugerah Buku Negara 2023 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada petang tadi.

Selain itu, naskhah ini turut diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dengan judul When the Silence Gets Too Loud.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.